KUALA LUMPUR: Pelaburan yang tinggi akan mewujudkan peluang pekerjaan, peningkatan hasil tanah sekali gus meningkatkan pendapatan kerajaan negeri.
Dato’ Wira Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail (PN-Kubang Pasu) berkata, Kedah sehingga kini mendapat hasil pelaburan sekitar RM700 juta.
“Semua negeri perlu bersaing untuk mendapatkan pelaburan di Malaysia dan semua negara termasuk negara maju juga mahukan pelaburan.
“Contohnya negeri Kedah pada tahun 2008 hingga 2012, hasil keseluruhan negeri sekitar RM400 hingga 500 juta sahaja, tetapi kini Kedah mencapai hasil berjumlah lebih kurang RM700 juta,” katanya pada sesi perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat, hari ini.
Ujarnya lagi, Majlis Tempatan juga mendapat hasil dari pelaburan antaranya seperti di Parlimen Padang Terap.
“Contoh terbaik bagi negeri Kedah ialah projek Kedah Rubber City di Padang Terap, keseluruhan Majlis Perbandaran dan Majlis Daerah Padang Terap menerima hasil RM25.2 juta dan RM11juta sudah pun diterima.
“Jika sebelum ini Daerah Padang Terap tiada sumber kewangan, tetapi sekarang Majlis Padang Terap menjadi sebuah majlis kerajaan tempatan yang berjaya dan kaya,” katanya lagi.
Selain itu, Ku Abd Rahman berkata, daerah Kulim mendapat kebaikan dari hasil pelaburan dalam bidang industri pembuatan.
“Seperti di Taman Teknologi Tinggi dan juga kawasan industri Kulim aktiviti perniagaan meningkat dengan tinggi sekali termasuk peruncitan, perumahan dan sebagainya,” ujarnya.
Ujarnya, hal tersebut berlaku kerana permintaan penduduk akan menjadi tinggi dengan pembinaan kilang sekali gus meningkatkan ekonomi setempat.
“Apabila terbinanya kilang penduduk akan datang, permintaan dalam pelbagai perkara akan meningkat dan dengan secara langsung ekonomi setempat tumbuh dan maju,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/2/2023.
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!