Apa motif tarik balik tauliah agama di Selangor?

- Advertisement -

SAYA dihantar suatu penjelasan oleh Exco Agama Kerajaan Negeri Selangor mengenai sebab penarikan balik tauliah mengajar di negeri Selangor. Ia diambil dari sebuah portal berita pada 21 Januari 2023. Bagi saya tindakan menarik balik tauliah oleh Kerajaan Negeri Selangor adalah tindakan tidak matang dan tidak berperlembagaan. 

Ada dua alasan diberikan oleh YB Tuan Mohd Zawawi Ahmad Mughni, yang menjustifikasikan tindakan Kerajaan Negeri Selangor menarik balik tauliah kepada ramai pengkuliah agama di negeri ini;

Pertama, kerana mereka ‘terlibat dalam politik kepartian secara aktif’, dan kedua, kerana ‘sebahagian daripada mereka cuba membawa fahaman takfiri, ghuluw (melampau), terpengaruh dengan fikrah Khawarij yang keras dan radikal’.

Lalu katanya ‘Kerajaan Negeri Selangor bertanggungjawab untuk menjaga keamanan dan keharmonian masjid dan surau di Negeri Selangor melalui Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor di bawah seksyen 12 (a) Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) No. 9 Tahun 1995…’.

Reaksi saya, saya menyokong penuh kenyataan YB Exco Agama, sekiranya ada pengkuliah membawa fahaman takfiri, ghuluw (melampau), terpengaruh dengan fikrah Khawarij yang keras dan radikal sebagai tidak patut dan tidak wajar. Tetapi persoalannya, betulkah begitu. Atau sekadar membayang-bayangkan sahaja? Jika betul ada, dakwalah mereka menurut undang-undang yang sedia ada. 

Kami dari Jemaah PAS pun tidak akan menyokong atau membela jika ada ahli parti kami yang membawa fahaman takfiri, ghuluw (melampau), terpengaruh dengan fikrah Khawarij yang keras dan radikal.

Saya sendiri agak lama terlibat dengan kepeguaman syariah di negeri ini, di mana  undang-undang di Selangor adalah undang-undang yang sentiasa saya pertahan dan perkasakan.

Jika benar mereka membawa fahaman takfiri, ghuluw (melampau), terpengaruh dengan fikrah Khawarij yang keras dan radikal, heret mereka ke muka keadilan. Kita ada undang-undang yang boleh menghukum mereka. 

Cuma saya percaya, sebenarnya alasan ‘terlibat dalam politik kepartian secara aktif’ adalah alasan sebenar mengapa ramai pengkuliah agama ditarik balik tauliah. Alasan ini dibuat demi mengekang para pengkuliah bercakap di masjid dan surau. Dan demi memuaskan hati para YB dari Pakatan Harapan yang berkali-kali mendesak Kerajaan Negeri Selangor menarik tauliah mereka. Para YB berkenaan membuat ‘bising’ berkali-kali di Dewan Negeri Selangor bagi menjadi asbab membolehkan kerajaan negeri bertindak menarik balik tauliah mereka. Puas hati PH, kan?

Senario yang sama berlaku pada zaman rejim Khir Toyo dahulu. Ramai pengkuliah agama digam dan disekat daripada memberi kuliah di surau dan masjid. Sebabnya, kerana takut dengan kuliah-kuliah mereka yang berjaya menarik ramai pendengar dan pencinta ilmu. Tindakan Khir Toyo adalah satu kesilapan, dan akibatnya Khir Toyo jatuh.

Malang sekali tindakan Kerajaan Selangor hari ini mengulangi kesilapan yang sama. 

Hakikatnya, kebanyakan para pengkuliah yang ditarik balik tauliah mereka adalah mereka yang berkelayakan menyampaikan ilmu Islam. Ada yang punya Ijazah Pertama, ada yang Masters dan ada yang PhD. 

Mereka keluar dari pusat-pusat pengajian ilmu Islam yang diiktiraf dan sebahagiannya tersohor di dunia, dari dalam negeri dan dari luar negara. Bahkan tidak sedikit mereka yang sama-sama belajar di institusi yang sama dengan mufti-mufti negeri-negeri di tanah air dan para pensyarah di Institut Pengajian Tinggi Tempatan dan Antarabangsa.

Tauliah mereka ditarik balik semata-mata mereka terlibat dengan politik kepartian. Begitu kan? Bukan kerana mereka berpolitik di dalam surau dan masjid. Saya ulang, bukan kerana mereka berpolitik di dalam surau dan masjid. 

Sedang Perlembagaan Negara tidak menghalang mana-mana individu menyertai parti politik dan membentuk pendirian politiknya sendiri, Kerajaan Negeri Selangor mengundur ke belakang. 

Justeru, cadangan saya kepada YB-YB Pakatan Harapan di Selangor supaya menutup mulut daripada bercakap mengenai hak asasi manusia, demokrasi dan keluhuran undang-undang jika hak individu untuk menentukan pendirian politik masing-masing disekat dan dihalang. Lalu tauliah mereka ditarik balik. Jangan cakap tak serupa bikin.

USTAZ MOHD SHAFIE NGAH
Yang Dipertua PAS
Kawasan Bangi – HARAKAHDAILY 22/1/2023

- Advertisement -
- Advertisement -