Negara madani acuan Allah

- Advertisement -

PERKATAAN madani yang berasal daripada bahasa al-Quran hendaklah diterjemahkan dengan makna yang sahih, berteraskan sikap amanah terhadap ilmu Islam yang wajib dipelihara, disampaikan dengan jelas, serta diamalkan mengikut perintah Allah SWT. Perkara ini bukanlah seperti jenama ubat yang boleh disyarahkan mengikut selera penjualnya bagi menarik pelanggan seberapa ramai untuk sementara waktu.

- Advertisement -

Pelaksanaan tasawur negara madani yang sebenar daripada petunjuk Kitab Allah (al-Quran) sahaja yang berjaya dalam sejarahnya. Ia mengalami proses tarbiyah rabbaniyyah imaniyyah yang berjuang menegakkannya, mengatasi seluruh agama dan ajaran yang lain.

Setelah proses tersebut dilalui, maka ia akhirnya berjaya melahirkan kepimpinan yang mendapat hidayah Allah SWT, dan memimpin rakyat kepada kebahagiaan dunia dan akhirat berprinsipkan iman dan berkonsepkan taqwa. Ia melalui syarat yang telah ditetapkan oleh Allah SWT melalui firman-Nya:

﴿وَلَوۡ أَنَّ أَهۡلَ ٱلۡقُرَىٰٓ ءَامَنُواْ وَٱتَّقَوۡاْ لَفَتَحۡنَا عَلَيۡهِم بَرَكَٰتٖ مِّنَ ٱلسَّمَآءِ وَٱلۡأَرۡضِ وَلَٰكِن كَذَّبُواْ فَأَخَذۡنَٰهُم بِمَا كَانُواْ يَكۡسِبُونَ ٩٦﴾

“Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka keberkatan dari langit dan bumi. Akan tetapi, mereka mendustakan (ayat-ayat Kami) itu, lalu Kami timpakan mereka dengan seksaan disebabkan perbuatan yang telah mereka lakukan.” (Surah al-A‘raf: 96)

Dua syarat yang wajib ditunaikan melalui ayat di atas ialah beriman dan bertaqwa. Ayat ini ditafsirkan oleh ayat-ayat al-Quran yang lain dan dipamerkan teladan pelaksanaannya oleh Rasulullah SAW, para Khulafa’ al-Rasyidin, pengikut yang setia, serta penulisan para ulama’ muktabar.

Abu al-Hasan ‘Ali al-Nadwi RH menegaskan konsep negara itu dengan nama ‘negara hidayah’ (sirat al-mustaqim), bukan ‘negara jibayah’ (materialistik) yang dibawa oleh semua ideologi ciptaan manusia.

Rasulullah SAW telah menukar nama tempat hijrahnya ‘Yathrib’ atau ‘Taibah’ kepada perkataan ‘Madinah’. Madinah menjadi panduan dalam menegakkan negara dan masyarakat madani yang berpandukan acuan Allah SWT melalui firman-Nya:

﴿ٱلَّذِينَ أُخۡرِجُواْ مِن دِيَٰرِهِم بِغَيۡرِ حَقٍّ إِلَّآ أَن يَقُولُواْ رَبُّنَا ٱللَّهُۗ وَلَوۡلَا دَفۡعُ ٱللَّهِ ٱلنَّاسَ بَعۡضَهُم بِبَعۡضٖ لَّهُدِّمَتۡ صَوَٰمِعُ وَبِيَعٞ وَصَلَوَٰتٞ وَمَسَٰجِدُ يُذۡكَرُ فِيهَا ٱسۡمُ ٱللَّهِ كَثِيرٗاۗ وَلَيَنصُرَنَّ ٱللَّهُ مَن يَنصُرُهُۥٓۚ إِنَّ ٱللَّهَ لَقَوِيٌّ عَزِيزٌ ٤٠ ٱلَّذِينَ إِن مَّكَّنَّٰهُمۡ فِي ٱلۡأَرۡضِ أَقَامُواْ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتَوُاْ ٱلزَّكَوٰةَ وَأَمَرُواْ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَنَهَوۡاْ عَنِ ٱلۡمُنكَرِۗ وَلِلَّهِ عَٰقِبَةُ ٱلۡأُمُورِ ٤١﴾

