Manfaatkan TikTok jadi senjata kekuatan media Islam

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Aplikasi TikTok adalah medium penyampaian maklumat yang menjadi senjata penting dalam peperangan secara pendekatan damai pada masa kini.

Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyeru para asatizah yang berkempen untuk mengharamkan TikTok supaya memahami mesej surah Asy-Syu’ara.

Jelasnya, di akhir surah itu Allah SWT menyebut mengenai para penyair di mana membawa perkara mengarut, melainkan kalangan yang beriman dan mengerjakan amal soleh.

Sama juga terang beliau, apabila menggunakan TikTok di mana jika untuk kebaikan, ia menjadi senjata tidak boleh ditinggalkan dan menjadi sebahagian persediaan kekuatan.

“Ini ‘quwwah’ (kekuatan) itu dengan ‘isim nakirah’. Apa makna kekuatan? (Allah) Tak sebut pedang ke, panah ke, TikTok ke, apa ke tak sebut. Ini ‘isim nakirah’

“Makna apa saja kekuatan yang boleh menguatkan Islam (termasuk) kekuatan media, apa lagi Islam mendahulukan pendekatan damai.

“Perang ini paling akhir sekali. Maka TikTok ini ialah pendekatan damai, kita mesti manfaatkan,” ujarnya pada majlis Dialog Ulama’ Negarawan: Mendepani Cabaran Globalisasi Media Masa Kini di Hotel Tamu, di sini semalam.

Nasihatnya, para asatizah yang berkenaan perlu memahami perubahan pendekatan dan tidak hanya terikat dengan catatan di dalam kitab kuning terutama berkait nas qat’iyyah.

Beliau memberi contoh perkataan-perkataan semasa yang tidak wujud di dalam kitab kuning seperti ‘faedah bank’, sedangkan di dalam kitab ia dibahas dalam tajuk riba.

Begitu juga terangnya perbahasan mengenai pelbagai Mazhab, namun dalam perbincangan masa kini wujud perbezaan pemikiran itu dalam ideologi seperti nasionalisme, kapitalisme, komunisme dan lain-lain.

“Begitulah dalam masalah menyediakan kekuatan keadaan masa kekuatan roh, kekuatan fikiran, kekuatan akal, kekuatan kefahaman. TikTok ni adalah senjata.

“Senjata biasalah nak guna untuk merompak pun boleh, nak guna untuk pertahankan diri pun boleh. Semua. Jadi kalau kita haramkan secara mutlak itu tak boleh. 

“Yang pentingnya ialah kita mesti gunakan segala senjata yang ada mengikut zaman. Apa lagi kesannya kita tahu kalau biar TikTok ini, senjata musuh yang masuk dalam bilik-bilik rumah.

“Lebih bahaya pada peluru lagi. Masuk dalam kepala, dalam kepala. Jadi kalau orang guna senjata ini masuk dalam kepala, kita guna senjata ini masuk dalam kepala dia. 

“Ini kena sedar. Atas kita nak menggunakan itu. Ini tanggungjawab. Jangan kita haramkan mutlak itu tak boleh. Itu salah,” nasihat beliau yang juga Ahli Parlimen Marang. – HARAKAHDAILY 1/3/2023

- Advertisement -
- Advertisement -