Harung air banjir, dukung anak walau sedang sakit

- Advertisement -

TAK menyangka, kepulangan kami selepas beberapa bulan tidak ziarah mertua yang kurang sihat di Kedai Piah, Ketereh berakhir dengan kami jua menjadi mangsa banjir, ini pertama kali dalam hidup.

- Advertisement -

Tanggal 18 Disember, sedang seluruh rakyat tertumpu kepada perlawanan akhir Piala Dunia, kami 5 beranak terpaksa harungi air sedalam atas pinggang kira-kira jam 10 malam dengan diiringi anggota Bomba dan Penyelamat Ketereh selepas rumah kami dinaiki air dengan pantas sejak jam 8 malam tanpa kami mampu berbuat apa.

Hanya mencapai dokumen penting dan dua helai baju dimasukkan ke dalam beg laptop (bawa laptop untuk sambung kerja editing Harakah Cetak) dan bergegas keluar rumah kami di Jalan Kubang Getah ketika air semakin meninggi arasnya.

Kesejukan malam dan kesakitan usus jua tulang belakang yang penulis hadapi agak membataskan pergerakan namun anak bongsu harus didukung penulis kerana anak-anak yang lain membawa keperluan serba sedikit, apatah lagi anak-anak perempuan belaka kecuali yang bongsu berusia 4 tahun.

Demi keselamatan anak dan keluarga dan kebimbangan paras air makin naik, penulis menghubungi pasukan bomba, dan sejam selepas dihubungi mereka sampai tanpa boleh bawa masuk kenderaan kerana kawasan amat-amat sempit dan air yang dalam.

Dalam kepala macam-macam terfikir, inilah mungkin keadaan bagaimana dahulu penulis membaca dan mengedit berita-berita mangsa banjir, kini penulis sendiri jadi mangsa banjir yang menulis bagi menceritakan detik cemas yang dilalui.

Baba, it’s dangerous baba” anak bongsu membebel sepanjang perjalanan 1.5 km meranduk air dalam kegelapan malam hanya ditemani lampu yang dibawa anggota bomba. Kelihatan wajah anak-anak pucat lesi berjalan dalam air dengan hujan yang amat lebat.

Pada kebiasaannya kawasan tersebut bukan dikategorikan kawasan berisiko banjir, namun kali ini akibat taburan hujan yang amat lebat menyebabkan kawasan kebun getah dan rumah penulis jadi kolam renang, jalan masuk dan keluar tidak boleh dilalui kenderaan.

Sampai di kawasan tinggi, kami menanti trak bomba untuk mengangkut kami ke kawasan lebih selamat. Ketika catatan ini ditulis, penulis masih berbaju dan berseluar basah angkara beg baju jua basah ketika mengharugi banjir.

Kami menumpang di rumah saudara di Kedai Piah, sementara entah esok lusa air akan surut. Hanya doa dan harapan sahaja jua zikir-zikir yang berkumat kamit di mulut dalam menghadapi musibah ini.

Bak kata orang, hati dan jantung bagaikan bercerai dari tubuh ketika mengharungi banjir, tawakal agar dapat sampai ke kawasan tinggi, terbayang peristiwa banjir besar 2014 di mana penulis bersama team ketika itu buat liputan khas dan misi pasca banjir di Manek Urai Baharu. Segala keresahan yang pernah diceritakan mangsa mangsa banjir ketika 2014 membayangi penulis, malah rasa itu kini dihadapi sendiri penulis dan anak-anak.

Sakit yang sedang dilalui menahan seksa perjalanan jauh untuk pulang ke Kelantan tidak lagi difikirkan, yang penting dapat selamatkan diri dan anak-anak. Sepanjang 30 minit mengharung air, penulis memegang erat anak bongsu agar tidak terlepas dari dukungan dengan air yang amat-amat laju.

Setiap arahan bomba diikuti dengan tenang dan cuba kuatkan semangat anak-anak agar tabah lalui detik ini.

Kini sementara menanti banjir surut, tangan ku tadahkan berdoa agar kesakitan ku ini kembali kurang, air mata yang sedang mengalir agar Allah berikan hikmah di sebalik semua ini.

Kepada seluruh mangsa banjir, penulis jua ucapkan agar terus kuat dan tabah, ini ujian agar kita terus dekat dengan Dia Yang Maha Esa.

Solidariti mangsa banjir bersama mangsa banjir yang lain di Pantai Timur. – HARAKAHDAILY 23/12/2022

- Advertisement -