“(Iaitu) orang-orang yang telah diusir dari kampung halaman mereka tanpa alasan yang benar, kecuali kerana mereka berkata: ‘Rabbuna Allah (Tuhan kami hanyalah Allah).’ Dan sekiranya Allah tiada menolak (keganasan) sebahagian manusia dengan sebahagian yang lain, tentulah telah dirobohkan biara-biara Nasrani, gereja-gereja, rumah-rumah ibadat orang Yahudi, dan masjid-masjid yang di dalamnya banyak disebut nama Allah. Sesungguhnya, Allah pasti menolong orang yang menolong (agama)-Nya. Sesungguhnya, Allah benar-benar Maha Kuat lagi Maha Perkasa. (40) (Iaitu) orang-orang yang jika Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi (memerintah negara), nescaya mereka mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, menyuruh berbuat yang ma‘ruf, dan mencegah daripada perbuatan yang mungkar; dan kepada Allah jua kembali segala urusan. (41)” (Surah al-Hajj: 40–41)

Penegakan sebuah negara dan masyarakat madani bermula dengan perjuangan menegakkan iman, aqidah, dan tauhid dengan mengucapkan “Rabbuna Allah (Tuhan kami ialah Allah yang Maha Esa sahaja)”. Kalimah itu mestilah diucap dengan nyata, bukan dengan kata-kata tersirat kerana ia termasuk dalam aspek ibadat dan diterjemahkan juga melalui tadbir urus oleh pemimpin yang bersyakhsiah.

Pemimpin tersebut mampu memimpin masyarakat majmuk yang terdiri daripada pelbagai agama dan kaum berteraskan konsep hak asasi yang sebenar, adil, dan kebebasan beragama yang dikawal oleh sempadan Allah SWT. Sempadan itu pula menetapkan tugas dan peranan manusia yang diciptakan adalah untuk beribadat kepada Allah sahaja, berkhilafah iaitu mentadbir urusan dunia dengan petunjuk Allah (Islam), dan menunaikan amanah pelaksanaan syariat Allah.

Rasulullah SAW pernah menolak tawaran yang diberikan oleh puak jahiliah dengan mendapat harta dan takhta secara percuma tanpa Islam dan perjuangannya. Namun, Baginda memilih untuk tetap beristiqamah menghadapi perjuangan yang sebenar bagi menegakkan agama Allah yang sempurna, walaupun terpaksa menghadapi tentangan dari segenap penjuru dunia.

Akhirnya, Rasulullah SAW mampu memimpin dan mentadbir masyarakat manusia yang bertamadun lengkap mengikut fitrahnya dalam segala aspek, sama ada jasad, roh, dan akal, mahupun hubungan dengan Allah SWT serta hubungan sesama keluarga, masyarakat manusia, dan alam sekeliling. Semuanya ditadbir urus oleh kepimpinan yang beriman, budiman, dan berilmu secara tafaqquh fi al-din, berteraskan ciri-ciri berikut:

  1. Rabbani iaitu menegakkan solat, yakni memelihara hubungan hamba dengan Allah SWT, bukan hanya mendirikan masjid. Masjidnya bukan sekadar bangunan yang indah, bahkan mestilah juga berperanan membina insan yang beriman, berakhlak, berilmu, dan berihsan kerana Allah SWT. Firman Allah SWT:

﴿قُلۡ إِنَّ صَلَاتِي وَنُسُكِي وَمَحۡيَايَ وَمَمَاتِي لِلَّهِ رَبِّ ٱلۡعَٰلَمِينَ ١٦٢ لَا شَرِيكَ لَهُۥۖ وَبِذَٰلِكَ أُمِرۡتُ وَأَنَا۠ أَوَّلُ ٱلۡمُسۡلِمِينَ ١٦٣﴾

“Katakanlah: ‘Sesungguhnya, sembahyangku, ibadatku, hidupku, dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan semesta alam. (162) Tiada sekutu bagi-Nya; dan demikian itulah yang diperintahkan kepadaku dan aku ialah orang yang pertama-tama menyerahkan diri (kepada Allah).’ (163)” (Surah al-An‘am: 162–163)

