RANTAU PANJANG: Kini lebih sebulan berlalu namun penduduk yang menjadi mangsa banjir di daerah ini belum lagi menerima bantuan banjir seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 21 Disember lepas.
Malah, penduduk belum menerima sebarang maklumat berhubung status bantuan banjir tersebut yang sepatutnya sudah lama diterima mereka.
Menurut seorang penduduk, Surianu Ibrahim, 52, setakat ini beliau masih belum menerima bantuan banjir RM1,000 seperti yang dijanjikan oleh kerajaan pusat sebelum ini.
Sedangkan katanya, kebiasaannya mangsa banjir menerima bantuan ketika berada di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) atau beberapa hari selepas pulang ke rumah.
“Kalau nak ikutkan pada tahun-tahun lepas bantuan banjir berjumlah RM1,000 kami dapat sebaik sahaja pulang ke kediaman atau beberapa hari selepas itu.
“Tetapi banjir kali ini kami masih belum menerima sebarang bantuan seperti yang diumumkan kerajaan pusat baru-baru ini, setakat ini kami hanya menerima bantuan banjir yang dihulur NGO dan wakil rakyat,” katanya ketika ditemui di sini.
Pada Disember lalu, rumah Surianu ditenggelami banjir sedalam 2 meter sehingga menyebabkan banyak peralatan rumah rosak.
Seorang lagi penduduk Zawiah Che La turut memberitahu keluarganya belum menerima bantuan banjir seperti yang dijanjikan kerajaan.
“Setakat ini kami tidak terima apa-apa bayaran seperti yang diumumkan perdana menteri pada Disember lepas.
“Jadi, saya amat berharap kerajaan dapat membantu penduduk yang mengalami banyak kerugian harta benda akibat banjir, ” katanya.
Kerajaan sebelum ini memberitahu akan meneruskan bantuan banjir RM1,000 kepada setiap ketua isi rumah (KIR) yang terkesan akibat banjir.
Manakala, bantuan RM10,000 bagi keluarga yang kematian ahli keluarga akibat banjir dan bayaran berkenaan akan diberikan kepada KIR.
Baru-baru ini Menteri Besar Kelantan Ustaz Datuk Bentara Kanan Ahmad Yakob memberitahu bantuan banjir tidak lagi disalur melalui kerajaan negeri, sebaliknya menerusi Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP).
Ramai menyifatkan diskriminasi politik yang dilakukan kerajaan PH-BN tidak selaras dengan Malaysia Madani seperti diuar-uarkan perdana menteri. – HARAKAHDAILY 29/1/23