Agih peruntukan kepada Ahli Parlimen secara adil

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan diharap merealisasikan titah Yang di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah Ria’yatuddin Al Mustafa Billah Shah untuk mengenepikan agenda politik sempit dan bersatu hati atas nama perpaduan.

- Advertisement -

Ahli Parlimen Sik, Ahmad Tarmizi Sulaiman menafsirkan titah berkenaan adalah seruan supaya ahli-ahli politik di Malaysia tidak menjadikan perbezaan parti sebagai alasan untuk menekan dan menafikan hak pihak lain.

“Semua rakyat patut diberi hak yang sama tanpa mengira latar belakang politik mereka, dan itulah yang dilaksanakan oleh kerajaan PN (Perikatan Nasional) sebelum ini.

“Ini termasuk peruntukan kepada semua Ahli Parlimen tidak mengira parti pembangkang mahupun kerajaan. Kerajaan perlu melihat dengan lebih terbuka mengenai perkara ini.

“Kerajaan tidak boleh menafikan peruntukan yang sepatutnya diberikan juga kepada ahli parlimen pembangkang untuk disalurkan kepada rakyat yang telah memilih wakil mereka di setiap kawasan Parlimen,” katanya.

Ahmad Tarmizi

Beliau berkata demikian ketika dihubungi HarakahDaily yang mengulas mengenai Titah Yang di-Pertuan Agong semasa merasmikan Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Majlis Parlimen Ke-15, hari ini.

Menurut Ahmad Tarmizi, politik sempit yang masih menjadi amalan segelintir ahli politik adalah satu tindakan ketinggalan zaman dan tidak wajar dipraktikkan lagi kini.

“Politik sempit hanya akan merugikan semua pihak. Kerajaan PN sebelum ini meninggalkan amalan itu dan mengamalkan dasar politik terbuka dan matang,” katanya.

Selain itu, beliau turut menyatakan sokongan penuh kepada titah Yang di-Pertuan Agong hari ini dan berharap ia menjadi panduan kepada kerajaan dan rakyat untuk mengemudi Malaysia.

Menurutnya, pelbagai perkara yang perlu diberi perhatian oleh kerajaan, termasuk kestabilan politik yang menjadi tonggak kemakmuran negara.

Begitu juga dengan titah supaya kerajaan lebih bersungguh menyelesaikan masalah dan kesusahan yang dihadapi rakyat tanpa mengabaikan penduduk desa dan luar bandar yang terkesan akibat dari kelembapan ekonomi dan inflasi.

Selain itu, beliau juga melihat Yang di-Pertuan Agong memberi penekanan kepada aspek mempercepatkan pembangunan infrastruktur termasuk jalan raya seperti pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo.

“Secara rumusnya, kerajaan perlu memperkukuh sikap integriti dan tadbir urus yang baik serta tidak lagi menjadi Malaysia tempat untuk berkembangnya rasuah dan sebagainya,” katanya. –HARAKAHDAILY 13/2/2023

- Advertisement -