  • Menunaikan zakat berkonsepkan ekonomi bermasyarakat yang adil dan saksama serta beristiqamah tidak ke kanan dan ke kiri.
  • Amar ma‘ruf (berkebajikan) dengan makna yang luas dan lengkap, merangkumi hubungan manusia dengan Tuhan, diri, masyarakat, dan alam sekelilingnya.
  • Nahi munkar (mencegah kemungkaran) melalui pendidikan dan pelaksanaan undang-undang yang hebat dan menyeluruh sehingga mendidik jasad dan roh, di samping melakukan hisbah.
  • Berwawasan jauh dari dunia sehingga Akhirat, bukan dalam dunia yang sempit.

Rasulullah SAW menjadi teladan pilihan Allah SWT yang wajib diikuti kerana Allah SWT berfirman:

﴿قُلۡ إِن كُنتُمۡ تُحِبُّونَ ٱللَّهَ فَٱتَّبِعُونِي يُحۡبِبۡكُمُ ٱللَّهُ وَيَغۡفِرۡ لَكُمۡ ذُنُوبَكُمۡۚ وَٱللَّهُ غَفُورٞ رَّحِيمٞ ٣١ قُلۡ أَطِيعُواْ ٱللَّهَ وَٱلرَّسُولَۖ فَإِن تَوَلَّوۡاْ فَإِنَّ ٱللَّهَ لَا يُحِبُّ ٱلۡكَٰفِرِينَ ٣٢﴾

“Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku (Muhammad SAW), nescaya Allah mengasihi dan mengampunkan dosa-dosamu.’ Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. (31) Katakanlah (Muhammad): ‘Taatilah Allah dan Rasul-Nya; jika kamu berpaling, maka sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang kafir.’ (32)” (Surah Ali ‘Imran: 31–32)

Firman Allah SWT lagi:

﴿لَّقَدۡ كَانَ لَكُمۡ فِي رَسُولِ ٱللَّهِ أُسۡوَةٌ حَسَنَةٞ لِّمَن كَانَ يَرۡجُواْ ٱللَّهَ وَٱلۡيَوۡمَ ٱلۡأٓخِرَ وَذَكَرَ ٱللَّهَ كَثِيرٗا ٢١﴾

“Sesungguhnya, telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagi kamu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) Hari Kiamat dan dia banyak menyebut dan ingat akan Allah.” (Surah al-Ahzab: 21)

Apabila tawaran Islam daripada Rasulullah SAW ditolak oleh masyarakat jahiliah dan Rasulullah SAW juga menolak tawaran pemimpin jahiliah yang mahu melantiknya menjadi ketua negara, maka Baginda SAW mencari sasaran dakwah yang lain.

Apabila suku Aus dan Khazraj menerima tawarannya, maka Rasulullah SAW pun melakukan baiah dengan para pemimpin mereka yang berintegriti mengikut acuan Allah SWT. Firman Allah SWT:

﴿۞إِنَّ ٱللَّهَ يَأۡمُرُكُمۡ أَن تُؤَدُّواْ ٱلۡأَمَٰنَٰتِ إِلَىٰٓ أَهۡلِهَا وَإِذَا حَكَمۡتُم بَيۡنَ ٱلنَّاسِ أَن تَحۡكُمُواْ بِٱلۡعَدۡلِۚ إِنَّ ٱللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُم بِهِۦٓۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ سَمِيعَۢا بَصِيرٗا ٥٨ يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ أَطِيعُواْ ٱللَّهَ وَأَطِيعُواْ ٱلرَّسُولَ وَأُوْلِي ٱلۡأَمۡرِ مِنكُمۡۖ فَإِن تَنَٰزَعۡتُمۡ فِي شَيۡءٖ فَرُدُّوهُ إِلَى ٱللَّهِ وَٱلرَّسُولِ إِن كُنتُمۡ تُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأٓخِرِۚ ذَٰلِكَ خَيۡرٞ وَأَحۡسَنُ تَأۡوِيلًا ٥٩﴾

“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyampaikan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menetapkan hukum dengan adil. Sesungguhnya, Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberikan pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya, Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat. (58) Wahai orang-orang yang beriman! Taatilah kalian kepada Allah, taatilah kalian kepada Rasulullah dan kepada Ulil Amri (para pemimpin) antara kamu. Kemudian, jika kamua berlainan pendapat (berselisihan) tentang sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada Allah (al-Quran) dan Rasul-Nya (Sunnah), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan Hari Kemudian. Oleh yang demikian, perkara itu adalah lebih utama (bagi kamu), dan lebih baik pula akibatnya. (59)” (Surah al-Nisa’: 58–59)

Acuan Allah SWT berprinsipkan iman, berkonsepkan adil kepada semua, dan ulil amri yang bersifat ‘adalah (kepimpinan yang beriman, berilmu, dan berakhlak yakni tidak fasiq).

Setibanya di Yathrib, Rasulullah SAW menggerakkan usaha perpaduan dalam kalangan umat Islam berteraskan iman, manakala bagi bukan Islam yang tidak ekstrem pula adalah berteraskan sifat kemanusiaan dalam masyarakat majmuk. Perpaduan tersebut diterjemahkan melalui pemeteraian Sahifah al-Madinah (Piagam Madinah). Selain itu, nama Taibah juga ditukar kepada Madinah, dengan makna asalnya ialah bandar atau ibu negara.

Al-Farabi memperkenalkan konsep al-Madinah al-Fadilah yang dikatakan sebagai suatu reaksi terhadap falsafah Plato, seorang filsuf Yunani (Greek) daripada karyanya al-Jumhuriyyah (The Republic). Ibn Khaldun RH pula memperkenalkan perkataan madani dalam ilmu politik dan kemasyarakatan melalui kitabnya yang terkenal iaitu al-Muqaddimah dengan ungkapan:

الْإِنْسَانُ ‌مَدَّنِيٌّ ‌بِالطَّبْعِ.

“Manusia itu tabiinya madani.” (Ibn Khaldun, Tarikh Ibn Khaldun [al-Muqaddimah], ms. 54)

Al-Muqaddimah daripada buku sejarah Tarikh Ibn Khaldun merupakan sebuah kitab yang terkenal dan menjadi kajian ilmuwan dalam pelbagai bahasa.

Ibn Khaldun mentafsirkan perkataan ‘madani’ daripada perkataan ‘madinah’ yang bererti bandar yang menjadi tempat manusia berkumpul. Madani seerti dengan perkataan ‘tamadun’ yang bermaksud pembangunan manusia dan keperluannya dengan ilmu berpandukan al-din.

Tamadun pula menjadi perkataan yang seerti dengan ‘hadarah’, bermaksud kehadiran untuk berkumpul yang menjadi fitrah manusia secara keseluruhan tanpa mengira bangsa dan agama kerana keperluan hidup bermasyarakat. Walaupun ada kalanya bersendirian, manusia mesti berkumpul dalam masyarakat untuk berurusan dalam semua keperluan hidup yang wajib seperti politik, ekonomi, dan lain-lain. Hal ini berkonsepkan firman Allah SWT:

﴿يَٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ إِنَّا خَلَقۡنَٰكُم مِّن ذَكَرٖ وَأُنثَىٰ وَجَعَلۡنَٰكُمۡ شُعُوبٗا وَقَبَآئِلَ لِتَعَارَفُوٓاْۚ إِنَّ أَكۡرَمَكُمۡ عِندَ ٱللَّهِ أَتۡقَىٰكُمۡۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٞ ١٣﴾

“Wahai manusia! Sesungguhnya, Kami menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan; dan Kami telah menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku puak supaya kamu bertaaruf (saling kenal-mengenal dan berhubungan). Sesungguhnya, orang yang paling mulia antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa antara kamu. Sesungguhnya, Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mengenal.” (Surah al-Hujurat: 13)

Rasulullah SAW telah berhijrah dengan menghimpunkan umat Islam dan masyarakat majmuk daripada pelbagai agama dan bangsa di Madinah, kemudian mentadbir urus dengan pelaksanaan Islam yang sempurna, sebagaimana perintah Allah SWT melalui firman-Nya:

