Monopoli kapitalis ekonomi: Kerajaan turut gagal kawal harga barang

Mohd Syakir Mohd Rosdi
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan perpaduan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dilihat setakat ini turut gagal mengawal harga barangan di Malaysia yang dimonopoli kapitalis ekonomi – yang bukan dari kalangan bumiputera tetapi sebaliknya adalah golongan bukan bumiputera dan bukan warganegara.

Pensyarah Kanan Ekonomi Politik Islam, Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Mohd Syakir Mohd Rosdi berkata, merujuk catatan sejarah, belum ada lagi mana-mana tempoh pemerintahan kerajaan di negara ini yang mampu menurunkan kenaikan harga barangan – tidak terkecuali pemerintahan kerajaan sekarang di bawah naungan kerajaan Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN).

- Advertisement -

Kenaikan harga barangan, terutama barangan keperluan harian kebelakangan ini memberi kesan kepada rakyat sebagai pengguna yang merayu kerajaan perpaduan madani ini agar  melakukan sesuatu yang konkrit supaya kenaikan harga itu dapat dikawal.

“Pada kebiasaannya, harga barangan akan meningkat dan menurun di pasaran, sebaliknya di Malaysia harga barangan berterusan meningkat tanpa ada penurunan. 

“Hal ini disebabkan oleh monopoli barang di negara kita oleh golongan kapitalis ekonomi,” tegas beliau.

Menjelaskan lebih lanjut, Mohd Syakir berkata, istilah ‘kapitalis ekonomi’ merujuk kepada sistem ekonomi dan sosial yang cenderung ke arah pengumpulan kekayaan oleh individu tanpa gangguan kerajaan dan berasaskan keuntungan semata-mata.

“Kapitalis ekonomi juga tidak menghiraukan suara rakyat kerana ia disokong kuat oleh ‘pihak berkepentingan’,” tegasnya kepada HarakahDaily

Penguasaan ekonomi bukan bumiputera, bukan warganegara

Sehubungan itu, beliau menyenaraikan tujuh ciri yang menggambarkan corak penguasaan golongan kapitalis ekonomi di negara ini.  

“Pertama, kapitalis ekonomi memiliki aset besar dalam perniagaan. Kedua, aliran tunai kapitalis ekonomi mampu mempengaruhi pasaran ekonomi negara. 

“Ketiga, perniagaan bersifat mega. Keempat, golongan itu memonopoli pengiklanan perniagaan. Kelima, rebah bangun ekonomi runcitan kecil-kecilan adalah atas ihsan kapitalis ekonomi. 

“Seterusnya ciri keenam, kapitalis ekonomi memonopoli pemprosesan bahan mentah. Ciri ketujuh, kapitalis ekonomi menjadi orang tengah dalam menentukan harga barangan di pasaran,” jelas beliau.

Mohd Syakir turut menegaskan bahawa sehingga kini sekiranya kerajaan PH-BN gagal menguruskan kapitalis ekonomi di Malaysia dengan baik, dan boleh dikatakan kerajaan ini terus gagal untuk menjadi penentu kepada harga barangan di pasaran Malaysia. 

“Menurut fakta ekuiti bumiputera tidak boleh melebihi daripada 20 peratus. Hal ini bermakna bumiputera tidak boleh menguasai ekonomi negara. Justeru, bumiputera di Malaysia bukan golongan kapitalis ekonomi,” dedah beliau lagi.

Sebaliknya, ujarnya, ada dua lagi komponen penting pemilikan ekuiti di Malaysia iaitu bukan warganegara dan bukan bumiputera yang menguasai lebih dari 80 peratus ekonomi dan ‘hasil mahsul negara’ (hasil sesebuah negara yang dieksport) sejak selepas merdeka sehingga sekarang. 

Beliau turut menimbulkan persoalan bahawa dari mana dan  bagaimanakan dua golongan tersebut  mereka mendapat modal yang besar untuk menjalankan bisnes  agar mampu menguasai dan memonopoli ekonomi Malaysia. 

“Sebenarnya pemilikan ekuiti negara tidak hanya berdasarkan perniagaan secara fizikal, tetapi ia juga bergantung kepada perniagaan secara maya seperti Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL),” katanya. 

Tambah beliau, golongan bukan bumiputera dan bukan warganegara Malaysia boleh melabur tanpa sempadan di Malaysia sejak dari dahulu lagi. 

“Justeru, jatuh bangun ekonomi negara banyak bergantung kepada pasaran modal seperti ini. Dua golongan tersebut lebih suka apabila disebut sebagai pelabur, daripada jika dilabelkan sebagai  kapitalis ekonomi. 

“Janggal sekali negara Malaysia ini kerana tanah yang dianggap milik sendiri rupanya hanya fatamorgana. Rupanya telah banyak ia hilang dari Bumiputera,” ungkap beliau. 

Beliau turut memberitahu, modal asing yang masuk ke Malaysia banyak memberi kesan kepada peningkatan nilai barang dan tanah yang terkesan langsung kepada rakyat Malaysia pada keseluruhannya. 

Sukar kawal penguasaan kapitalis ekonomi

Tambah Mohd Syakir, pengawalan terhadap penguasaan kapitalis ekonomi sangat sukar dilakukan kerana timbal balik kesan positif dan negatifnya perlu disemak oleh pihak kerajaan. 

“Jika kerajaan perpaduan pada masa ini turut tidak mampu mengawal kapitalis ekonomi, maka kerajaan ini akan hilang peranannya,” tegasnya.

Justeru menurutnya lagi, kerajaan perpaduan PH-BN seharusnya mengambil berat periuk nasi rakyat di Malaysia.

“Jika kerajaan perpaduan tidak mampu menurunkan harga barangan, maka perlu difikirkan bagaimana caranya untuk meningkatkan pendapatan per kapita rakyat di negara ini agar kadar inflasi yang semakin meningkat ketika ini mampu dikawal dengan baik.

“Pada masa ini nilai mata wang Malaysia yang dikhabarkan makin meningkat adalah disebabkan oleh mata wang dolar  Amerika Syarikat (USD) yang jatuh. Hal ini disebabkan oleh nilai kadar dasar semalaman (OPR) yang meningkat,” jelas beliau. 

Namun, kata Mohd Syakir, berkemungkinan tidak lama lagi nilai mata wang USD boleh meningkat kembali dan menyebabkan kejatuhan nilai ringgit Malaysia. 

“Hal ini sangat berkait rapat dengan harga barang kerana ia berkait rapat pula dengan proses import dan eksport. 

Justeru, tambah beliau, terbaharu ada  pihak yang telah memberi cadangan untuk menggunakan mata wang dinar. 

“Oleh itu, amat sesuailah dengan kerajaan Madani yang dilaungkan oleh Perdana Menteri kesepuluh, Dato’ Seri Anwar Ibrahim agar cadangan tersebut menjadi kenyataan. 

“Jika kerajaan PH-BN boleh berfikir untuk menggunakan dinar, ia sangat baik untuk masa hadapan Malaysia agar ringgit Malaysia tidak banyak terkesan dengan turun naik USD,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/1/2023

- Advertisement -