Medan Selera UTC dapat sambutan pengunjung

Fakhrul Anwar Ismail
- Advertisement -

KANGAR: Urban Transformation Centre (UTC) Food Cabin atau dikenali Medan Selera UTC yang beroperasi 25 Julai lalu mendapat sambutan menggalakkan daripada pengunjung.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan; Penjaja dan Peniaga Kecil; Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan; Pembangunan Usahawan dan Industri Kecil dan Sederhana negeri, Fakhrul Anwar Ismail berkata, sambutan daripada pengunjung amat menggalakkan dan peniaga juga dapat menjana pendapatan daripada aktiviti tersebut.

“Alhamdulillah sambutan daripada pengunjung amat menggalakkan sekali gus memberi kelebihan kepada peniaga agar ekonomi mereka dapat dijana.

“Cuma dalam tinjauan saya semalam, masalah kucing berkeliaran di kawasan berkenaan kerana seperti yang kita tahu ia berhampiran dengan pasar borong.

“Perkara ini menjadi masalah bagi sesetengah anak-anak yang takut dengan kucing dan ada pengunjung yang kurang selesa dengan gangguan tersebut, jadi insya-Allah masalah ini akan diselesaikan oleh pihak terbabit,” katanya ketika menjawab soalan Asrul Aimran Abd Jalil (PAS-Kayang) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis di sini hari ini.

Ujar Fakhrul lagi, terdapat 21 kabin telah disediakan di kawasan tersebut dan kesemuanya telah mempunyai pengusaha makanan dan minuman.

“Lantikan peniaga adalah di kalangan peniaga baru dan peniaga yang telah menjalankan perniagaan.

“Selain itu, menu makanan yang dijual di setiap kabin adalah berbeza antara satu sama lain dan terdapat lebih kurang 150 menu yang disediakan,” katanya.

Menurut beliau, kerajaan dapat menjana RM7,350 sebulan hasil daripada sewaan kabin tersebut.

Dalam pada itu, katanya konsep perniagaan yang diperkenalkan adalah “beli, makan, buang” iaitu bekas makanan dan minuman yang digunakan adalah daripada bahan pakai buang.

“Pelanggan akan menikmati makanan dan minuman dalam bekas berkenaan dan dapat mendisiplinkan diri membuang bekas dan sisa makanan ke dalam tong sampah yang telah disediakan.

“Semua peniaga juga diwajibkan mengikuti tatacara dan peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan dan Kementerian Kesihatan Malaysia sepanjang menjalankan perniagaan di Medan Selera UTC,” katanya.

Medan Selera UTC beroperasi dari jam 5.00 petang hingga 11.30 malam. – HARAKAHDAILY 22/12/2022

- Advertisement -