﴿يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱدۡخُلُواْ فِي ٱلسِّلۡمِ كَآفَّةٗ وَلَا تَتَّبِعُواْ خُطُوَٰتِ ٱلشَّيۡطَٰنِۚ إِنَّهُۥ لَكُمۡ عَدُوّٞ مُّبِينٞ ٢٠٨ فَإِن زَلَلۡتُم مِّنۢ بَعۡدِ مَا جَآءَتۡكُمُ ٱلۡبَيِّنَٰتُ فَٱعۡلَمُوٓاْ أَنَّ ٱللَّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ ٢٠٩﴾

“Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhan, dan janganlah kamu turuti langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya, syaitan itu musuh yang nyata bagimu. (208) Akan tetapi, jika kamu menyimpang (dari jalan Allah) sesudah datang kepadamu bukti-bukti kebenaran, maka ketahuilah, bahawasanya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. (209)” (Surah al-Baqarah: 208–209)

Pelaksanaan Islam yang sempurna oleh Rasulullah SAW telah berjaya mewujudkan sebuah masyarakat majmuk yang bersatu tanpa paksaan untuk menganut Islam. Namun, Islam wajib menjadi petunjuk dan memimpin kerana kesempurnaan ajarannya daripada konsep al-din, bukan sekadar agama mengikut takrif perkataannya, bersama syarat kepimpinan yang beriman, berilmu, dan berakhlak mulia.

Konsep madani yang sebenar telah berjaya dilaksanakan oleh Rasulullah SAW dengan berpandukan nas dan ijtihad yang berkonsepkan Siasah Syar‘iyyah dan Maqasid al-Syari‘ah, sama ada dalam aspek pelaksanaan syariat mahupun dalam perkara yang tiada nas. Hal ini termasuklah dalam menangani situasi dan realiti yang sentiasa berubah-ubah.

Adapun Ibn Khaldun RH memperkenalkan suatu huraian tentang konsep madani kerana tidak senang dengan pemerintah Islam yang telah menunjukkan kelemahan dan penyelewengan pada zamannya. Sikap ini dapat dibaca dalam tulisannya secara menyeluruh, bukan hanya dengan memetik satu perkataan madani sahaja untuk menjadi jenama pelaris sementara waktu.

Tafsiran sejarah oleh Ibn Khaldun ialah membuat perbandingan kerajaan dengan senario umur manusia yang bermula dengan kanak-kanak, remaja, dewasa, dan berakhir dengan nyanyuk sebelum kematiannya. Maka, perubahan yang berkonsepkan madani secara islah dan tajdid bagi membetulkan negara tidak boleh dijayakan dengan gejala nyanyuk yang menjadi penyakit kepada kerajaan lama dan masih berterusan sehingga kini.

Penyakit seperti rasuah, salah laku, salah tadbir urus, zalim, tidak berintegriti, dan lain-lain tidak boleh diubati tanpa mengikuti proses perubahan yang betul. Maka, Allah SWT menunjukkan peta jalan (road map) berpandukan al-Quran yang dilaksanakan oleh Rasulullah SAW.

Bagi membina semula bangunan yang rosak, bahan yang rosak dan buruk tidak boleh diambil, digunakan semula, atau dikitar semula. Begitulah islah dan tajdid dalam kehidupan manusia yang bernegara dan bermasyarakat madani.

Negara Islam yang dimulakan oleh Rasulullah SAW telah berjaya mengislamkan penduduk yang diperintah oleh Islam tanpa paksaan. Di samping itu, ia juga berjaya mengislamkan ilmu yang bermanfaat daripada semua bangsa, dengan petunjuk wahyu daripada al-Quran sebagai mukjizat ilmu serta keperibadian Rasulullah SAW dan para pemimpin sahabat, termasuk pengikut Islam yang lahir daripada pelbagai bangsa dan berpanjangan setia kepada mereka.

