Perlunya alternatif yang meyakinkan

- Advertisement -

DARI isu ketiadaan telur kepada bantahan terhadap kemasukan pelancong-pelancong negara China, kerajaan gabungan Pakatan Harapan – Barisan Nasional dihambat oleh pelbagai masalah. 

- Advertisement -

Parti-parti pembangkang sudah tentu akan menyerang bertubi-tubi. Walaupun serangan ini mengenai sasarannya namun rakyat mahu melihat penyelesaian kepada masalah-masalah tersebut. 

Kita berada di zaman di mana rakyat biasa merasakan diri mereka lebih bijak dari pemimpin politik. Jika anda rajin melayari media sosial anda tentu memahami suasana hari ini. 

Oleh yang demikian, pemimpin politik sama ada di dalam atau di luar kerajaan perlu bekerja dengan lebih keras untuk meyakinkan rakyat. Sekarang bukan zamannya di mana serangan-serangan tidak disusuli dengan penyelesaian yang praktikal dan tangible

Mungkin terdapat masyarakat yang dapat menerima modus operandi ‘zaman batu’ tetapi secara keseluruhannya rakyat meletakkan piawaian yang tinggi.

Masalahnya rakyat terpaksa menjadi penonton kepada pelbagai adegan serang menyerang yang mungkin bercanggah di antara satu sama lain. Lebih malang lagi jika ianya datang dari mereka dari parti yang sama. Tetapi paling malang lagi jika ia sekadar serangan tanpa kajian atau fakta semata-mata untuk memenuhi tanggungjawab sebagai pembangkang yang membangkang apa sahaja yang berlaku di antara langit dan bumi.

Kebingungan rakyat dapat dikurangkan jika pembangkang memiliki suara yang satu di dalam sesuatu isu. Mereka tidak lagi berlumba-lumba menunjukkan kejaguhan masing-masing apabila timbul sesuatu isu tetapi membahagi-bahagikan tugas berdasarkan isu atau portfolio kementerian yang terlibat. Justeru sebuah Kabinet Bayangan (Shadow Cabinet) adalah satu keperluan yang tidak dapat dinafikan.

Jika terdapat satu isu contohnya isu kemasukan pelancong dari negara China, biarkan Menteri Bayangan Kesihatan dan Menteri Bayangan Pelancongan membuat kenyataan dan mengumumkan penyelesaiannya. 

Berikan peluang kepada Menteri-menteri Bayangan membuat kenyataan terlebih dahulu. Kenyataan atau komen-komen selepas itu perlu selari dengan kenyataan asal Menteri-menteri Bayangan. Dengan adanya Kabinet Bayangan bukan bermakna Ahli-ahli Parlimen dan pimpinan politik lain akan disekat tetapi terdapat kawalan yang amat perlu jika ingin mendapat keyakinan rakyat.

Dengan adanya Kabinet Bayangan rakyat juga dapat menilai alternatif kepada kerajaan yang sedia ada. Di dalam sistem Parlimen negara kita telah diperuntukkan jawatan Ketua Pembangkang. Dengan adanya Ketua Pembangkang, rakyat dapat melihat alternatif kepada Perdana Menteri yang sedia ada. 

Begitu juga di Dewan Undangan Negeri-negeri, terdapat juga Ketua Pembangkang justeru rakyat dapat melihat alternatif kepada Menteri Besar dan Ketua Menteri. Tetapi rakyat tidak ditonjolkan dengan alternatif kepada Menteri atau Exco yang sedia ada. Justeru bukan sahaja barisan Kabinet Bayangan tetapi barisan Exco Bayangan juga mesti ditonjolkan.

Ini penting ketika pilihan raya. Jika sebuah atau gabungan parti-parti berhasrat mengambil alih sebuah kerajaan, mereka mesti membuktikan mereka memiliki individu-individu yang lebih berkemampuan dan lebih baik dari kerajaan yang sedia ada. Di satu masa dahulu telah memadai dengan parti-parti membentangkan manifesto masing-masing. 

Tetapi hari ini rakyat bukan sahaja akan menilai sama ada manifesto tersebut realistik atau tidak tetapi mereka juga mahu melihat siapa yang bertanggungjawab melaksanakan manifesto tersebut. Mereka bukan sahaja mahu tahu siapa bakal Perdana Menteri tetapi juga siapa Menteri Kewangan atau siapa Menteri Pendidikan. Begitu juga di peringkat negeri, rakyat bukan sahaja mahu melihat siapa Menteri Besar atau Ketua Menteri tetapi siapa Exco Infrastruktur atau siapa Exco Kerajaan Tempatan. 

Ini bermakna parti-parti perlu membuat persiapan awal agar mereka tidak menggelabah tercari-cari calon Menteri atau Exco selepas memenangi pilihan raya. Atau mendapati mereka yang memenangi pilihan raya tidak berkemampuan menggalas tugas-tugas di dalam kerajaan. 

Akhirnya mereka terpaksa ‘tangkap muat’ apabila melantik Menteri, Timbalan Menteri atau Exco. Ini akan berlaku jika calon-calon pilihan raya dipilih tanpa memikirkan kemungkinan akan membentuk kerajaan. Sekiranya memang berhasrat untuk merampas kerajaan maka calon-calon yang dipilih mestilah berkemampuan untuk duduk di dalam kerajaan.

Pemilihan calon memang sesuatu perkara yang sensitif. Parti-parti mengambil kira pelbagai kriteria untuk memilih calon mereka. Ada yang mengambil kira faktor meritokrasi atau memilih mereka yang terbaik dan yang berkemampuan. Ada yang mengambil faktor kuota dan tuntutan dari pelbagai pihak. Ada yang mengambil kira penerimaan di peringkat akar umbi. 

Tetapi akhirnya walau siapa calon yang dipilih, rakyat atau pengundi akan menentukan. Kadang-kala seorang calon itu mungkin popular di dalam parti tetapi tidak dikenali oleh pengundi. Kita berada di era di mana pengundi akan meletakkan calon-calon di bawah mikroskop. Setiap aspek akan diteliti. 

Dari yang paling kecil hingga ke yang paling besar. Kita boleh menulis CV yang mengagumkan untuk menyedapkan hati kita semua tetapi rakyat hari ini bukan 10 tahun yang lalu. Rakyat mempunyai. keperluan masing-masing. Rakyat mempunyai hasrat masing-masing. Kriteria mereka mungkin berbeza dari kriteria parti. Parti perlu memahami rakyat terlebih dahulu.

DATO’ ISKANDAR A SAMAD
Ketua Penyelaras
Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat Dan Perumahan (REACH)
6 Januari 2023 – HARAKAHDAILY 6/1/2023

- Advertisement -