Dewan Ulamak PAS pertahan tindakan MP Permatang Pauh

- Advertisement -

DEWAN Ulamak PAS Pusat menyambut baik langkah proaktif Ahli Parlimen Permatang Pauh, YB Ustaz Muhammad Fawwaz Md Jan serta PAS Kawasan Permatang Pauh dalam menangani isu promosi arak yang berlebihan di sebuah pasar raya. 

- Advertisement -

Perbincangan dua hala bersama pihak pengurusan pasar raya tersebut melambangkan kematangan PAS dalam membawa penyelesaian suara rakyat setempat. Langkah mempromosi arak secara berlebihan di kawasan majoriti umat Islam merupakan suatu tindakan yang tidak wajar. 

Ironinya tindakan tegas Ahli Parlimen tersebut mendapat reaksi negatif sebahagian pemimpin PH atau DAP yang menganggap PAS menjadi ‘polis moral’. Amat menjelikkan apabila kenyataan mereka langsung tidak mencerminkan kefahaman mereka terhadap isu-isu sensitif melibatkan umat Islam. 

Situasi yang sama juga berlaku ketika YAB Dato’ Seri Hj Muhammad Sanusi mengumumkan penutupan premis perjudian di Negeri Kedah berkuatkuasa 1 Januari 2023. Sebahagian pimpinan DAP menganggap tindakan Kerajaan Negeri Kedah ‘merosakkan keharmonian masyarakat’. 

DUPP berpandangan apabila prinsip moral tidak dikawal berpandukan ajaran agama, maka nafsu kebinatangan akan menguasai diri seseorang dan merebak kepada sebuah masyarakat. Begitulah ideologi dan perlakuan LGBT berkembang dalam dunia hari ini. Oleh sebab itu, langkah yang diambil ini bagi menguruskan moral bermasyarakat supaya tidak terus merosak.

DUPP juga ingin menyatakan ketegasan bahawa PAS akan sentiasa mempertahankan seruan amar ma’ruf nahi munkar dalam masyarakat. Kesemua ini secara asasnya adalah tanggungjawab yang terpikul bersama oleh umat Islam. 

Semoga kita semua dapat hidup dengan saling memahami dan menghormati di antara satu sama lain, insya-Allah

Sekian, terima kasih.

YB USTAZ DATO’ AHMAD YAHAYA
Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat
18 Jamadilakhir 1444 Hijri | 11 Januari 2023 Miladi – HARAKAHDAILY 11/1/2023

- Advertisement -