Hari Keluarga PASTI erat silaturahim ibu bapa, guru

- Advertisement -

LAHAD DATU: “Saya lihat pada Hari Keluarga ini dapat mengeratkan hubungan silaturahim di antara ibu bapa, anak dan guru,” kata Ayawati Mustamin.

- Advertisement -

Ibu kepada pelajar PASTI itu memanjatkan rasa syukur di atas kesempatan dan ruang untuk ibu bapa kepada anak-anak bersama keluarga masing-masing serta guru-guru menjayakan program itu.

“Sememangnya bagi saya program ini sangat bagus dan wajar diteruskan kerana dengan program ini membuatkan kita lebih mengenali ibu bapa kepada kawan anak-anak kita dan juga mengenali guru anak-anak.

“Selain itu, sifat bantu-membantu antara satu sama lain dapat dilihat semasa aktiviti hari keluarga ini berlangsung,” ujarnya ketika ditemui Harakahdaily, di sini, semalam.

Program yang berlangsung di Silam Coast Conservation Area telah dimeriahkan dengan kehadiran hampir 150 ahli keluarga PASTI Al-Hidayah.

Sementara itu, Mudir PASTI Al-Hidayah, Mohd Ahzam Che Mat berkata, semangat dan kerjasama yang ditonjolkan oleh ibu bapa dan guru amat membantu bagi melancarkan lagi program.

“Antara hikmah menjalinkan ukhuwah persaudaraan dan menghidupkan silaturahim adalah mendapat keredhaan Allah.

“Allah SWT dan penduduk di langit amat suka kepada orang yang menghubungkan ukhuwah persaudaraan,” ujarnya ketika merasmikan program tersebut.

Beliau berkata, usaha pihak pengurusan untuk mengeratkan silaturahim dalam kalangan guru, ibu bapa dan pelajar PASTI Al-Hidayah tercapai dengan melihat sambutan pengunjung yang hadir bagi menjayakan program.

Pelbagai acara dipertandingan diadakan yang melibatkan pelajar, ibu bapa dan guru PASTI.

Antara acara tersebut ialah membawa bola ping pong dalam sudu, semakin jauh semakin sayang, memecahkan belon, tarik tali, boling padang dan kerusi muzik. – HARAKAHDAILY 29/1/2023

- Advertisement -