Pengosongan 4 kerusi DUN Pulau Pinang

- Advertisement -

PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) mengambil pendirian bahawa tindakan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang menggunakan Artikel 14A Perlembagaan Pulau Pinang untuk meluluskan usul mengosongkan kerusi 4 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) iaitu YB Khalid Mahtab Ishaq (Bertam), YB Zulkifli Ibrahim (Sungai Acheh), YB Dr. Afif Bahardin (Seberang Jaya) dan YB Zolkifly Lazim (Teluk Bahang) adalah satu penyalahgunaan kuasa dan jelas bermotif politik.

Ini terutamanya yang melibatkan dua ADUN BERSATU iaitu YB Khalid Mahtab Ishaq dan YB Zolkifly Lazim, yang tidak pernah melakukan apa-apa perkara yang boleh menyebabkan kerusi mereka perlu dikosongkan di bawah Artikel 14A.

Kedua-dua YB ADUN BERSATU ini tidak pernah pada bila-bila masa meletak jawatan atau dipecat daripada parti BERSATU atau telah menyertai parti politik lain. Mereka kekal sebagai ahli BERSATU sehingga kini.

Tindakan DUN Pulau Pinang bukan sahaja jelas satu penyalahgunaan kuasa, malah pada hakikatnya tidak menghormati lunas-lunas demokrasi serta dilihat sebagai satu pencabulan undang-undang.

Hak demokrasi rakyat dan pengundi telah dinafikan. Ini adalah suatu rampasan kuasa pengundi oleh DUN Pulau Pinang dengan berselindung di sebalik undang-undang.

Walaupun BERSATU menghormati keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang yang menolak permohonan keempat-empat ADUN ini, kami dinasihatkan dan mempercayai bahawa Mahkamah telah terkhilaf dalam menafsirkan pemakaian Artikel 14A ke atas mereka dan BERSATU telah memfailkan rayuan ke Mahkamah Rayuan terhadap keputusan tersebut.

DATO’ SERI HAMZAH ZAINUDIN
Setiausaha Agung
Parti Pribumi BERSATU Malaysia – HARAKAHDAILY 7/3/2023

- Advertisement -
- Advertisement -