Menjadi satu hikmah yang besar apabila Allah SWT menurunkan wahyu yang pertama berkenaan ilmu, sebagaimana firman-Nya:

﴿ٱقۡرَأۡ بِٱسۡمِ رَبِّكَ ٱلَّذِي خَلَقَ ١ خَلَقَ ٱلۡإِنسَٰنَ مِنۡ عَلَقٍ ٢ ٱقۡرَأۡ وَرَبُّكَ ٱلۡأَكۡرَمُ ٣ ٱلَّذِي عَلَّمَ بِٱلۡقَلَمِ ٤ عَلَّمَ ٱلۡإِنسَٰنَ مَا لَمۡ يَعۡلَمۡ ٥﴾

“Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu yang menciptakan. (1) Dia telah menciptakan manusia daripada segumpal darah. (2) Bacalah, dan Tuhanmu itulah yang Maha Pemurah. (3) Tuhan yang mengajar (manusia) dengan perantaraan pena. (4) Dia mengajar kepada manusia apa yang tidak diketahuinya. (5)” (Surah al-‘Alaq: 1–5)

Semua ilmu hendaklah berkonsepkan aqidah, sama ada ilmu wahyu daripada al-Quran dan Sunnah ataupun ilmu ciptaan akal dan pengalaman manusia yang diizinkan dalam sempadan Allah supaya manusia tidak melampaui batas. Firman Allah SWT:

﴿… تِلۡكَ حُدُودُ ٱللَّهِ فَلَا تَعۡتَدُوهَاۚ وَمَن يَتَعَدَّ حُدُودَ ٱللَّهِ فَأُوْلَٰٓئِكَ هُمُ ٱلظَّٰلِمُونَ ٢٢٩﴾

“…Itulah sempadan (hukum-hukum) Allah, maka janganlah kamu melanggarnya. Sesiapa yang melanggar hukum-hukum Allah, mereka itulah orang-orang yang zalim.” (Surah al-Baqarah: 229)

Islam yang berkuasa mewujudkan konsep madani bersama kepimpinan yang bercirikan syarat iman, ilmu, dan akhlak telah berjaya mencipta Tamadun Islam (Hadarah Islamiah), bukan Islam Hadari. Tamadun Islam dipimpin dan dipandu oleh Islam, bukannya Islam yang dihanyutkan oleh akal manusia sehingga terpesong atas nama tamadun.

Negara Barat yang mengalami kemajuan selepas berlakunya Revolusi Industri itu sebenarnya bermula dengan mengkaji Tamadun Islam, tetapi apa yang diambil itu dipisahkan daripada ajaran Islam yang sempurna. Mereka mengumpulkan hasil ilmuwan Islam pada masa penjajahan, dengan teks asalnya masih tersimpan sehingga kini. Sebahagian besarnya pula diterjemahkan kepada bahasa-bahasa mereka, malah banyak perkataan bahasa Arab masih dikekalkan menjadi istilah sains dan teknologi.

Kini, kita sedang menyaksikan Tamadun Barat mula membakar diri sendiri kerana ketamadunan mereka tiada sempadan agama dan akhlak setelah ia dipisahkan daripadanya. Semuanya sedang meruntuh dalam segala aspek politik, ekonomi, masyarakat, keluarga, dan jasad sendiri, termasuk alam sekitarnya.

Sehinggakan kemajuan sains dan teknologinya tersungkur dengan ciptaan senjata peperangan yang lebih ganas daripada binatang buas, pembangunan yang merosakkan alam sekitar, serta perubatan yang bertukar menjadi senjata biologi dan merosakkan akal, roh, dan jasad. Benarlah firman Allah SWT:

﴿ظَهَرَ ٱلۡفَسَادُ فِي ٱلۡبَرِّ وَٱلۡبَحۡرِ بِمَا كَسَبَتۡ أَيۡدِي ٱلنَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعۡضَ ٱلَّذِي عَمِلُواْ لَعَلَّهُمۡ يَرۡجِعُونَ ٤١﴾

“Telah nampak kerosakan di darat dan di laut disebabkan kerana perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian daripada (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar).” (Surah al-Rum: 41)

Maka, acuan madani yang berbeza daripada petunjuk Allah dan teladan Rasulullah SAW, pasti akan menemui kegagalan yang sama seperti tamadun sebelumnya dan tamadun yang sedang membakar diri sekarang. Firman Allah SWT:

﴿صِبۡغَةَ ٱللَّهِ وَمَنۡ أَحۡسَنُ مِنَ ٱللَّهِ صِبۡغَةٗۖ وَنَحۡنُ لَهُۥ عَٰبِدُونَ ١٣٨﴾

