KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyeru umat Islam negara ini untuk terus meningkatkan kefahaman mengenai pentingnya kuasa politik.
Menurut beliau, dalam kalangan pemimpin Melayu-Islam negara ini perkara tersebut masih menjadi perbincangan serius di mana pihaknya juga ada menemui Tun Dr Mahathir Mohamad.
Beritahunya, mantan Perdana Menteri itu runsing melihat keputusan PRU15 lalu di mana peratusan keluar undi orang Melayu-Islam rendah berbanding kaum lain.
Terang beliau, keadaan itu membimbangkan dan bahaya, oleh itu memerlukan kesedaran kepada umat Melayu-Islam terhadap perkara wajib diutamakan berbanding amalan sunat.
Ahli Parlimen Marang itu memberi contoh ibadah umrah yang sunat, berbanding mengundi pilihan raya menjadi wajib di mana menentukan peneraju kuasa negeri dan negara.
Tuan Guru mengulangi hujah mengenai perkara tersebut sebagaimana peristiwa Hudaibiyah di masa Rasulullah SAW dan Sahabat RA hingga menangguhkan umrah walaupun telah berihram.
“Kemenangan moral politik, ini dulu (Nabi buat), umrah ditangguh. Kita buat umrah dulu, tak mengundi. Ini politik tak penting. Kita kena sedar politik ini ialah memerintah negara.
“Kita kena sedar, Palestin jatuh ke orang Yahudi kerana apa? Mudah-mudah jual tanah ke orang Yahudi. Orang Yahudi beli mahal, jual tanah.
“Ulamak bagi fatwa haram jual tanah. Tak dengar cakap ulama. Ada yang jual tanah. Orang Yahudi datang ramai-ramai, jumlah dia banyak, isytihar negara Israel. Ini kita kena sedar.
“Singapura, apa jadi Singapura? Kalau kita tak ada kefahaman macam Singapuralah kita ni jadi macam itu, kita kena sedar. Jadi kita tak ada kekuatan,” peringatnya.
Seru beliau, menyebarkan kesedaran pentingnya orang Islam menguasai politik hendaklah dilakukan dengan gigih supaya kefahaman ini masuk dalam diri umat.
“Bahaya kalau orang kita 68 peratus keluar mengundi, orang bukan-Islam 98 peratus ini sangat bahaya. Jumlah dia sikit pun kalau kita tak keluar, dia boleh menguasai.
“Alhamdulillah baru-baru ini dalam Parlimen, Ahli Parlimen yang Melayu Islam, Bumiputera 160-170 sudah mencecah majoriti dua pertiga. Tetapi kerana kita berpecah.
“Patutnya boleh menguasai. Ini hal orang politik pula. Tak mahu bersatu. Contohnya di Perak, di Pahang, kita dapat kerusi besar, bergabung dengan Umno boleh buat kerajaan di Perak. Boleh buat kerajaan di Pahang.
“Tapi orang Umno kata kalau kita kerjasama dengan PAS, PAS akan bunuh Umno. Bila PAS nak bunuh Umno? Yang berlakunya PAP bunuh Umno di Singapura, bukan PAS yang bunuh ini, ini masuk dalam kepala ini.
“Jadi kefahaman tentang perlunya penglibatan dalam politik sangat penting. Walaupun orang itu dia tak mahu politik, dia kena sedar inflasi, kenaikan harga barangan, kenaikan itu, ini adalah pengaruh politik.
“Politik menguasai semua. Bila orang kuasai politik negara, semua dia kuasai belaka, ekonominya, masjid, suraunya, termasuklah yang masjid surau ini dia tak mahu politik.
“Kalau orang lain naik kuasa politik, dia arah roboh surau. Dia boleh buat semua. Jangan kuatkan bang tak boleh. Ha jangan main. Jangan main bila politik hilang. Habis dengan agama-agama dia sapunya.
“Jadi kedudukan politik ini sangat penting,” tegas beliau pada program Dialog Ulama’ Negarawan: Mendepani Cabaran Globalisasi Media Masa Kini di Hotel Tamu, di sini semalam. – HARAKAHDAILY 1/3/2023
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!