Ribut salji landa AS: 4,400 penerbangan dibatalkan

Pekerja lapangan terbang sedang membersihkan pesawat Alaska Airlines semasa ribut salji di Lapangan Terbang Antarabangsa Seattle-Tacoma (SEA) di Seattle, Washington, Amerika Syarikat, pada 20 Dis. 2022. (FOTO: Bloomberg/Getty Images)
- Advertisement -

WASHINGTON: Lebih 4,400 penerbangan telah dibatalkan dalam tempoh dua hari selepas ribut salji yang kuat melanda Amerika Syarikat (AS), bertepatan dengan permulaan musim cuti bagi rakyat negara itu menyambut perayaan krismas. 

- Advertisement -

Laporan yang diambil daripada laman web jejak penerbangan FlightAware menyatakan bahawa lebih 2,350 penerbangan AS telah dibatalkan pada Khamis (22 Dis) dan 2,120 lagi penerbangan untuk Jumaat (23 Disember) telah dibatalkan, lapor Reuters.

Dalam pada itu, perkhidmatan keretapi penumpang AS Amtrak turut membatalkan berpuluh-puluh perkhidmatan kereta api sepanjang musim perayaan krismas ini.

Antaranya termasuk perkhidmatan keretapi yang menuju ke Michigan, Illinois dan Missouri serta kereta api antara New York dan Chicago. 

Keadaan ini, sekali gus bakal mengganggu perjalanan percutian untuk puluhan ribu penumpang yang menggunakan perkhidmatan keretapi di AS. 

Sebanyak 8,450 lagi penerbangan telah ditangguhkan pada hari Khamis termasuk lebih daripada satu pertiga daripada penerbangan yang dikendalikan oleh American Airlines, United Airlines dan Southwest Airlines.

Penumpang tiba di Terminal 3 Lapangan Terbang Antarabangsa O’Hare di Chicago, Amerika Syarikat pada 22 Dis 2022. (FOTO: AP)

Sementara itu, Southwest Airlines telah membatalkan 865 penerbangan pada Khamis, iaitu kira-kira satu perlima daripada semua penerbangan yang telah dijadualkan, sementara pada Jumaat, Southwest Airlines turut membatalkan lagi sebanyak 550 penerbangan.

Semalam, pihak Pentadbiran Penerbangan Persekutuan memaklumkan bahawa ribut musim sejuk yang berlaku ini telah membawa keadaan ribut salji di Midwest dan dijangka berlaku gangguan perjalanan utama di Chicago, Detroit dan Minneapolis-St Paul.

Sehubungan itu, Delta Air Lines turut membatalkan 140 daripada 4,400 semalam dan diikuti 90 penerbangan dibatalkan pada hari ini.

Delta Air Lines turut mengeluarkan amaran bahawa pembatalan tambahan akan diperlukan pada hari ini memandangkan ribut salji yang melanda AS itu turut memberi kesan kepada operasi di Detroit dan Timur Laut.

Sehingga 8.30 pagi hari ini (waktu tempatan), sebanyak 25 peratus penerbangan telah berlepas di Lapangan Terbang Antarabangsa O’Hare Chicago dan 37 peratus penerbangan di Chicago Midway dibatalkan. 

Seterusnya, sebanyak 27 peratus penerbangan yang berlepas dari Denver turut telah dibatalkan.

Seorang penumpang, Brandon Mattis, 24, yang ditemuramah oleh pemberita ketika berada di Lapangan Terbang La Guardia di New York berkata, dia bersama ahli keluarganya ingin menuju ke Atlanta, Georgia, untuk penyambut perayaan Krismas, namun begitu, penerbangannya telah dibatalkan. 

“Kami cuba mencari altenatif lain iaitu menggunakan laluan lain selain penerbangan ini. Mungkin juga menaiki bas dari sini ke Atlanta. Perjalanan ke sana mengambil masa kira-kira 21 jam jika menggunakan perkhidmatan bas. 

“Jadi, itu benar-benar menyusahkan pihak kami. Perkhidmatan bas sahaja yang boleh membawa kami sampai ke sana,” ujarnya.

Terdahulu, syarikat penerbangan AS berkata pada awal minggu ini pihaknya telah mengetepikan caj bayaran pertukaran dan perbezaan tambang bagi penumpang di pelbagai kawasan yang terjejas. – HARAKAHDAILY 23/12/2022

- Advertisement -