Tolak fahaman LGBT, komunis dan sekular

PAS Negeri junjung titah Sultan Selangor

- Advertisement -

PAS Negeri Selangor menyambut baik titah Kebawah DYMM Tuanku Sultan Selangor bersempena Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) Kali Ke-69 di Istana Melawati, di sini, hari ini atas keprihatinan Kebawah Duli Tuanku selaku pelindung dan penjaga kesucian dan kemurnian agama Islam dan umatnya daripada budaya songsang Lesbian, Gay, Bisexual dan Transgender (LGBT) dan konsep negara sekular.

PAS konsisten berpegang dengan kemuliaan dan kedaulatan agama Islam sebagai agama Rasmi bagi Persekutuan seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Negara. 

Penyebaran bahan-bahan yang mempromosi LGBT dan konsep negara sekular seperti fahaman komunis oleh pihak-pihak tertentu mestilah diambil tindakan tegas oleh pihak berkuasa di negara ini.

Peruntukan mengadakan latihan dan meningkatkan kecekapan sistem perundangan syariah oleh pihak Kerajaan Persekutuan juga amat wajar bagi memajukan lagi pentadbiran agama Islam di peringkat Persekutuan dan Negeri seterusnya mengekang budaya songsang LGBT dan fahaman komunis daripada terus tumbuh di Negeri Selangor khususnya.

PAS Negeri Selangor juga menegaskan bahawa dialog antara agama juga perlu digerakkan semula bagi membugar semangat toleransi dan mencapai kesepakatan dalam menolak budaya songsang LGBT dan fahaman komunis daripada terus membarah dalam masyarakat di negara ini.  

PAS dan rakan-rakannya di Selangor komited mendukung Budaya Politik Matang dan Sejahtera, dan akan terus bekerja memartabatkan agama Islam dan seterusnya mengembalikan kegemilangan dan kemakmuran di Negeri Selangor ini khususnya.

DATO DR AHMAD YUNUS HAIRI 
Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor  
Selasa 
7 Mac 2023/ 14 Shaaban 1444 – HARAKAHDAILY 7/3/2023

- Advertisement -
- Advertisement -