Orang Melayu masih kekal menolak PH-BN

- Advertisement -

KERAJAAN Campuran Pakatan Harapan – Barisan Nasional ini diwujudkan apabila berlaku ‘hung‘ Parlimen selepas PRU Parlimen ke-15, bila mana tiada satu gabungan atau blok parti yang memiliki majoriti mudah 112 kerusi cukup untuk membentuk Kerajaan Persekutuan.

Hanya apabila BN bergabung dengan PH berserta beberapa parti lain dari Borneo barulah kerajaan terbentuk dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10, iaitu campuran 148 Ahli Parlimen dari beberapa blok parti.

Walau gabungan pelbagai blok yang masing-masing punya agenda berbeza ini memiliki dua pertiga majoriti, mereka menang atas sokongan cuma 44 peratus undi Melayu atau Bumiputera Islam, iaitu BN 33 peratus dan PH 11 peratus. Mereka walau bagaimanapun membolot undi bukan Melayu atau Bumiputera iaitu melebihi hampir 95 peratus.

Sebanyak 56 peratus undi Melayu atau Bumiputera Islam pergi ke PN dengan kemenangan 74 kerusi dan mereka ini duduk di blok pembangkang di Parlimen.

Ini bermakna majoriti pengundi Bumiputera atau Melayu Islam atas beberapa faktor cenderung pada PN dan menolak PH-BN. Inilah yang sebahagian besar penganalisa politik mengistilahkan sebagai ‘green wave’ atau Gelombang Hijau yang membadai Malaysia dalam PRU Parlimen ke-15 lalu.

PH dengan 81 kerusi berjaya mempengaruhi musuh mereka dalam PRU ke-15 iaitu BN untuk membantu mereka membentuk Kerajaan Campuran. Walau diaib dan diperlekeh, dilabel penyamun dan perompak, ramai yang terkejut apabila BN diketuai Datuk Seri Zahid Hamidi sanggup menerima tawaran PH yang didominasi DAP dan selamba mengambil jawatan Timbalan Perdana Menteri. Sekelip mata musuh menjadi kawan, sekelip mata prinsip tergadai.

Seorang rakan saya yang merupakan penganalisis politik kanan di sebuah akhbar tempatan menyebut: “PH is like the round rubber float that BN is clinging to in the Green Wave”(PH laksana pelampung getah yang bulat yang terapung dan BN bertaut padanya dalam (gelora) Gelombang Hijau).

Terdesak dengan masalah peribadi yang bakal memusnahkan karier politiknya, Presiden Umno telah korbankan prinsip, dan sanggup bekerjasama dengan PH yang didominasi DAP walaupun sedar sentimen politik umat Melayu Islam yang telah menolak BN dalam PRU itu bakal mengakibatkan orang Melayu terus lari dari Umno dengan tindakan beliau itu.

Apa pun nasi telah menjadi bubur, tindakan menepis luahan hati umat Melayu itu kini sedang dibayar dengan harga yang mahal oleh Umno, dengan cuma 26 kerusi dalam tangan merosot 52 peratus iaitu dari 54 kerusi dalam PRU sebelumnya, pimpinan Umno kini dipertikaikan ahli-ahli akar umbinya sendiri. Mereka marah kerana Umno dari menjadi juara penyatuan dan Perpaduan Ummah kini berubah apabila pimpinan Umno sanggup bekerjasama dengan PH yang di dalamnya ada DAP, hanya semata-mata kerana mahu mempertahankan nasib politik tokoh tertentu. Umno dan perjuangannya sesungguhnya lebih besar dari mana-mana individu hatta pimpinan tertinggi.

Sementara itu ‘Gelombang Hijau’ iaitu gelombang kesedaran serta kebangkitan politik umat Melayu Islam yang menuntut perubahan, mahukan pimpinan yang berprinsip, bersih dan berintegriti, terus hidup. Beberapa minggu selepas keputusan PRU Parlimen ke-15 diumumkan, diumumkan pula keputusan Pilihan Raya Parlimen kerusi Padang Serai. Gelombang yang sama kali ini menghadiahkan kerusi ke 74 buat PERIKATAN NASIONAL apabila calonnya menang dengan majoriti rekod 16,260 mengalahkan gabungan PH-BN yang baru membentuk Kerajaan Campuran di Putrajaya.

Menurut penganalisis Mazlan Ali dari UTM kemenangan besar PN itu merupakan isyarat jelas kemerosotan sokongan orang-orang Melayu terhadap Umno dan BN. Menurutnya kemenangan majoriti besar itu membuktikan gelombang ‘Tsunami Hijau’ yang dikesan pada PRU15 masih terasa bahangnya.

