Arab Saudi, negara penderma bantuan global No. 1

Kerajaan Saudi telah menghulurkan bantuan berjumlah RM509 bilion kepada 90 buah negara di seluruh dunia dalam tempoh empat dekad lalu. (FOTO: Arab News)
- Advertisement -

RIYADH: Arab Saudi menduduki tempat pertama dalam kalangan negara penderma yang menawarkan bantuan pembangunan rasmi, termasuk bantuan kemanusiaan dan pembangunan kepada negara-negara berpendapatan sederhana dan rendah di seluruh dunia pada tahun 2021 dengan jumlah terbanyak, mencecah SR26.71 bilion (RM31.5 bilion).

- Advertisement -

Penasihat Mahkamah Diraja dan Ketua Penyelia Pusat Bantuan dan Bantuan Kemanusiaan Raja Salman (KSrelief), Dr Abdullah Al Rabeeah berkata, fakta itu adalah merujuk kepada  data yang diterbitkan oleh Jawatankuasa Bantuan Pembangunan (DAC) Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) pada Selasa (26 Dis), lapor Saudi Gazette.

“Data tersebut mempamerkan bantuan pembangunan rasmi yang ditawarkan oleh negara-negara penderma pada tahun lepas (2021) – merangkumi negara anggota dan negeri yang mempunyai keahlian bersekutu di DAC. 

“Jawatankuasa yang berpangkalan di Paris itu dianggap sebagai forum terbesar untuk negara penderma,” jelas beliau.

Al Rabeeah menyatakan bahawa jumlah bantuan yang disalutkan Saudi itu  merupakan 1.05 peratus daripada pendapatan negara kasar negara itu, sambil menambah bahawa dengan perkadaran tersebut menyebabkan Saudi telah mengatasi negara penderma lain.

“Pada nisbah ini, Arab Saudi juga telah melepasi sasaran yang diluluskan oleh Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)  pada Oktober 1970 iaitu negara-negara penderma harus memperuntukkan 0.7 peratus daripada pendapatan negara kasar mereka sebagai bantuan pembangunan rasmi sambil mencari sumber-sumber inovatif pembangunan pembiayaan di negara-negara membangun,” ujar Al Rabeeah.

Menurut beliau lagi, KSrelief sedang melakukan usaha tanpa henti untuk mendaftarkan bantuan kemanusiaan dan pembangunan Kerajaan dalam Platform Bantuan Saudi yang dilancarkan oleh Penjaga Dua Masjid Suci Raja Salman pada 2018. 

“Bantuan didokumentasikan dengan kerjasama kementerian dan jabatan Saudi yang berkaitan untuk menyerlahkan kemanusiaan dan identiti pembangunan negara ini,” katanya lagi.

Ketua penyelia KSrelief itu juga merakamkan penghargaan atas usaha besar agensi-agensi di bawah kerajaan Saudi dalam mendokumentasi dan merekodkan bantuan yang diberikan  kepada rakyat dan negara-negara lain di peringkat global melalui platform antarabangsa, mengikut piawaian yang diluluskan secara global.

“Arahan Penjaga Dua Masjid Suci, Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud; dan Duli Yang Teramat Mulia Putera Mohammed bin Salman bin Abdulaziz, yang juga Putera Mahkota dan Perdana Menteri, telah menyumbang kepada pencapaian sumnbangan terbesar  yang meletakkan kerajaan Saudi pada kedudukan yang  tertinggi dalam puncak tindakan kemanusiaan antarabangsa,” ujarnya.

Tambah beliau, sepanjang sejarah, Saudi  telah menjadi penyokong kepada golongan yang memerlukan di mana sahaja mereka berada, dan negara itu  akan berterusan merealisasikan pendekatan murni  tersebut yang merangkumi nilai-nilai mendalam kepimpinan bijak dan pemurah kerajaan Saudi.

Beliau turut menegaskan bahawa pencapaian luar biasa dan berturut-turut Saudi  dalam era makmur ini adalah hasil daripada Wawasan Saudi 2030 yang bercita-cita tinggi.

Mengakhiri ucapannya, Al Rabeeah merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada kepimpinan kerajaan Saudi yang bijaksana atas sokongan tidak terhad serta keprihatinan yang tidak berbelah bahagi terhadap tindakan kemanusiaan, yang menjadikan Saudi kini mengambil alih peranan global yang berprestij dalam bidang tersebut.

Derma RM509 bilion kepada 90 buah negara

Sementara terdahulu, Arab News melaporkan pada 5 Okt 2015 bahawa Saudi pernah menderma bantuan sebanyak RM509 bilion kepada 90 buah negara di seluruh dunia dalam tempoh empat dekad.

Wakil tetap Saudi ke Pejabat PBB di Geneva, Faisal Hassan Trad berkata bahawa Saudi merupakan negara paling dermawan di dunia dalam bidang pembangunan dan bantuan kemanusiaan sejak empat dekad lalu.

Beliau berkata demikian dalam simposium di Geneva Press Club di ibu negara Switzerland, yang diuruskan Kementerian Luar Negara Switzerland pada 5 Okt 2015 yang turut dihadiri pegawai-pegawai Ksrelief termasuk Ketua Pegawai Eksekutifnya, Maher Hadraoui.

Dalam simposium tersebut, Trad telah memberi taklimat terperinci mengenai visi, matlamat dan sifat kerja pusat, sambil menambah bahawa Saudi sentiasa memimpin negara-negara lain dari segi penerapan nilai dan prinsip kemanusiaan dalam bantuan dan sokongan.

“Ksrelief ditubuhkan daripada pencetusan ke arah nilai baik dan toleransi, rahmat, kemanusiaan dan maruah agama keamanan Islam,” tegas beliau.

Tambah Trad, atas dasar kewajipan dan komitmennya terhadap rakyat Yaman yang merupakan saudara Islam, Saudi adalah satu-satunya negara yang bertindak balas terhadap rayuan bantuan kemanusiaan yang dilancarkan PBB untuk membantu Yaman dengan menghulurkan derma sebanyak RM1.2 bilion.

“Kerajaan Arab Saudi juga telah beberapa perjanjian untuk melanjutkan bekalan bantuan makanan dan ubat-ubatan, sebagai tambahan kepada keperluan lain khusus untuk golongan ibu dan anak, dan untuk memulihkan institusi kesihatan di Yaman,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/12/2022

- Advertisement -