Isu sampah di Marang dan Kuala Terengganu

- Advertisement -

PENDAHULUAN

- Advertisement -

Saya sudah jarang sangat terlibat dengan program melibatkan agensi Kerajaan Negeri Terengganu. Jadi saya kurang dapat memberikan apa-apa komentar dan info mengenai Kerajaan Negeri secara eksklusif. Jika ada yang bertanya mengenai Kerajaan Negeri saya akan minta mereka merujuk kepada kawan-kawan dalam Kerajaan secara langsung.

Tapi saya sudah terlalu banyak mendengar keluhan orang ramai mengenai isu sampah di Marang dan Kuala Terengganu sejak tahun lepas. Pada tahun baru ini, rungutan itu semakin kuat didengari.

Jika telinga kita tidak mampu mendengar pun, kita boleh lihat dengan mata kepala kita sendiri betapa tidak terurusnya tempat-tempat pembuangan sampah di tepi jalan dan kawasan perumahan.

Saya pun pernah adukan masalah ini kepada beberapa kawan-kawan yang berada dalam Kerajaan. Tetapi yang saya dengar hanyalah ‘jawapan’ mengenai kenapakah isu ini tidak selesai, bukannya ‘penyelesaian’ kepada isu ini.

Suasana sekitar tong sampah

Setiap hari kita akan saksikan timbunan sampah yang busuk, berulat, bersepah dan berterabur di sekitar tong-tong sampah kecil yang disediakan oleh pihak MDM dan MBKT. Sangat menyenakkan pandangan mata. 

Sampah memenuhi tong-tong sampah yang disediakan dan ‘membanjiri’ pula kawasan sekitar tong-tong sampah yang sudah penuh itu. Timbunan sampah ini terdiri daripada sampah-sampah yang lambat dikutip dan sampah-sampah tertentu yang memang ‘tidak akan dikutip’, seperti perabot rosak, tilam dan perkakasan elektrik yang rosak.

Sampah-sampah yang melingkungi tong-tong sampah yang sudah penuh itu pula, setiap hari semakin bertambah diameternya. Ia semakin membesar dan membesar. 

Tak sampai hati untuk saya sertakan gambar sebegitu dalam posting ini.

Tanah lembut di tepi tong sampah pula menjadi tempat lori sampah berhenti untuk mengutip sampah. Hasilnya ia meninggalkan lopak air busuk yang setiap hari semakin dalam dan menjijikkan. Jangan sampai terkena seluar atau kain kita…

Isu berpanjangan 

Nampaknya isu ini semakin tidak berkesudahan. Ada beberapa JPKK yang prihatin cuba bergotong royong untuk selesaikan isu ini. Tetapi mana mampu bergotong royong setiap hari. 

Pernah juga tersebar gambar YB Tepoh sendiri membersihkan kawasan tong sampah di DUN beliau, tetapi isyarat itu tetap tidak difahami oleh MBKT. MDM tentulah tidak terasa apa-apa kerana Tepoh bukan dalam Kawasan Marang.

Saya mendengar kawan-kawan dalam Kerajaan cuba menjawab isu ini dengan menyalahkan pihak kontraktor yang tidak kompeten. Hasilnya, Kerajaan mendapat nama yang buruk.

Ada juga yang menyalahkan perangai dan mentaliti pengguna yang sengaja mencampakkan sampah di luar tong sampah.

Menyelesaikan masalah ini

Kesimpulannya, isu sampah memang satu isu yang tidak selesai di bawah MDM dan MBKT. Ia telah cuba diselesaikan oleh beberapa JPKK prihatin, sebahagian ADUN dan pihak kontraktor sendiri.

Tapi isu ini masih belum selesai. Dan sudah berpanjangan. 

Exco Kerajaan Tempatan, Datuk Bandar dan Pegawai Daerah nampaknya masih tidak dapat memberikan penyelesaian yang konkrit terhadap isu ini.

