Rokok vs Sodom

- Advertisement -

SEMASA kami mengadakan sesi TOT Modul berhenti merokok satu ketika dahulu, saya pernah ditegur oleh seorang ustaz yang juga penceramah berkaitan dengan hukum merokok. Saya memasukkan satu slide membandingkan hukum haram minum arak dan makan babi serta hisap rokok, saya mengkategorikan status haram ketiga-tiga tersebut adalah sama darjatnya. 

- Advertisement -

Ustaz tersebut menyatakan bahawa pengharaman merokok jangan disamakan darjatnya dengan pengharaman babi dan arak kerana beberapa hujah yang saya kira boleh diterima pakai. Saya tidak pasti sama ada hujah itu dikemukakan juga oleh mana-mana ustaz lain. Sampai sekarang saya masih ingat lagi bahawa hukum haram itu ada tabaqat darjatnya. Ada haram yang mendekati makruh, dan ada haram yang boleh rosakkan akidah. (Kalau tak betul fahaman saya, minta tolong betulkan)

Haram tetapi haram, namun topiknya haram rokok itu masih lagi dalam ruang lingkup yang diperbahaskan sejak sekian lama. Sebab itulah apabila Majlis Fatwa Kebangsaan yang mengharamkan rokok pada 25 Mac 1995, tidak terus disambut oleh semua majlis fatwa negeri-negeri. Lagipun keputusan mengharamkan rokok itu adalah atas dasar ijtihad para alim ulamak, setelah melihat bukti bahawa rokok itu mendatangkan mudarat yang besar dari sudut kesihatan. 

Sedangkan haramnya arak dan babi itu tiada khilaf di kalangan ulamak. Secara qatei jelas disebut dalam al-Quran bawa babi dan arak itu adalah haram walaupun pakar menemui berjuta kebaikan sekali pun. Andai kata ahli sains Muslim menghalalkan arak dan babi atas dasar kajian saintifik sekalipun, ia boleh menjurus kepada tergelincir akidah kecuali atas dasar-dasar darurat yang tertentu. Bab ini juga dibahaskan oleh para alim ulamak berkaitan berubat menggunakan bahan haram dalam situasi darurah

Perlakuan seks sesama jantina juga telah secara jelas disebut di dalam al-Quran bahawa ianya adalah haram. Kita tak nak masyarakat kita sama seperti kaum Nabi Luth yang melakukan hubungan seks luar tabii sehingga diterbalikkan bumi atas azab yang Allah Taala jatuhkan kepada mereka di dunia ini lagi. Tiada khilaf dalam kalangan ulamak berkaitan dengan pengharaman seks luar tabii itu. Walaupun mungkin seluruh dunia mengundi untuk membenarkan perlakuan seks bebas itu, tetapi kita sebagai Muslim tetap menjatuhkan hukumnya haram. Hatta sebagai doktor pun kita harus beri nasihat dan kaunseling mengenai bahaya aktiviti berisiko tersebut. Di sinilah keteguhan iman kita yang perlu kita pegang betul-betul supaya tidak mahu kefahaman normalisasikan aktiviti luar fitrah seperti itu. 

Tidaklah ralat sangat kalau si perokok hisap rokok depan kita, sekali kita tegur dia, malu alah dengan kita. Tapi bayangkan kalau dua manusia sedang bersodomi depan mata, apa yang perlu kita buat? Kalau bukan kayu 2″x2″ kita angkat, paling tidak kita jerkah atau tapak kaki melayang untuk hentikan perbuatan tak senonoh itu.

DR SUHAZELI ABDULLAH
Pakar Perubatan Keluarga
Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) – HARAKAHDAILY 9/1/2023

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -