Melayu di Geylang dari 90 kini tinggal 20 peratus

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Sebelum ini Geylang di Singapura didiami 90 peratus orang Melayu, namun selepas 20 tahun Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) ditubuh mereka hanya tinggal 20 peratus.

- Advertisement -

HDB ditubuhkan pada 1960 yang bertanggungjawab menyusun atur demografi penduduk di Singapura.

Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Mohd Zai Mustafa berkata, di sebalik kejayaan HDB di Singapura kerajaan PH-BN mahu mengundang pakar dari agensi itu ke negara ini.

Sedangkan katanya, susun atur demografi berbeza antara Malaysia dan Singapura, di mana tidak semuanya boleh digunapakai di negara kita.

“Dari susun atur demografi penduduk di negara kita tidak sama dengan Singapura. Kalau perkara yang sama mahu dibuat di Malaysia, saya rasa lebih parah lagi data-data hartanah di negara kita boleh dilepaskan kepada pihak luar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Bicara Harakah yang disiarkan secara langsung di Facebook, Youtube dan Tiktok Harakah malam tadi.

Bicara tersebut mengupas tajuk ‘Nepotisme: Reformasi Kian Basi’.
Program temu bual mingguan itu dihoskan Hezry Yasin pada setiap Khamis bermula jam 9.30 malam.

Pada 17 Januari lalu Menteri Pembangunan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming pada temu bual dengan media mengumumkan kerajaan Singapura bersetuju membenarkan kontraktor HDB datang membantu kementerian tersebut bagi berkongsi kepakaran.

Mohd Zai juga berkata, tindakan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan secara tidak langsung boleh mendedahkan data-data negara kepada pihak luar.

“Kalau mereka masuk ke KPKT, mereka akan tahu data rakyat berkaitan pendapatan, kedudukan demografi, di mana tempat-tempat berpotensi dan yang mempunyai kelemahan.

“Misalnya, kita memang tidak pakar nak buat rumah, tetapi kita tidak boleh sampai bawa dia duduk dalam rumah kita,” katanya.

Beliau juga berkata, pelbagai pendekatan lain boleh dilakukan kerajaan bagi membangun kawasan perumahan di Malaysia.

Oleh itu beliau mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membentuk pasukan khas dalam kalangan para ilmuwan yang berkelayakan bagi merancang pembangunan bandar dan luar bandar di Malaysia. – HARAKAHDAILY 3/2/2023

- Advertisement -