Lantik anak sendiri: Bukan amalan Islam dan Negara Madani

- Advertisement -

RASULULLAH S.A.W mengingatkan kita mengenai satu prinsip yang sangat penting dalam kepimpinan iaitu pemilihan kepimpinan mestilah dari kalangan mereka yang benar-benar berkelayakan. 

Pemilihan bukanlah disebabkan kerana seseorang itu rapat dengan kita atau kerana dia adalah ahli keluarga kita tetapi kerana seseorang itu benar-benar berkemampuan dan berkebolehan memimpin. Sabda Rasulullah S.A.W:

- Advertisement -

عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ، رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ ﷺ: «مَنِ اسْتَعْمَلَ رَجُلًا مِنْ عِصَابَةٍ وَفِي تِلْكَ الْعِصَابَةِ مَنْ هُوَ أَرْضَى لِلَّهِ مِنْهُ فَقَدْ خَانَ اللَّهَ وخانَ رَسُولَهُ وخانَ الْمُؤْمِنِينَ»

“Daripada Ibn Abbas R.A dia berkata, Rasulullah S.A.W bersabda: Barangsiapa yang melantik lelaki dari kaumnya sedangkan ada yang lebih diredhai Allah (yang lebih layak dari lelaki tadi), maka sesungguhnya dia telah mengkhianati Allah dan RasulNya serta orang-orang mukmin.”

(Mustadrak al-Hakim, no: 7023 – al-Hakim menilai Hadis ini sebagai Sahih al-Isnad, manakala al-Albani menilai Hadis ini sebagai daif)

Perhatikan bagaimana sebahagian Sahabat melihat anak kepada Saidina Umar iaitu Abdullah bin Umar adalah seorang yang dikatakan layak untuk jadi pemimpin, tetapi Umar sendiri membantahnya. 

Beliau tidak mahu ada di kalangan anak-beranaknya sendiri menggalas tanggungjawab yang sangat berat ini. Kata Saidina Umar:

من استعمل رجلا لمودة او لقرابة لا يستعمله الا لذلك فقد خان الله ورسوله والمؤمنين

“Barangsiapa yang melantik seorang lelaki menjadi pemimpin disebabkan kerana dia suka kepada lelaki tersebut atau kerana lelaki tersebut adalah ahli kerabatnya, maka sesungguhnya dia telah mengkhianati Allah, RasulNya dan orang-orang mukmin.”

(Ibn Kathir, Musnad al-Faruq, 2/537)

Pernah suatu hari Saidina Umar turun meninjau di pasar dan mendapati seekor unta yang sihat dan cantik. Lalu Umar bertanya: Milik siapakah unta ini? Orang awam menjawab: Ini adalah unta Abdullah bin Umar (iaitu anak Saidina Umar). 

Umar segera memanggil anaknya Abdullah bin Umar dan meminta agar unta ini segera dijual. Alasannya adalah Umar tidak mahu dilihat anaknya mendapat kelebihan memiliki unta yang sihat dan cantik kerana hubungannya dengan ayahnya sebagai seorang pemimpin negara. Kata Umar:

فيقولون: ارْعُوا إِبِلَ ابْنِ أَمِيرِ الْمُؤْمِنِينَ اسْقُوا إِبِلَ ابْنِ أَمِيرِ الْمُؤْمِنِينَ

“(Wahai anakku), nanti orang ramai akan berkata: Jagalah elok-elok unta anak Amirul Mukminin, berilah minum unta anak Amirul Mukminin (ia sebagai satu bentuk rasuah bahawa sekiranya untanya dijaga dengan elok maka yang menjaga atau memberi minum unta tersebut akan dapat syafaat tertentu daripada pemerintah (favoritisme) kerana jasa mereka menjaga unta milik anak VVIP).” 

(Sunan al-Kabir al-Bayhaqi, Tarikh Ibn Asakir)

Ibn Khayyat pernah merekodkan kisah Saidina Muawiyyah yang berhasrat untuk melantik anaknya sebagai pemimpin dan meminta para Sahabat yang ada ketika itu untuk berbaiah (melafazkan janji taat setia) kepada anaknya. 

Lalu beberapa orang Sahabat yang masih ada ketika itu membantah lantikan yang bersifat sebegini. Antara yang membantahnya ialah: Abdullah bin Umar, Abdullah bin al-Zubair, Abdullah bin Abbas dan Abd al-Rahman bin Abu Bakar. Abd al-Rahman dikatakan antara yang paling tegas membantah lantikan ini. Beliau menyelar tindakan Muawiyah dengan berkata:

وَالله لَوَدِدْت أَنا وكلناك فِي أَمر ابْنك إِلَى اللَّه وَإِنَّا وَالله لانفعل وَالله لتردن هَذَا الْأَمر شُورَى فِي الْمُسلمين

“Demi Allah, aku lebih suka jika kami membiarkanmu sendirian dalam isu pelantikan anakmu ini di hadapan Allah, dan demi Allah kami tidak akan masuk campur! Demi Allah, engkau mesti kembalikan isu ini kepada syura kalangan Muslimin.” 

(Tarikh Khalifah Ibn Khayyat)

Negara Madani acuan Allah, sifatnya adalah  sepertimana yang dipraktikkan oleh Saidina Umar yang tidak melantik anak sendiri dengan memberi kedudukan tinggi dalam kerajaan.

Jangan jadikan Negara Madani sekadar slogan semata-mata, dengan tujuan agar sedap didengar sahaja, tetapi pelaksanaan tidak menurut neraca Islam.

YB USTAZ SHAHRIL AZMAN ABD HALIM AL-HAFIZ
ADUN Jengka – HARAKAHDAILY 31/1/2023

- Advertisement -