Islamofobia sepatutnya tiada tempat di Malaysia

- Advertisement -

ISLAMOFOBIA atau ‘Islamophobia’ dalam bahasa Inggerisnya merujuk kepada kebencian atau kebimbangan sesuatu pihak atau kumpulan khususnya non-Muslim terhadap Islam, penganutnya atau budayanya. Lazimnya sikap atau diskriminasi ini dikesan di negara-negara Barat terutamanya yang kurang maklumat atau interaksi dengan masyarakat Muslim.

- Advertisement -

Tak kenal maka tak cinta kata pepatah Melayu, maka apabila menjelma sikap ini di dalam jiwa seseorang atau sekelompok masyarakat kesannya Islam dan penganutnya akan dimusuhi, dan dicaci-maki dengan harapan lebih ramai lagi akan terpengaruh dan akan turut membenci atau membimbangi agama ini dan penganutnya.

Amalan Islam akan diperlekeh, hukum-hakam dan pengajaran Islam akan dibanding-banding dengan budaya mereka lalu perbezaannya diberi gambaran negatif dan buruk seolah dunia ini hanya punya tempat untuk fahaman dan budaya mereka sahaja. Sedangkan apa sahaja berkaitan Islam itu kononnya kuno, ketinggalan zaman, ‘barbaric‘ dan mengancam budaya, fahaman dan kepercayaan agama lain. 

Kadangkala Islamofobia ini berpunca dari kelemahan segelintir masyarakat Islam sendiri yang memberi tafsiran ekstrem atau terkadang songsang terhadap Islam sehingga membentuk kefahaman hodoh ini di kalangan non-Muslim.

Menawan, menyeksa, membunuh dan menyembelih mereka yang tidak berdosa, melakukan kemusnahan kerana perebutan kuasa, mengamalkan budaya tidak bermoral yang tiada atau ditokok tambah pada Islam, semua ini menyumbang pada Islamofobia. Namun ianya tidaklah mewakili Islam atau penganutnya yang sebenar apatah lagi di Malaysia.

Ada juga Islamofobia berpunca dari kalangan penganut Islam tetapi yang berfikiran liberal sehingga membawa tafsiran yang menyimpang dari agama. Tafsiran mereka ini yang lebih bersandarkan logik dan akal digunakan oleh penganut Islamofobia untuk menambah burukkan lagi imej Islam.

Masalahnya hari ini Islamofobia yang dijaja di Barat, telah menerobos dan meresap masuk pula ke tanah air kita. Malaysia yang berbilang kaum dan agama dengan budaya dan warisan nilainya zaman berzaman sepatutnya tidak menghadapi ancaman Islamofobia ini kerana sejarahnya yang toleran yang dipayungi majoriti masyarakat Melayu Islam yang sentiasa terbuka dan berbaik sangka.

Masyarakat bukan-Melayu, yang menganut agama lain (sebahagiannya telah Islam) dapat menerima keberadaan mereka di tanah air ini dan amalan serta fahaman Islam di kalangan masyarakat Islam tidak langsung menjadi ancaman buat mereka zaman berzaman sebagaimana di negara Barat.

Namun Islamofobia hari ini berjaya bertapak juga, sehingga menjadi isu besar dalam negara. Siapakah yang mempopularkannya?

Semakin umat Islam terdedah pada ilmu dan pemikiran yang lebih terbuka, Islam yang mereka anuti terus difahami dengan lebih mendalam dan diamalkan dengan lebih bersungguh-sungguh. Matlamat mereka adalah untuk menjadi umat Islam yang bertaqwa dan dekat pada Allah S.W.T.

Apabila ini berlaku mereka menjadi individu Muslim yang baik, bertanggungjawab dan berguna lalu membentuk masyarakat yang sama.

Masyarakat Islam sebegini apabila bergaul dengan masyarakat bukan-Islam yang lain, mereka akan mempamerkan budaya disiplin yang tinggi, berintegriti, sentiasa berlaku adil dan saksama, yang lebih penting akan menyumbang ke arah masyarakat berbilang kaum yang sejahtera dan harmoni.

