AKSB sedia 50 lori bantu mangsa banjir bersih rumah

- Advertisement -

KOTA BHARU: Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) menyediakan sebanyak 50 lori setiap hari bagi menghantar air ke kawasan yang memerlukan bekalan air pasca banjir di negeri ini.

- Advertisement -

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti negeri, Abdul Rahman Yunus berkata, lori menghantar air untuk membantu mangsa banjir, terutama bagi kerja membersihkan rumah.

Katanya, mangsa banjir boleh memaklumkan kepada AKSB untuk mendapatkan bekalan air bagi membersihkan rumah mereka.

“AKSB sentiasa menggerakkan 50 lori dan dimasukkan ke dalam tangki air statik yang disediakan,” katanya selepas majlis penyampaian sumbangan kepada mangsa banjir di sini, hari ini.

Lebih 300 mangsa banjir menerima sumbangan yang disampaikan Syarikat G-Oranqe Kelantan. Turut hadir Adun Bunut Payong, Dato’ Dr Ramli Mamat dan Pengarah G-Oranqe, Raymond Ng.

Abdul Rahman yang juga Adun Pasir Tumboh berkata, dengan adanya perkhidmatan lori air dapat membantu pengguna dan penduduk yang berdepan masalah bekalan air.

Beliau juga berharap lebih banyak syarikat swasta dan badan korporat memberi sumbangan kepada mangsa banjir yang terjejas baru-baru ini. – HARAKAHDAILY 27/12/2022

- Advertisement -