Sudah tiba masanya Menteri Besar sendiri menubuhkan Jawatankuasa Khas Penyelesaian isu sampah ini. 

Caranya

Masukkan ‘bos-bos’ agensi berkaitan sampah dalam Jawatankuasa ini. Masukkan JKR dan agensi teknikal yang lain. Letakkan Jawatankuasa ini di bawah Menteri Besar secara langsung. Jika tidak jadikan Dato’ SUK sebagai Ketua Jawatankuasa khas ini.

Bincangkan apa isu sebenar. Apa punca masalah isu tidak selesai. Dan langkah-langkah penyelesaian.

Jika punca masalah ialah lori tak cukup, tambah lori. Jika tong sampah tak cukup, tambah tong sampah. Jika tong sampah kecil, tukarkan yang besar. Jika jadual pungutan sampah tak memadai, tambah kekerapan. 

Jika kontraktor tak cukup belanja, cari jalan tambahkan belanja dengan ubah suai kontrak atau tawaran kontrak baru. Jika pusat pelupusan sampah bermasalah, minta mereka selesaikan. Jika perlukan pusat pelupusan sampah yang baru, segerakan pusat pelupusan sampah yang baru.

Pendek kata, pertengahan bulan Februari, tiada lagi longgokan sampah seperti sekarang di Marang dan Kuala Terengganu.

Sedikit tambahan

Bincangkan bagaimana nak elakkan tempat pungutan sampah dapat menerima kehadiran lori sampah tanpa menimbulkan lopak air busuk. 

Bincangkan juga untuk menambahkan ciri-ciri keceriaan di tempat pungutan sampah, supaya sentiasa nampak bersih dan terurus.

Jika didapati mentaliti masyarakat turut bermasalah, fikirkan pendidikan pengurusan sampah kepada mereka dengan kerjasama institusi sekolah, masjid dan NGO. Jika perlu kepada penguatkuasaan undang-undang, ia boleh difikirkan sebagai undang-undang kecil di bawah PBT.

Penutup 

Jangan pandang remeh isu sampah yang semakin ‘melata’ ini. Jika ia tidak mampu diuruskan dengan baik oleh Kerajaan pada hari ini, ia akan merosakkan imej Kerajaan dengan teruk sekali. Ia akan mencerminkan pentadbiran Kerajaan ini tidak efektif, lemah dan tidak mampu menyelesaikan permasalahan rakyat.

Mungkin ramai yang akan marahkan saya kerana posting ini. Kenapa tak buat teguran tertutup?… Cari glamer ke?… Dengki ke?… PAN ke?…

Dalam masalah ini saya nukilkan nasihat veteran PAS, Dato’ Mustapha Ali yang lebih dikenali sebagai Cikgu Pa dalam satu tamrin di bawah tajuk ‘Memahami Isu Semasa’.

Kata beliau, “Isu semasa mengenai kelemahan kerajaan parti politik lawan adalah penting. Tetapi PAS tidak terlalu bergantung kepada isu semasa seperti itu untuk mengekalkan sokongan. Ini kerana isu semasa, sentiasa boleh diselesaikan oleh pihak lawan jika mereka mahu.

“PAS dapat mengekalkan sokongan masyarakat dengan prinsip dan akidah perjuangan”.

‘Point’ di sini ialah Kerajaan PAS Terengganu boleh menyelesaikan isu sampah jika mereka mahu. Jika isu itu berjaya diselesaikan menjelang pertengahan Februari ini, ia tidak lagi akan menjadi ‘peluru’ untuk pihak lawan menyerang kita. 

Bahkan peluru itu telah bertukar menjadi aset kita. Rakyat lebih sukakan kita. Dan Mudah-mudahan Allah S.W.T lebih kasihkan kita.

USTAZ ZAKARIA ISMAIL
Marang, 18 Januari 2023 – HARAKAHDAILY 18/1/2023

- Advertisement -