AYER KEROH: Kerusi Parlimen Masjid Tanah terbukti milik Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin yang mewakili PERIKATAN NASIONAL (PN) selepas Mahkamah Tinggi Melaka, semalam, mengisytiharkan keputusan Pilihan Raya PRU-15 di situ adalah sah.
Ini menyebabkan Mas Ermieyati menyifatkan kemenangan itu sebagai penyuntik semangat bagi petisyen-petisyen lain yang dihadapi oleh Ahli Parlimen PN.
“Saya mengucapkan tahniah kepada barisan peguam yang dilantik PN Pusat kerana menjalankan tanggungjawab dengan sangat baik.
“Syukur Alhamdulillah, keputusan petisyen pilihan raya Parlimen Masjid Tanah memihak kepada kita. Ini satu kemenangan bagi saya dan Parlimen Masjid Tanah. Saya bersyukur dan memanjatkan kesyukuran kepada Allah SWT kerana memberikan kemenangan ini,” katanya ketika dihubungi Harakahdaily.
Semalam, Hakim Datuk Anselm Charles, membatalkan dengan kos terhadap petisyen pilihan raya yang dikemukakan bekas calon BN, Abdul Hakim Abdul Wahid (plaintif) bagi membatalkan kemenangan Mas Ermieyati (responden).
Hakim yang membuat keputusan berpandukan Seksyen 36(1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, mengisytiharkan Mas Ermieyati dipilih secara sah dan memerintahkan pempetisyen membayar kos sebanyak RM20,000 kepada responden.
Katanya, selepas meneliti hujah kedua-dua pihak, mahkamah berpuas hati bahawa dua daripada empat isu dibangkitkan responden mempunyai merit, iaitu petisyen berkaitan dakwaan rasuah wang dan jamuan difailkan di luar masa ditetapkan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 iaitu dalam tempoh 28 hari dari tarikh pembayaran atau perlakuan rasuah berlaku.
Selain itu, mahkamah berpuas hati pempetisyen (plaintif) gagal memperjelas dakwaan rasuah termasuk fakta bagaimana ia memberi kesan kepada kemenangan responden dengan majoriti 4,411 undi dan kaitan beberapa individu dinamakan dalam petisyen dengan Mas Ermieyati, sekali gus menyebabkan petisyen itu tidak sah dan cacat.
“Mahkamah dengan ini membatalkan petisyen ini dengan kos RM20,000 dibayar kepada responden dan mengikut Seksyen 36 (1), saya mengisytiharkan keputusan Pilihan Raya PRU-15 adalah sah,” kata Anselm.
Pada PRU15, Abdul Hakim yang memperoleh 21,193 undi tewas kepada Mas Ermieyati dalam pertembungan empat penjuru dengan majoriti 4,411 undi.
Mas Ermieyati diwakili peguam Mohd Faizi Che Abu, manakala Abdul Hakim diwakili oleh peguam Rosfinah Rahmat. – HARAKAHDAILY 8/2/23
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!