“Sibghah (celupan) Allah. Dan siapakah yang lebih baik sibghah (celupan agama)-nya daripada Allah? Dan hanya kepada-Nyalah kami menyembah.” (Surah al-Baqarah: 138)

Umat Islam tidak boleh terpengaruh dengan idea ‘civil society’ yang dibawa oleh mereka yang tidak beriman seperti Thomas Paine, John Locke, Jean-Jacques Rousseau, dan Montesquieu. Demikian juga, tidak boleh terpengaruh dengan pembawaan teori liberal kapitalisme oleh Adam Smith serta teori komunisme dan sosialisme dan melalui Karl Marx, Antonio Gramsci, Frantz Fanon, dan sebagainya.

Terdapat kalangan ilmuwan Islam yang terpengaruh dengan mereka, namun teori mereka itu semuanya tidak berpijak di alam kenyataan yang berjaya dalam sebuah negara Islam yang terpengaruh dengannya. Allah SWT memberikan suatu peringatan melalui firman-Nya:

﴿وَأَنَّ هَٰذَا صِرَٰطِي مُسۡتَقِيمٗا فَٱتَّبِعُوهُۖ وَلَا تَتَّبِعُواْ ٱلسُّبُلَ فَتَفَرَّقَ بِكُمۡ عَن سَبِيلِهِۦۚ ذَٰلِكُمۡ وَصَّىٰكُم بِهِۦ لَعَلَّكُمۡ تَتَّقُونَ١٥٣﴾

“Dan bahawa (yang Kami perintahkan ini) ialah jalan-Ku yang lurus, maka ikutilah dia, dan janganlah kamu mengikuti jalan-jalan (yang lain), kerana jalan-jalan itu mencerai-beraikan kamu daripada jalan-Nya. Oleh yang demikian, itu diperintahkan Allah agar kamu bertaqwa.” (Surah al-An‘am: 153)

Para ulama’ Islam dalam semua mazhab meninggalkan pusaka ilmu para anbiya’ yang wajib dipelihara, dikaji, dan diamalkan. Antaranya adalah sebagaimana berikut:

  1. Abu Yusuf (w. 182 H) – al-Kharaj
  2. Muhammad bin al-Hasan al-Shaybani (w. 189 H) – al-Sayr al-Kabir
  3. Al-Mawardi (w. 450 H) – al-Ahkam al-Sultaniyyah
  4. Abu Ya‘la (w. 458 H) – al-Ahkam al-Sultaniyyah
  5. Imam al-Haramayn al-Juwayni (w. 478 H) – Ghiyath al-Umam fi al-Tiyath al-Zulam
  6. Ibn Taymiyyah (w. 728 H) – al-Siyasah al-Shar‘iyyah
  7. Ibn al-Qayyim (w. 751 H) – al-Turuq al-Hukmiyyah

Justeru, jangan diwarnakan perkataan madani sewenang-wenangnya, kerana al-Quran ialah mukjizat ilmu yang kekal cahayanya bagi menyuluh seluruh perjalanan hidup manusia sehingga kembali bertemu Allah SWT. Seterusnya, akan terdedahlah semua pihak yang ikhlas mahupun pihak yang menipu berdasarkan firman Allah SWT:

﴿وَقُلِ ٱعۡمَلُواْ فَسَيَرَى ٱللَّهُ عَمَلَكُمۡ وَرَسُولُهُۥ وَٱلۡمُؤۡمِنُونَۖ وَسَتُرَدُّونَ إِلَىٰ عَٰلِمِ ٱلۡغَيۡبِ وَٱلشَّهَٰدَةِ فَيُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُمۡ تَعۡمَلُونَ١٠٥﴾

“Dan katakanlah: ‘Bekerjalah kamu, maka Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang Mukmin akan melihat pekerjaanmu itu, dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) yang Mengetahui akan yang ghaib dan yang nyata, lalu diberitakan-Nya kepada kamu apa yang telah kamu kerjakan.’” (Surah al-Tawbah: 105)

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 7 Rajab 1444 / 29 Januari 2023 – HARAKAHDAILY 29/1/2023

- Advertisement -