Masjid Al-Aqsa terus dinodai

aqsa
- Advertisement -

SEJURUS selepas kejayaan Benjamin Netanyahu membentuk kerajaan campuran baharu dan menjadi Perdana Menteri negara haram Israel buat kali ketiga, sekali lagi Masjid Al-Aqsa diceroboh oleh salah seorang menteri dalam kabinetnya iaitu Itamar Ben Gvir, Menteri Keselamatan Nasional yang juga pemimpin part ultra nasionalis zionis yahudi Otzma Yehudit.

- Advertisement -

Sehingga artikel ini, ditulis rata-rata pemimpin Dunia Islam mengutuk tindakan tersebut termasuk China yang menggesa Majlis Keselamatan PBB mengadakan mesyuarat bagi membincangkan perkara tersebut. Pemimpin Hizbullah Hasan Nasrullah dalam kenyataannya memberi amaran bahawa tindakan tersebut boleh mengakibatkan tercetusnya kebangkitan umat Islam bukan sahaja di Palestin bahkan di seluruh Dunia Islam.

Kerajaan pimpinan Benjamin Netanyahu kali ini menjadi tumpuan dunia kerana diwakili oleh parti-parti ultra nasionalis dan ekstrimis zionis yahudi yang sudah tentu bermati-matian memperjuangkan pemilikan Yahudi ke atas Baitul Maqdis secara keseluruhan. Pencerobohan yang dilakukan oleh Itamar Ben Gvir pada hari selasa 03 Januari 2023 lepas adalah amaran bahawa ia akan disusuli dengan pelbagai tindakan lagi yang bakal mencetuskan konflik baharu di Palestin mahupun di Timur Tengah.

Sebagai ingatan kepada umat Islam, disertakan di bawah ini senarai tidak kurang daripada 30 jenayah yang dilakukan oleh zionis yahudi terhadap Masjid Al-Aqsa dalam tempoh 50 tahun yang lalu:

                ⁃              Pada 7 Jun 1967, Jeneral Mordechai Gur bersama-sama dengan ketumbukan tenteranya pada permulaan perang 1967 antara negara haram Israel dan negara-negara Arab bertindak menceroboh Masjid Al-Aqsa dan mengangkat bendera negara haram Israel di atas kubah batu, kemudian membakar mushaf Al-Quran serta menghalang umat Islam bersolat di dalamnya dan merampas kunci-kunci Masjid dari penjaganya.

                ⁃              Pada 21 ogos 1969, Michael Dennis Rohan seorang warganegara Australia bertindak membakar Masjid Al-Aqsa dan beliau ditahan atas perbuatannya itu namun tidak dikenakan tindakan sewajarnya kerana didapati kurang siuman.

                ⁃              Pada 28 Januari 1976, Mahkamah negara haram Israel memutuskan bahawa orang-orang Yahudi berhak untuk “sembahyang“ di dalam Masjid Al-Aqsa.

                ⁃              Pada 28 Ogos 1981 ditemui satu terowong yang digali oleh zionis yahudi bermula dari Dinding Buraaq atau Dinding Tangisan sehingga ke bawah Masjid Al-Aqsa.

                ⁃              Pada 11 April 1982 seorang tentera negara haram Israel yang bernama Harry Goldman bertindak menembak membuta tuli ke atas umat Islam yang sedang solat di dalam masjid sehingga menyebabkan dua orang gugur syahid dan tidak kurang 60 orang yang tercedera.

                ⁃              Pada 22 Julai 1982 Yoel Lerner seorang ekstrimis zionis yahudi dari kumpulan Kach ditahan kerana merancang untuk mengebom kubah batu Masjid Al-Aqsa.

                ⁃              26 Januari 1984 dua orang zionis yahudi ditahan kerana merancang untuk mengebom Masjid Al-Aqsa dan bersama-sama mereka alat peledak yang begitu banyak.

                ⁃              11 Mac 1997 Penasihat Undang-Undang negara haram Israel mengizinkan kepada zionis yahudi untuk “sembahyang“ di dalam Masjid Al-Aqsa.

                ⁃              Pada 31 ogos 1997 terdedah perancangan negara haram Israel untuk meroboh binaan dari kerajaan Bani Umayyah yang berhampiran dengan Masjid Al-Aqsa bagi meluaskan kawasan untuk orang Yahudi “bersembahyang“ .

                ⁃              Pada 28 September 2000 Ariel Sharon bekas Perdana Menteri negara haram Israel bertindak menceroboh Masjid Al-Aqsa dan tindakannya itu mencetuskan intifadhah kedua oleh umat Islam Palestin sebagai membela Masjid Al-Aqsa.

                ⁃              Pada 29 September 2000 tentera regim zionis Israel bertindak ke atas umat Islam Palestin yang berkubu di dalam Masjid Al-Aqsa sehingga menyebabkan berpuluh gugur syahid dan berpuluh lagi mengalami kecederaan.

                ⁃              Pada 9 September 2004 seorang pendita zionis yahudi bertindak mengadakan upacara perkahwinan anaknya di dalam Masjid Al-Aqsa dan ianya dicemari dengan minuman arak yang mengotori masjid.

                ⁃              Pada 4 April 2005 polis regim zionis Israel bertindak memasang kamera cctv di seluruh kawasan Masjid Al-Aqsa.

                ⁃              Pada 8 Februari 2006 Kementerian Pendidikan negara haram Israel bertindak mengedar beribu gambaran plan pembinaan semua Masjid Al-Aqsa dengan meletakkan gambaran tempat ibadah mereka di tempat Masjid Al-Aqsa.

                ⁃              Pada 25 Mei 2010 polis regim zionis Israel memberikan keizinan kepada pihak pendita di salah satu rumah ibadah mereka untuk mengadakan acara keugamaan sepenuhnya di dalam Masjid Al-Aqsa.

