PAS dedah punca golongan pelampau di negara ini

Datuk Idris Ahmad
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PAS menyambut baik titah Yang di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah Riayatuddin Al Mustafa Billah Shah pada perasmian Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Majlis Parlimen ke-15, hari ini.

- Advertisement -

Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad, berkata baginda dengan jelas menolak sebarang gejala pelampau yang boleh menggugat keharmonian kaum.

“Saya bersetuju kerana golongan pelampau ini tidak dibenarkan berada di negara kita dan unsur-unsur pelampau agama dan kaum perlu dibanteras kerana ia mampu memusnahkan keunikan masyarakat majmuk yang ada di Malaysia,” katanya kepada Harakahdaily.

Ujar Ahli Parlimen Bagan Serai itu, golongan pelampau itu pada hakikatnya berpunca daripada golongan yang mempersoalkan apa yang telah diputuskan dan perlu dihormati namun dicemari dengan prinsip ekstremisme mereka.

“Unsur-unsur pelampau agama ini kadang-kadang berlaku berpunca daripada orang yang cuba untuk mempertikaikan apa yang telah diputuskan terutamanya melalui kontrak sosial yang perlu kita ingat dan hormat.

“Kalau semua pihak menghormati kontrak sosial yang sudahpun jelas termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan seperti hak istimewa orang Melayu, kedudukan agama Islam, Raja-Raja Melayu dan Bahasa Melayu.

“Jika kita menghormati semua perkara ini, insya-Allah perkara-perkara yang menggugat keharmonian sesebuah masyarakat itu tidak akan tergugat.

“Saya yakin dan percaya, orang-orang Melayu kita memang bangsa yang amat pemurah, baik, beradab dengan orang lain tapi jangan pula ada pihak-pihak yang cuba nak merobekkan perkara yang telah termaktub di dalam kontrak sosial ini, itu yang jadi masalah,” ujarnya.

Jelas beliau, semua pihak perlu menghormati setiap perkara yang terkandung di dalam Perlembagaan Persekutuan demi keamanan serta kedaulatan undang-undang.

Katanya, masyarakat Melayu sangat marah apabila ada pihak yang cuba untuk membangkitkan isu yang berkait rapat dengan sentimen perkauman dan keagamaan.

“Saya yakin dan percaya, bangsa lain juga tidak mahu agama serta fahaman mereka dirobek kerana ia sesuatu yang sangat sensitif.

“Baru-baru ini, ada Ahli Parlimen DAP yang mempertikaikan isu pembakaran al-Quran yang ditentang masyarakat Islam khususnya di negara ini.

“Begitu juga baru-baru ini, kenyataan daripada pemimpin DAP yang sengaja mempersoalkan hal-hal berkaitan perkhidmatan awam dalam kalangan orang Melayu, perkara ini tidak wajar dipertikaikan mana-mana pihak kerana sudah ditetapkan dari dulu lagi.

“Isu ini sensitif kepada orang Melayu-Islam kita, mereka tidak akan berdiam diri, oleh sebab itu kita harap kalau tidak dimulakan oleh orang lain, saya yakin dan percaya mereka tidak akan bersikap demikian,” ujarnya.

Sebelum itu, Al Sultan Abdullah menitahkan agenda perpaduan dalam konteks kebudayaan perlu diberi tumpuan melalui pelaksanaan pelbagai program berorientasikan perpaduan masyarakat berbilang kaum di Malaysia.

“Ianya juga adalah selaras dengan ajaran islam yang menganjurkan umatnya untuk mengamalkan sifat toleransi dan menghindari gejala pelampau yang boleh menggugat keharmonian kaum,” titah baginda. – HARAKAHDAILY 13/2/2023

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -