Komen pedas terhadap Zidane: Presiden FFF mohon maaf

Selepas banyak pihak marah dengan komen pedasnya, Le Graet (gambar kecil) akhirnya terpaksa memohon maaf daripada Zidane. (FOTO: Goal.com)
- Advertisement -

PARIS: Presiden Persekutuan Bola Sepak Perancis (FFF), Noel Le Graet memohon maaf kepada Zinedine Zidane  selepas komen pedasnya terhadap bekas jurulatih Real Madrid itu mengundang kemarahan pemain, ahli politik dan juga kelab Sepanyol itu.

- Advertisement -

Zidane merupakan antara pilihan untuk mengendalikan pasukan kebangsaan jika Didier Deschamps berundur tetapi kontraknya dilanjutkan selepas berjaya membawa Perancis ke final Piala Dunia, yang mana mereka pasukan itu akhirnya tewas kepada Argentina di Piala Dunia di Qatar bulan lalu, lapor Reuters.

Apabila ditanya sama ada Zidane, pemenang Piala Dunia bersama Perancis pada 1998 dan ikon negara itu  akan menguruskan pasukan kebangsaan Brazil sebaliknya, Le Graet telah memberitahu RMC: “Saya tak peduli. Dia boleh pergi ke mana-mana  sahaja dia mahu!”

Le Graet menambah dia tidak akan mengangkat panggilan telefon jika Zidane menelefonnya, menyebabkan ramai pihak yang bertindak balas tidak menyenangi kenyataannya terhadap Zidane menyebabkan Le Graet akhirnya terpaksa membuat permohonan maaf.

“Saya ingin menyampaikan permohonan maaf peribadi saya untuk kenyataan ini yang sama sekali tidak mencerminkan pemikiran saya, mahupun pertimbangan saya untuk pemain yang dia dan jurulatih yang dia telah menjadi,” kata Le Graet dalam satu kenyataan yang disiarkan oleh L’Equipe.

“Saya akui telah membuat kenyataan janggal (terhadap Zidane) yang menimbulkan salah faham umum. Zidane tahu penghargaan yang tinggi yang saya ada untuknya, seperti semua orang Perancis,” ujarnya.

Pada Ahad (9 Jan) lalu, Le Graet berkata Zidane berada dalam radar dan mempunyai banyak sokongan tetapi tidak berpeluang untuk menggantikan Deschamps.

“Siapa yang boleh membuat celaan serius kepada Deschamps? Tiada siapa… Jika Zidane cuba menghubungi saya? Sudah tentu tidak, saya tidak akan mengangkat panggilan telefon (Zidane) itu,” katanya.

Zidane merupakan jurulatih pertama yang memenangi Liga Juara-Juara tiga kali berturut-turut semasa dia mengendalikan Real Madrid.

Pemain berusia 50 tahun itu, yang juga memenangi Kejohanan Eropah 2000 bersama Perancis dalam karier permainan yang cemerlang, kini tidak mempunyai pekerjaan selepas dia meninggalkan peranannya bersama kelab Sepanyol itu tahun lepas. – HARAKAHDAILY 11/1/2023

- Advertisement -