Tapak pelupusan sampah terlebih beban

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) diminta memberi perhatian terhadap situasi terlebih beban di Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Sanitari Sungai Udang di Melaka.

Situasi menjadi kritikal kerana tapak pelupusan ini adalah satu-satunya lokasi pembuangan sisa dari tiga daerah di Melaka, kata Bakri Jamaluddin (PN-Tangga Batu).

- Advertisement -

“Terkini tapak pelupusan berkeluasan kira-kira 26 hektar itu sudah memasuki fasa ketiga, iaitu fasa terakhir yang sepatutnya berakhir pada 2024.

“Jumlah sampah dan sisa pepejal diterima sebanyak 1,040 tan sebulan melebihi kemampuan pusat pelupusan berkapasiti hanya 900 tan sebulan.

“Begitu juga loji pemprosesan licik berkapasiti 320 meter padu sahaja berbanding volum yang ada sekitar 400 meter padu. Kolam penampungan licik sedalam 15 meter kini hampir penuh,” katanya ketika perbahasan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut Bakri yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Melaka, risiko pencemaran licik kepada sungai dan anak sungai pernah terjadi apabila kebocoran licik telah mencemarkan sungai yang menjadi sumber air utama kepada pesawah padi dan pekebun sayur di sekitar Kampung Paya Rumput, Bukit Rambai sehingga ke Sungai Lereh.

“Penduduk setempat juga sering menghadapi gangguan bau yang tidak menyenangkan. Sepatutnya tapak pelupusan ini berada sejauh satu kilometer dari penempatan penduduk.

“Namun realitinya ia berada sekitar 600 ke 800 meter sahaja dari kawasan penempatan penduduk terdekat,” katanya.

Bakri berkata, berdasarkan laporan, kerajaan mempunyai perancangan untuk membangunkan insinerator pada 2026, namun dengan jumlah sampah yang tinggi pada masa kini, tapak pelupusan ini dijangka hanya mampu bertahan sehingga tahun 2024.

“Maka saya menyeru agar KPKT dapat mengambil tindakan pantas untuk menyelesaikan masalah kritikal di Sungai Udang,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/3/2023

- Advertisement -