Hari ini telah 100 hari berlalu, terbentuknya Kerajaan Campuran PH-BN dengan Anwar selaku Perdana Menteri, soalnya sudah reda dan tenangkah Gelombang Hijau tadi? Apakah umat Melayu Islam setelah 100 hari berlalu kini sudah dapat menerima gabungan ‘pelik’ ini?

Sudah pasti Anwar dan Zahid, pimpinan PH-BN mahu melihat gelombang tadi patah dan hanyut, kalau boleh jangan lagi mengganggu dan menghantui mereka. Kalau boleh biar umat Melayu Islam yang merupakan majoriti penduduk dalam negara kembali menerima dan mengiktiraf mereka walaupun gabungan ‘pelik’ mereka ini melanggar apa sahaja prinsip yang dipegang sebelum ini.

Menurut satu kajian bertajuk ‘Kaji selidik Mega 100 hari Kerajaan Perpaduan’ yang dibuat oleh firma penyelidik 02 Research Malaysia dengan koloborasi 5 media saluran perdana iaitu Sin Chew Daily, Sinar Harian, Astro Awani, Malaysia Nanban dan The Star, gelombang yang digeruni Anwar, Zahid dan PH-BN itu rupanya masih panas hangat, masih merupakan ancaman buat mereka.

Kajian ini melibatkan 35,077 responden seluruh negara dari pelbagai segmen masyarakat. Ianya baru sahaja dilakukan iaitu sebelum pembentangan Bajet 2023 antara 6 ke 16 Februari baru-baru ini. 

Antara soalan yang diajukan dalam kajian ini adalah: ‘Keyakinan terhadap kerajaan ini dalam menunaikan manifesto mereka dalam masa 5 tahun’. Seramai 71 peratus responden Melayu yang ditanya menjawab ‘tidak yakin’ berbanding 58 peratus Cina yang ‘yakin’ dan 64 peratus India yang ‘yakin’. 

Ini menunjukkan majoriti umat Melayu Islam iaitu mencecah 71 peratus masih tidak yakin atau dalam erti kata lain tidak menaruh kepercayaan pada Kerajaan Campuran PH-BN ini

Satu lagi soalan adalah: ‘Antara berikut manakah yang mewakili pandangan anda mengenai keadaan semasa negara?’, seramai 60 peratus Melayu Islam menjawab ‘lemah’, 41 dan 49 peratus masing-masing Cina dan India menjawab ‘kuat’.

Malah akhbar Sinar Harian dalam mendedahkan hasil kajian ini membawa tajuk ‘Persepsi orang Melayu masih rendah’.

Bajet 2023 yang baru dibentangkan Menteri Kewangan 24 Februari Jumaat lepas, tidak dijangka dapat merawat persepsi ini malah kemungkinan besar bakal mengeruhkan lagi suasana. Beberapa isu yang melibatkan langsung rakyat khasnya umat Melayu Islam, dilihat tidak ditangani malah ramai yang melihat bajet ini seakan mahu menghukum para pengundi Melayu yang menolak PH-BN dalam PRU Parlimen baru-baru ini.

Kecuali Perlis yang menerima Projek Pelabuhan Sanglang atau Sanglang Integrated Jetty (SIJ), melalui bajet ini, negeri-negeri Kelantan, Terengganu dan Kedah tidak mendapat sebarang perhatian. Malah diumumkan pembatalan pembinaan Kedah Aerotropolis yang sepatutnya memberi manfaat besar pada negeri dan rakyat Kedah serta persekitarannya.

Isu-isu periuk nasi yang menjejaskan khasnya orang-orang Melayu termasuklah kenaikan kos hidup, harga barangan mahal, tuntutan pengeluaran KWSP bersasar, kenaikan gaji kakitangan awam langsung tidak diberi perhatian kerajaan, dan ini bakal membangkitkan lagi kemarahan rakyat.

Enam buah negeri iaitu Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan bakal berhadapan Pilihan Raya Negeri ke-15 menjelang Jun atau Julai nanti, kiranya ‘Gelombang Hijau’ ini terus kekal berlarutan, tidak mustahil landskap politik Malaysia akan terus berubah dan nasib Anwar-Zahid serta PH-BN akan terus menjadi tidak menentu.

ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR – HARAKAHDAILY 3/3/2023

- Advertisement -
- Advertisement -