Pemergian Dr Kamal al-Helbawi yang tidak diratapi?

- Advertisement -

AWAL semalam (waktu Malaysia), seorang penggerak utama Ikhwan al-Muslimin satu ketika dahulu, Dr Kamal al-Helbawi, telah kembali ke rahmatuLlah. Beliau menghembuskan nafas terakhir di London setelah kembali daripada Mesir beberapa tahun lalu. Dr al-Halbawy dilahirkan Mesir pada tahun 1939 dan merupakan graduan dari Universiti Kaherah dalam bidang kesusasteraan.

Sebagai salah seorang penggerak Ikhwan al-Muslimin sejak beliau di Mesir sehinggalah berhijrah mendapatkan perlindungan politik di United Kingdom, jasa beliau terhadap dakwah dan pemikiran Islam cukup besar. Beliau pernah menghabiskan beberapa tahun berdakwah di Nigeria dan terlibat menasihati pimpinan Mujahidin Afghanistan ketika menghadapi pencerobohan Soviet Union.

Di United Kingdom, beliau cukup dikenali oleh komuniti Muslim di negara tersebut. Beliau adalah antara pengasas Muslim Association of Britain (MAB) yang menghimpunkan ramai pemimpin dan ilmuwan Muslim di United Kingdom. Beliau juga telah menubuhkan Centre for the Study of Terrorism berpusat di London sejurus selepas tercetusnya peristiwa 9/11.

Saya sempat beberapa kali bertemu dengan beliau sama ada di United Kingdom dan ketika beliau berkunjung ke Malaysia menghadiri jemputan PAS. Pada tahun 2008, semasa Anwar Ibrahim melarikan diri ke Kedutaan Turki, setelah Saiful Bukhari membuat laporan polis menuduh Anwar meliwatnya, saya mengiringi beberapa orang pimpinan utama PAS di London bertemu tokoh-tokoh Muslim termasuk Dr al-Helbawi.

Ketika itu beliau menceritakan, beliau pernah berdemonstrasi di hadapan Dr Mahathir Mohamad ketika beliau berkunjung ke London selepas Anwar dipecat dari jawatan Timbalan Perdana Menteri pada tahun 1998. Bagaimanapun, beliau tidak bersetuju dengan sikap Anwar yang condong kepada US, malah beliau mempercayai suatu hari nanti Anwar akan masuk perangkap kuasa besar tersebut.

Beliau banyak membuat kajian mengenai kemunculan aliran teroris di dalam Dunia Islam khususnya pasca Peperangan Afghanistan-Soviet Union. Dalam salah satu kajian, beliau mempercayai pembunuhan al-Syahid Dr Abdullah Azzam dilakukan oleh golongan teroris Muslim. Dr Abdullah Azzam adalah salah seorang tokoh penting yang berjaya menyatukan Mujahidin Afghanistan.

Jasa Dr al-Helbawi kepada dakwah dan pemikiran Islam cukup besar, tidak dapat diungkapkan dalam tulisan ringkas ini. Bagaimanapun, berita pemergian beliau seperti tidak begitu diratapi oleh ramai yang mengikuti kegiatan dakwah dan pemikiran beliau sebelum ini. Boleh jadi, perjalanan akhir kehidupan beliau yang bertindak menentang pendirian politik Ikhwan al-Muslimin di Mesir menjadi penyebabnya.

Sekiranya diizinkan Allah S.W.T, saya akan cuba mengupas pertembungan Dr al-Helbawi dengan Ikhwan al-Muslimin, pendirian beliau berpihak kepada Presiden Mesir, Abdul Fattah al-Sisi, dalam tulisan yang lain. Biarpun pendirian beliau yang agak terpinggir dari aliran perdana pendukung gerakan Islam berkaitan politik Mesir, jasa besar beliau terhadap dakwah dan pemikiran Islam seharusnya diperakukan.

DR MOHD ZUHDI MARSUKI
Ahli Jawatankuasa Kerja
PAS Pusat– HARAKAHDAILY 3/3/2023

- Advertisement -
- Advertisement -