Padang Besar jadi hub modal insan

- Advertisement -

PADANG BESAR: Padang Besar berpotensi melahirkan modal insan dan tenaga mahir bagi memenuhi permintaan pasaran pekerjaan.

- Advertisement -

Ahli Parlimen Padang Besar, Dato’ Rushdan Rusmi, berkata pihaknya akan berusaha menunaikan janji seperti yang telah tertulis dalam manifesto PERIKATAN NASIONAL (PN) negeri.

“Setelah diberi kepercayaan oleh pengundi Padang Besar, saya akan cuba tunaikan seperti yang telah dijanjikan dalam manifesto, iaitu fokus kepada melahirkan modal insan atau tenaga mahir dari Perlis, khususnya di Padang Besar.

“Kita akan jadikan kawasan ini sebagai hub untuk melahirkan tenaga mahir bagi memenuhi permintaan pasaran pekerjaan.

“Selain itu, kita akan fokus untuk bekerjasama dengan negeri-negeri di bawah PN dari segi peluang perniagaan dan pekerjaan,” katanya.

Beliau sebelum itu menyantuni masyarakat di Nat (Pasar) Balai Baru, Beseri di sini dan meninjau lokasi untuk dijadikan Pusat Kecemerlangan Parlimen Padang Besar di Timah Tasoh.

Rushdan berkata, penyatuan ummah menjadi antara elemen penting yang menyumbang kemenangan besar, khususnya di Perlis.

“Rakyat Malaysia rata-rata mahukan penyatuan ummah, khususnya akar umbi Umno sendiri tetapi disebabkan masalah yang berlaku kepada presiden mereka menyebabkan mereka marah dan meluahkan perasaan itu ke kertas undi.

“Ramai juga di kalangan mereka yang memprotes presiden mereka, terutama di Padang Besar sekali gus menyebabkan kemenangan besar kita di sini,” katanya lagi.

Selain itu, ujarnya undi anak muda menyumbang kepada kemenangan PN di Perlis.

“Suatu perkara yang luar biasa apabila melihat kepada undi anak muda, terutama Undi 18 yang kita jangka sebelum ini tidak memihak kepada kita, tetapi berlaku sebaliknya apabila sebahagian besar anak muda mengundi PN.

“Insya-Allah kita akan mengadakan ‘town hall’ dalam masa terdekat untuk memahami kehendak mereka di samping tidak melupakan undi-undi lain yang memihak kepada kita,” katanya lagi.

Parlimen Padang Besar sebelum ini dikuasai oleh Umno-Barisan Nasional (BN) sejak merdeka.

Rushdan memperoleh 24,267 undi meninggalkan lawannya, Zahida Zarik Khan (BN) dengan 11,753 undi; Mohamad Yahaya (PH) 7,085 undi; Zahidi Zainul Abidin (Bebas) 1,939 undi dan Ko Chu Liang (Warisan) 244 undi. – HARAKAHDAILY 27/12/2022

- Advertisement -