Perantau Kelantan pelbagai kaum tidak dilupakan

- Advertisement -

SELANGOR: “Kita bukan sahaja menjaga kebajikan anak Kelantan di perantauan yang berketurunan Melayu tetapi secara menyeluruh tanpa mengira warna kulit dan anutan agama,” kata Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Serantau YB Dato’ Panglima Perang Dato’ Mohd Nassuruddin Daud, semalam. 

Ulasnya, dalam Islam semua manusia adalah dari keturunan yang satu iaitu Adam dan Hawa, tetapi yang membezakan antara manusia cuma bangsa dan bahasa untuk saling kenal mengenal dan  bekerjasama bukannya untuk bertelingkah. 

Beliau berkata demikian pada majlis hari Keluarga Anak India Kelantan di Perantauan anjuran Persatuan Keturunan India Kelantan Se-Malaysia (SOKMO) di Koodam Hall, Puchong yang dimeriahkan lebih 200 hadirin.

Jelasnya lagi, sejarah sebelum ini membuktikan tidak pernah berlaku perbalahan kaum di Kelantan, semua bangsa hidup dalam suasana harmoni kerana Kerajaan Negeri Kelantan sentiasa memberi ruang untuk mengamalkan agama dan adat masing-masing selagi tidak mengganggu ketenteraman kaum lain.

Sementara itu, Kerajaan Negeri Kelantan menyokong penuh setiap program sosial dan kebajikan yang melibatkan masyarakat India Kelantan di perantauan dengan meluluskan sumbangan sebanyak RM10,000 kepada SOKMO bagi tujuan kebajikan ahli. 

Dalam majlis yang sama, turut diberikan penghormatan bergelar ‘Shree Dharma’ kepada Presiden SOKMO N. Doraraj.

Penghormatan itu bermaksud tokoh sosial (pemberi) kepada rakyat. 

Di samping itu, sumbangan kebajikan kepada warga emas, penghargaan kepada tokoh masyarakat serta sumbangan Kembali ke Sekolah turut disampaikan kepada anak-anak bagi meringankan beban ibu bapa membeli peralatan sekolah. – UPKN

- Advertisement -
- Advertisement -