Misi kemanusiaan PASRelief bantu mangsa gempa Turkiye, Syria

Ustaz Mohd Yusni Mat Piah
- Advertisement -

ALOR SETAR: PASRelief bakal menggerakkan misi kemanusiaan mangsa gempa bumi Turkiye dan Syria dalam tempoh terdekat. 

- Advertisement -

Pengarahnya, Ustaz Mohd Yusni Mat Piah berkata, buat permulaan rombongannya akan singgah bagi menyampaikan sumbangan awal kepada rakan-rakan strategi di negara berkenaan melalui misi bantuan pelarian Yaman pada 16 Februari ini. 

“PASRelief menyasarkan RM1 juta kutipan untuk bantuan kemanusiaan mangsa gempa bumi yang melanda selatan Turkiye dan utara Syria, Isnin lalu,” kata beliau ketika ditemui selepas majlis penyerahan sumbangan kemanusian gempa bumi Turkiye/Syria, di Kompleks PAS Kedah, di sini, hari ini. 

Menurutnya, sumbangan awal wang tunai sebanyak RM10,000 daripada PAS Kedah merupakan yang terawal pada misi ini dan mengharapkan bantuan susulan dari seluruh negara akan diperolehi untuk mencapai sasaran. 

“Saya mengucapkan tahniah kepada PAS Kedah di atas keprihatinan melancarkan Tabung Kemanusian untuk mangsa-mangsa yang malang itu,” tambahnya. 

Justeru, PASRelief akan menetapkan tarikh tertentu untuk menyusun misi kemanusiaan ke negara terbabit. 

Gempa bumi berukuran 7.8 pada skala Richter yang melanda Turkiye dan barat daya (selatan) Syria, 6 Februari lalu telah mengorbankan lebih 7,000 nyawa dan meranapkan beratus-ratus bangunan, pangsapuri dan kediaman penduduk. – HARAKAHDAILY 8/2/2023

- Advertisement -