PAT2023 kembalikan nostalgia tradisi masyarakat kaya adat, budaya

- Advertisement -

ARAU: Pesta Angin Timur Perlis 2023 (PAT2023) mampu mengembalikan nostalgia tradisi masyarakat dahulu yang kaya dengan adat dan budaya.

- Advertisement -

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah justeru, aktiviti seni dan sosial perlu diampungkan kembali dan hendaklah bersesuaian serta serasi dengan perkembangan semasa.

“Hal ini (PAT2023) dapat memperkayakan lagi khazanah negeri ini untuk diwarisi oleh generasi muda masa hadapan,” titah baginda pada majlis penutup pesta itu di Kampung Sungai Padang di sini hari ini.

Berangkat sama Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Turut hadir Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Khairul Firdaus Akbar Khan serta Menteri Besar Mohd Shukri Ramli.

PAT 2023 ialah program anjuran bersama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta Kerajaan Negeri Perlis yang berlangsung selama tiga hari dan berakhir hari ini.

Tuanku Syed Faizuddin juga bertitah baginda berharap penganjuran PAT dapat diteruskan untuk memberi ruang dan peluang kepada masyarakat menjana pendapatan.

Baginda bertitah Perlis memiliki keistimewaan tersendiri dengan keindahan panorama sawahnya yang mampu memukau pandangan dan memberi ketenangan.

“Semua pihak hendaklah sama-sama mengambil tanggungjawab dan berganding bahu bagi menjaga keindahannya termasuk menjaga kemudahan infrastruktur serta fasiliti yang telah disediakan di tempat pelancongan,” titah baginda. – BERNAMA

- Advertisement -