Rusuhan politik di Brazil: 170 ditahan

Pasukan keselamatan Brazil menggunakan gas pemedih api bagi menyuraikan tunjuk perasaan penyokong bekas Presiden, Jair Bolsonaro di Brazil, Brasilia pada 8 Jan 2023. (FOTO: Reuters)
- Advertisement -

BRASILIA: Pasukan keselamatan Brazil menahan 170 perusuh susulan ratusan penyokong bekas Presiden sayap kanan negara itu, Jair Bolsonaro mencetuskan huru-hara dengan bertindak menyerbu bangunan Kongres, istana presiden (Planalto Palace) dan Mahkamah Agung.

- Advertisement -

Dalam rusuhan yang dikecam Presiden, Luiz Inacio Lula da Silva sebagai serangan ‘fasis’ pada Ahad (8 Jan) waktu tempatan itu, seramai 30 invidivu yang berada di dalam dewan senat turut ditahan pasukan keselamatan, lapor AFP.

Penyokong bekas Presiden Brazil, Jair Bolsonaro menyerbu ke dalam bangunan Kongres di Brasilia pada 8 Jan 2023. (FOTO: AFP)

Operasi besar-besaran masih dijalankan untuk memindahkan penunjuk perasaan dari istana presiden Planalto dan Mahkamah Agung, dengan pasukan keselamatan menggunakan polis anti-rusuhan berkuda, meriam air dan bom gas pemedih mata yang dilepaskan dari helikopter untuk menangani mereka.

Lula, 77, yang berada di bandar tenggara Araraquara melawat wilayah yang dilanda banjir teruk, menandatangani dekri mengisytiharkan campur tangan persekutuan di Brasilia, memberikan kuasa khas kerajaannya untuk memulihkan undang-undang dan ketenteraman di ibu negara.

“Pentaktik fasis ini telah melakukan sesuatu yang tidak pernah dilihat sebelum ini dalam sejarah negara ini,” kata beliau yang memegang jawatan seminggu lalu selepas menewaskan Bolsonaro dalam pilihan raya Okt 2022 yang memecah belah Brazil.

“Kami akan mengetahui siapa penceroboh ini, dan mereka akan dijatuhkan dengan kuasa penuh undang-undang,” tegasnya.

Gerombolan penunjuk perasaan berada di tengah-tengah kepulan asap gas pemedih mata yang digunakan pasukan keselamatan Brazil di Brasilia. (FOTO: United States KNews. MEDIA)

Kekacauan berlaku selepas lautan penunjuk perasaan berpakaian hijau dan kuning bendera membanjiri Dataran Tiga Kuasa Brasilia, menyerang lantai di dalam bangunan Kongres, menabur sampah sarap di bangunan Mahkamah Agung dan memanjat tanjakan ke Istana Presiden.

Satu rakaman video menunjukkan orang ramai di luar menarik seorang anggota polis dari kudanya dan memukulnya ke tanah.

Pasukan polis sehubungan itu  telah membentuk kawalan keselamatan di sekitar dataran dewan kongres, melepaskan gas pemedih mata dalam usaha untuk menyuraikan perusuh – yang pada mulanya gagal mengawal keadaan.

Pasukan keselamatan Brazil turut menggunakan helikopter untuk mengekang rusuhan penyokong bekas Presiden, Jair Bolsonaro yang menyerbu Istana Presiden di Brasilia pada 8 Jan 2023. (FOTO: AP)

Sementara Kesatuan wartawan berkata sekurang-kurangnya lima wartawan diserang, termasuk seorang jurugambar AFP yang dipukul penunjuk perasaan dan peralatannya dicuri.

Sehubungan itu, Gabenor Brasilia, Ibaneis Rocha memecat ketua keselamatan awam ibu negara, Anderson Torres, yang sebelum ini berkhidmat sebagai menteri kehakiman Bolsonaro.

Pejabat peguam negara berkata ia telah meminta Mahkamah Agung mengeluarkan waran tangkap untuk Torres dan semua pegawai awam lain yang bertanggungjawab  yang membawa kepada pergolakan tersebut.

Ia juga meminta mahkamah tinggi membenarkan penggunaan semua pasukan keselamatan awam untuk mengambil balik bangunan persekutuan dan menyuraikan protes anti-kerajaan di seluruh negara.

Terdahulu, penyokong Bolsonaro telah membuat protes di luar pangkalan tentera Brazil menggesa campur tangan tentera untuk menghalang Lula daripada mengambil alih kuasa sejak  menewaskan Bolsonaro dalam pilihan raya 30 Okt. – HARAKAHDAILY 9/1/2023

- Advertisement -