Apabila umat Islam berpegang pada agama mereka, mereka menjadi individu dan kelompok yang baik dan luar biasa, yang tidak berjudi, tidak minum arak, tidak mengamalkan seks diluar nikah, berniaga secara jujur, tidak rasuah, tidak menipu dan sentiasa berkasih sayang dan hormat menghormati sesama insan. Apakah masyarakat bukan-Islam harus takut dan menjauhi kelompok masyarakat seumpama ini?

Tetapi mereka yang punya kepentingan, bimbang pada Islam atau survival politik mereka, mereka inilah yang menjaja dan mengimport fahaman Islamofobia ke tanah air supaya bukan hanya masyarakat bukan-Islam, Cina, India, Kadazan, Iban, Murut dan lain-lain takut pada Islam, tetapi akan menolak sesiapa sahaja yang membawa dan memperjuangkan Islam.

DAP yang berseteru dengan PAS adalah antara parti politik yang ke hadapan menjaja Islamofobia pada hari ini. Mereka yang mahu membawa politik Islam yang damai dan sejahtera dilabel sebagai mahu kononnya menghidupkan budaya ekstrem yang melampau dalam masyarakat. DAPlah yang mempopularkan fahaman bahawa kononnya mengundi PAS bermakna membantu mewujudkan kerajaan ‘Taliban’ ala Afghanistan di Malaysia. Undi PAS, maka PAS akan melaksanakan hukum Hudud potong tangan dan sebagainya sedangkan peraturan dan undang-undang Islam di Malaysia hanya terpakai pada orang-orang Islam sahaja.

Demikian juga apabila kerajaan negeri yang di bawah PAS, umpamanya Kedah baru-baru ini mengharamkan operasi kedai judi, DAPlah yang ke hadapan menyerangnya. Kononnya menyekat hak kebebasan masyarakat bukan-Islam. Adakah berjudi yang menyumbang pada keruntuhan akhlak dan institusi kekeluargaan itu satu hak? 

Islam mengharamkan judi, tetapi Islam juga bertanggungjawab memastikan agar masyarakat di bawahnya termasuk yang bukan-Islam tidak mengamalkan budaya merugikan ini demi masa depan dan keselamatan mereka. Melampaukah kerajaan negeri bertindak sedemikian atau sebenarnya kerajaan negeri telah membantu melindungi kepentingan semua kaum?  

Begitu juga dalam soal arak. Kerajaan Negeri PAS bukannya mengharamkan langsung penjualan arak. Islam mengharamkan arak tetapi mengiktiraf hak mereka yang bukan-Islam yang mahu meminumnya. Apa yang berlaku adalah kawalan terhadap penjualan minuman keras ini agar ianya hanya dijual dan dibeli oleh masyarakat bukan-Islam yang mahu meminumnya. Dan pada waktu yang sama tidak mempromosinya pada masyarakat Islam. Mengapa DAP pula yang melenting dan berbuat bising? 

Islamofobia ini sesuatu yang tidak berasas, namun laris kerana ada pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab yang menjajanya demi kepentingan politik.

Berapa ramaikah masyarakat bukan-Islam di Kelantan, Terengganu, Kedah dan kini Perlis terancam kehidupan mereka sebaik PAS memerintah di sana? Berapa ramaikah telah dipotong tangan atau dipaksa masuk Islam? DAP perlu memberikan statistik pada rakyat agar rakyat boleh menilai taktik kotor mereka selama ini.

Semua tahu bahawa masyarakat bukan-Islam di negeri-negeri bawah pemerintahan PAS bebas mengamalkan adat, budaya dan kepercayaan mereka. Rakyat jangan terpengaruh atau termakan propaganda jahat DAP itu. Masyarakat Malaysia boleh hidup aman dan damai tanpa ada mana-mana kaum atau agama mengancam kehidupan yang lain.

Kejayaan pentadbiran PAS di negeri-negeri PAS ini nanti akan membuka mata rakyat dan malah dunia bahawa Islam itu agama sejahtera dan rakyat pelbagai kaum dan agama sesungguhnya bebas dan aman hidup di bawah pemerintahannya. Biarlah yang takut dan bimbang itu terhad pada DAP dan juak-juaknya sahaja. Islamofobia sepatutnya tiada tempat di Malaysia.

ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR – HARAKAHDAILY 19/1/2023

- Advertisement -