Politik undur ke belakang

- Advertisement -

DUA HARI lepas, saya hadir mesyuarat anjuran Kementerian Belia dan Sukan Malaysia di Putrajaya. Saya begitu teruja apabila YB Hannah Yeoh selaku Menteri KBS yang baru menyatakan bahawa kerajaan baru tidak akan berpolitik dalam isu sukan demi kesejahteraan rakyat.

- Advertisement -

Berbekalkan semangat itu, saya begitu bersemangat pada pagi ini untuk segera ke sebuah sekolah di Padang Midin selepas membahagikan limau kepada masyarakat Cina untuk merasmikan Akademi Hoki Terengganu yang dijadualkan diadakan di situ.

Sebaik sampai di sekolah saya dapati tiada apa-apa tanda adanya sebarang majlis, saya ke padang hoki, juga tiada walau seorang pun.

Pegawai saya kemudiannya menghubungi Presiden Persatuan Hoki Terengganu (PHT) dan beliau bersungguh-sungguh meminta maaf kepada saya dan memaklumkan bahawa program itu telah diarahkan untuk dibatalkan petang semalam dan tidak dibenarkan diadakan di Premis Sekolah berkenaan kerana sekarang Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan adalah dari parti yang berbeza. Saya Exco dari Kerajaan PAS sedangkan sekolah berada di bawah Kerajaan PH. 

Saya tidak sabar untuk memberitahu kepada rakan-rakan di Persatuan Hoki Terengganu yang semalam sewaktu mesyuarat Exco yang dipengerusikan oleh YAB Menteri Besar, MMKN telah meluluskan peruntukan sebanyak RM2.5 juta untuk sukan hoki termasuk program pembangunan Akademi Hoki yang bakal diadakan di sekolah itu.

Agak kecewa juga saya kerana apa yang YB Menteri sebut baru 2 hari lepas rupanya hanya sekadar ucapan di lidah yang tidak bertulang. Ini politik undur ke belakang, politik 50-an, politik cakap tak serupa bikin. Tak apalah, ambe keluar gi makan roti canailah.

YB USTAZ WAN SUKAIRI WAN ABDULLAH
Exco Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Terengganu
ADUN Wakaf Mempelam – HARAKAHDAILY 19/1/2023

- Advertisement -