Anwar yang ‘confident dan konsisten’

- Advertisement -

SEMASA era reformasi, simpati kepada Anwar begitu tinggi. Beliau digambarkan sebagai orang yang dizalimi. Antara yang kuat mendukung beliau ketika itu adalah pimpinan dan penyokong PAS. 

Seluruh pimpinan PAS dan penyokongnya menjadi orang yang terkehadapan memenuhi jalan raya dan perhimpunan reformasi. Bukan sedikit pimpinan PAS yang ditangkap. Begitu juga pendukung PAS. Ada yang ditangkap, dibuang kerja dan berbagai tindakan kerana mendukung reformasi ketika itu. Bukan sedikit darah yang tumpah dan sepak terajang yang menjadi pengalaman berharga.

Berkejaran dengan FRU, bermandi air asid dan gas sudah menjadi pesta mingguan. ‘Menikmati’ belantan adalah latihan yang menjadikan mereka semakin berani. Begitu juga pemimpin PKR yang awal seperti Tian Chua , Ezam dan beberapa lagi yang telah meninggalkan Anwar atau dipecat dari parti yang mereka perjuangkan. 

Ada juga penyokong kuat Anwar yang dulunya menjadi mangsa kekejaman meninggalkan Anwar dan menyokong Umno seperti Lokman Adam. Kini kembali bersama Anwar, namun bukan lagi sebagai pembela tetapi pengampu dan penjilat segala kahak biru yang diludahkan dulu.

Tidak ketinggalan pimpinan ABIM yang bersama Anwar di era permulaan reformasi seperti Dr Mohd Nur Manuty dan ramai lagi. Mereka mula meninggalkan Anwar seorang demi seorang. Semuanya atas alasan keinsafan dan mula menyedari kesilapan menyokong Anwar. 

Saya dan penyokong PAS ketika itu sukar percaya tuduhan ke atas Anwar. Paling utama ialah kerana sokongan pimpinan PAS kepada Anwar. Ada juga yang keliru kerana menyokong Anwar atas sangkaan Anwar tidak bersalah. Sebenarnya sokongan pimpinan PAS kepada Anwar ialah menuntut proses keadilan diberi. Oleh kerana tuduhan utama liwat membabitkan Islam, maka sewajarnya Mahkamah Islam digunakan. Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menulis buku khas bertajuk Qazaf.

Ramai juga yang meletakkan keyakinan kepada Anwar kerana melihat sikap ‘confident dan konsisten’ beliau menolak tuduhan liwat. Walaupun satu demi satu muncul ‘wajah mulus dan janggal’ yang membuat dakwaan, namun rakyat tetap menolak. Anwar sering kali mengelak diri dari menjawab langsung pertuduhan kepadanya namun terus menerus menyerang pimpinan Umno khasnya Tun Mahathir.

Ada juga pimpinan yang berhujah bahawa ‘orang yang bersalah tidak mungkin begitu berani menafikan secara terbuka seperti Anwar’. Saya antara yang terpengaruh dengan teori ini. Namun zaman berubah dan mahkamah mensabitkan satu demi satu tuduhan kepada beliau termasuk tuduhan liwat.

Anwar melalui zaman reformasi dengan simbolik ‘usungan tilam, mata lebam, sakit pinggang berbalut tengkok dan arsenik’. Semua itu diwatakkan oleh Anwar. 

Usaha Anwar menjadi Perdana Menteri sering kali tersasar dan akhirnya terlantar di Sg Buloh. Paling akhir ialah Langkah Kajang dan impian menjadi Menteri Besar Selangor. Usaha mengangkat Isterinya Azizah sebagai Menteri Besar juga gagal. 

Tindakan Anwar ‘menyingkirkan’ almarhum Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor menjadi titik nyata retaknya hubungan PAS dengan Anwar. Pimpinan dan ahli PAS mula sedar arah sebenar perjuangan Anwar. Satu demi satu ‘lakonan dan hakikat’ sebenar Anwar mula terbongkar. 

Hingga kini Anwar tidak mengambil tindakan kepada Lokman Adam yang secara terbuka mencabar mana-mana pimpinan yang menafikan Anwar liwat. Video kempen sebelum PRU15 sangat jelas. Anwar lebih memilih menyaman pimpinan PAS yang tidak secara langsung menuduh Anwar dengan agenda yang agak sukar dibuktikan di mahkamah. Namun untuk Lokman Adam yang secara direct menyebut Anwar peliwat masih bebas dan dibiarkan mungkin kerana Lokman mendakwa ada bukti dari peguam Anwar sendiri selain sabitan mahkamah. 

Berbalik mengenai sikap dan penampilan Anwar yang meyakinkan penyokongnya bahawa beliau tidak bersalah, mula disedari apabila melihat siri kempen beliau dan selepas PRU15. Anwar dalam satu kempen di Tambun secara nyata menyeru dakwah ‘bil hikmah’ sedangkan beberapa minit sebelum itu ‘memaki’ Pesuruhjaya PAS Perak malah mengajak penonton turut sama memaki. Macam tak ada langsung rasa bersalah di wajah beliau.

Begitu juga setelah PRU beliau bersama Umno dan Zahid walaupun dalam kempen dengan penuh yakin beliau menuduh Tuan Guru Abdul Hadi Awang pembohong kerana menyebut Anwar berbincang dengan Zahid.

 Walaupun secara jelas dan Saifudin membuat kenyataan bahawa memang sudah lama berlaku perbincangan dengan Zahid, Anwar dengan watak ‘confident dan konsisten’ menuduh Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Tan Sri Muhyiddin berbohong. Malah banyak lagi contoh lain yang boleh dilihat dalam video yang tersebar membuktikan Anwar memang seorang yang mempunyai ‘dua wajah’.

Cukup satu dua contoh yang saya bawa dan pembaca boleh mencari kebenaran dan berfikir secara sendiri. Kini Anwar akan cuba mengheret sesiapa sahaja yang ‘kurang cermat’ menggunakan istilah dan bahasa ke mahkamah walaupun ‘hakikat kebenaran itu ada’. 

Kalau rajin boleh senaraikan lagi contoh watak ‘confident dan konsisten’ Anwar yang boleh ‘berlainan rupa dan bahasa’ khasnya sebelum dan selepas PRU. Tak perlu menyanyi lagu penyamun lagi kerana itu bukti nyata… hoi ho yahoi… Kita semua tertipu…

FAIRUZ HAFIIZH OTHMAN 
Setiausaha Politik Pesuruhjaya PAS Negeri Perak – HARAKAHDAILY 5/3/2023

- Advertisement -
- Advertisement -