Muslimat PAS bantah filem Pulau

Kartini Ahmad
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) menyuarakan bantahan terhadap filem tempatan, Pulau yang khabarnya bakal ditayangkan di pawagan bermula 9 Mac 2023 telah menjadi perhatian ramai selepas ada dakwaan mengandungi adegan keterlaluan yang berunsur ‘soft porn’.

- Advertisement -

Pengerusi Lajnah Kebudayaan, Kesenian dan Rekreasi DMPM, Kartini Ahmad berkata, beliau sememangnya tidak bersetuju dengan tayangan filem itu yang dianggap boleh mencemar tatasusila masyarakat ketimuran serta masyarakat Islam di Malaysia. 

Hal ini  kerana dalam filem tersebut telah mempertontonkan aksi pemakaian setiap pelakonnya mencolok mata penonton, selain turut menampilkan adegan-adegan yang tidak mematuhi syariah dan bertentangan dengan budaya Malaysia. 

Trailer yang memaparkan ringkasan mengenai filem itu juga turut mendapat perhatian daripada seorang selebriti tanahair iaitu Pencetus Ummah (PU) Syed yang telah memuat naik satu video yang membuat teguran berbunyi: “Mohon pihak Finas tapis-setapisnya filem (Pulau) ini yang banyak adegan dan gaya pemakaian yang sangat mencolok mata dan tak sesuai ditayangkan khasnya buat umat Islam”.

Sehubungan itu, Kartini menegaskan bahawa filem Pulau juga berunsurkan plagiat, yang mana poster filem tersebut dikatakan seolah-olah telah meniru poster filem Hollywood, The Island.

Tambah beliau, Islam tidak pernah menyekat kreativiti yang dilakukan oleh manusia,  namun bagitu ia masih boleh diserlahkan dengan kaedah yang lebih menjaga sensitiviti terutama orang Islam.

Justeru, beliau meminta pihak kerajaan perlu memberikan kesedaran kepada para pemain industri terlebih dahulu supaya lebih peka dan cakna dengan agama dan budaya kaum majoriti dalam negara ini sebelum filem itu dipertontonkan secara meluas lagi kepada khalayak ramai. 

“Pihak yang bertanggungjawab juga berbincang terlebih dahulu dengan penerbit filem tersebut dan para karyawan seni yang lain berkenaan sebarang produk yang akan dihasilkan bagi tatapan umum.

“Hal ini supaya ia mengambil kira landas-landas syariat Islam mahupun masyarakat timur di Malaysia,” tegasnya kepada HarakahDaily

Beliau turut memberitahu agar pihak kerajaan seharusnya dapat menganjurkan lebih banyak bengkel -bengkel bagi karya yang patuh syariah. 

“Antaranya adalah seperti yang pernah dianjurkan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dan  KUISCELL Production yang dihadiri saya sendiri. 

“Ini bertujuan agar kefahaman ini boleh diterapkan dengan lebih meluas dan melangkaui sempadan bangsa, negara dan antarabangsa,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/1/2023

- Advertisement -