Isu Lynas perlukan pandangan pakar

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tindakan kerajaan baru-baru ini, memutuskan untuk tidak membenarkan Lynas Rare Earths Ltd (Lynas) menjalankan sebarang aktiviti yang akan menghasilkan sisa radioaktif di negara selepas Julai ini, mendapat perhatian Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Kubang Kerian).

- Advertisement -

Beliau turut menyifatkan keputusan kerajaan itu bukan sesuatu tindakan yang wajar kerana melibatkan ribuan pekerja yang akan kehilangan punca pendapatan.

Oleh yang demikian, beliau mencadangkan kerajaan untuk mempertimbangkan dengan mengambil kira pandangan pakar-pakar dan bukan sahaja membabitkan parti-parti kerajaan.

“Saya melihat perkara ini perlu ditangani dengan lebih serius, kita harus menerima pandangan pakar-pakar dan mereka yang terlibat bukan sahaja kita menghantar signal kepada pelabur-pelabur asing.

“Tapi pada waktu yg sama kita harus mengakui ribuan pekerja yg bekerja di Lynas kalau ditutup mereka akan hilang pekerjaan dan apa yg telah pun diputuskan oleh pihak kementerian baru ini bukan suatu tindakan yang baik,” katanya dalam perbahasan Titah Diraja, di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau yang juga Timbalan Presiden PAS berkata, negara terpaksa mengeksport keluar hasil negara yang akan menyebabkan kerugian sekiranya teknologi ini ditutup.

“Saya dulu termasuk mereka yg bersama-sama demonstasi di depan kilang Lynas tetapi apabila saya nilai, teliti dan kaji semula dengan bertemu pihak pengurusan dan pekerja, saya dapati tiada satu kes membabitkan kesihatan pekerja sehingga hari ini.

“Ini kerana setiap daripada mereka di pasang satu alat untuk mengesan sama ada sisa radio aktif itu memberi kesan terhadap kesihatan mereka,” katanya.

Tuan Ibrahim menambah, sebahagian besar pekerja di Lynas merupakan warga tempatan dan mereka juga mendapat manfaat daripada kepakaran yang dikongsikan bersama di kilang tersebut. – HARAKAHDAILY 21/2/23

- Advertisement -