                ⁃              Pada 20 Disember 2010 seorang ekstrimis zionis yahudi  ditahan di dalam Masjid Al-Aqsa bersama-samanya bahan letupan kerana merancang untuk mengebom di salah satu bahagian daripada Masjid Al-Aqsa.

                ⁃              Pada 27 Oktober 2014 Knesset/Parlimen negara haram Israel membincangkan cadangan untuk menarik balik hak Kerajaan Jordan menjaga Masjid Al-Aqsa.

                ⁃              Pada 18 Januari 2015 badan wakaf Masjid Al-Aqsa berjaya menggagalkan perancangan beberapa orang pendatang haram zionis yahudi untuk melancarkan serangan ke atas Masjid Al-Aqsa dengan menggunakan pesawat kawalan jauh.

                ⁃              Pada 11 Februari 2015 penguatkuasa negara haram Israel untuk bandar Al-Quds meletak papan tanda berdekatan dengan Masjid Al-Aqsa dengan menamakan tempat tersebut dengan “Jabal Al-Haikal“ ( Bukit Haikal ).

                ⁃              Pada 23 Julai 2015 tentera regim zionis Israel menghalang kanak-kanak sekolah Palestin mengadakan program kem musim panas di dalam Masjid Al-Aqsa.

                ⁃              Pada 1 September 2015 tentera regim zionis Israel menghalang pelajar-pelajar ke sekolah mereka yang terletak dalam kawasan Masjid Al-Aqsa.

                ⁃              Pada 14 September 2015 tentera regim zionis Israel bertindak menceroboh Masjid Al-Aqsa dengan menembak peluru getah dan gas pemedih mata ke atas rakyat Palestin yang sedang solat di dalamnya bertujuan untuk mengosongkannya bagi memberi ruang kepada pendatang haram yahudi untuk memasukinya.

                ⁃              Pada 21 Jun 2016 ditemui terowong-terowong baharu di keliling dan bawah Masjid Al-Aqsa yang digali oleh kumpulan pelampau zionis yahudi.

                ⁃              Pada 2 Mei 2017 dua orang tentera regim zionis Israel menceroboh Masjid Al-Aqsa dan melakukan upacara sembahyang mereka di dalamnya.

                ⁃              Pada 29 Jun 2017 pihak berkuasa negara haram Israel menutup Masjid Al-Aqsa dan memberi keizinan kepada sekumpulan pelampau zionis yahudi menceroboh masuk ke dalam Masjid.

                ⁃              Pada 2 Julai 2017 tentera regim zionis Israel melarang umat Islam untuk Solat Jumaat di dalam Masjid Al-Aqsa selepas insiden serangan yang berlaku, mengakibatkan tiga orang pemuda Palestin syahid dan dua orang tentera regim zionis Israel mati.

                ⁃              Pada 3 Disember 2017 sekumpulan pelampau zionis yahudi menceroboh Masjid Al-Aqsa dan berjalan dengan megahnya di dalam kawasan solat di bawah kubah batu.

                ⁃              Pada 19 Disember 2017 pihak berkuasa negara haram Israel merasmikan kuil baharu yahudi yang dibina di dalam terowong di bawah Masjid Al-Aqsa.

                ⁃              Pada 21 Januari 2018 sekumpulan pelampau zionis yahudi mengadakan upacara keugamaan secara terang-terangan di pintu Al-Rahmah (salah satu pintu-pintu Masjid Al-Aqsa ) sambil dikawal oleh tentera rejim zionis Israel.

                ⁃              Pada 9 Mei 2018 tentera rejim zionisIsrael memberikan keizinan kepada gadis-gadis zionis yahudi menceroboh Masjid Al-Aqsa dengan memakai pakaian perkahwinan mereka.

                ⁃              Pada 22 Mei 2018 David Freidman, Duta negara Amerika Syarikat menerima lukisan bandar Al-Quds yang diletak gambar “Haikal” yang akan dibina di atas tapak Masjid Al-Aqsa.

                ⁃              Pada 2 jun 2019 seramai 1200 orang pelampau zionis yahudi bertindak menceroboh Masjid Al-Aqsa dan berlaku pertembungan dengan umat Islam yang sedang iktikaf pada 10 hari terakhir Ramadhan.

                ⁃              Pada 15 ogos 2019 tentera regim zionis Israel menghalang umat Islam untuk solat di dalam Masjid Al-Aqsa selepas dua orang remaja Palestin menikam polis rejim Israel dan kedua-dua remaja itu gugur syahid.

Begitulah sebahagian daripada kisah pencerobohan atau cubaan pencerobohan regim zionis Israel dan pendatang haram yahudi ke atas Masjid Al-Aqsa. Walaupun sehingga kini Masjid Al- Aqsa masih gagah berdiri di tapak asalnya, namun hari ini ia bakal berhadapan dengan cabaran yang lebih getir berikutan kerajaan baharu negara haram Israel diterajui oleh pemimpin dari kumpulan ekstremis ultra nasionalis zionis yahudi.

Sama-sama kita doakan agar Masjid Al Aqsa terus dilindungi dan dirahmati oleh Allah SWT. Namun yang lebih penting adalah penyatuan dan perpaduan umat Islam kerana dengan kesatuan dan perpaduan umat Islam, bukan sahaja nasib Masjid Al Aqsa akan terus terpelihara dan terbela tetapi juga Palestin mampu merdeka dan dibebaskan dari cengkaman dan kezaliman rejim zionis Israel.

Malaysia Sejahtera.

YB DR. MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Pengerusi Lujnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat
ADUN Batu Burok – HARAKAHDAILY 6/1/2023

Sumber Rujukan: Al Jazeera dan Middle East Monitor.

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -