Mahkamah Nepal bebaskan pembunuh bersiri glamor Perancis

Charles Sobhraj ketika dibawa ke penjara di India pada tahun 1976. (FOTO: South China Morning Post)
- Advertisement -

KATHMANDU: Mahkamah Agung Nepal memerintahkan pembebasan pembunuh bersiri Perancis, Charles Sobhraj, yang sebelum ini telah dikenakan hukuman penjara seumur hidup di negara itu sejak tahun 2003.

- Advertisement -

Jurucakap mahkamah berkenaan, Bimal Paudel dalam kenyataannya pada Rabu (21 Dis)  berkata Sobhraj yang menjadi glamor dan popular selepas dijadikan ilham kepada penerbitan siri televisyen BBC/Netflix, The Serpent itu dibebaskan atas alasan umur dan kesihatannya ketika ini, lapor CNN.

Sobhraj, yang kini berusia 78 tahun, mula menjalani hukuman penjara seumur hidup di pinggir bandar Kathmandu di Bhaktapur sabit kesalahan membunuh dua pelancong asing pada tahun 1975, namun banyak daripada dakwaan terhadap kes pembunuhan bersirinya masih tidak dapat diselesaikan.

Jururawat Kanada, Marie-Andrée Leclerc dirakam pada tahun 1970-an. (FOTO: Grunge)

“Dua hakim Mahkamah Agung (Nepal) memerintahkan kerajaan membebaskannya serta-merta (berkuat kuasa 21 Dis 2022) dan dihantar pulang ke negaranya (Perancis) dalam tempoh 15 hari,” tambah Paudel.

“Sobhraj menghidap penyakit jantung dan memerlukan pembedahan jantung terbuka,” ujar kenyataan mahkamah.

Dilahirkan di Saigon, Vietnam yang ditadbir Perancis ketika itu, Sobhraj pertama kali dipenjarakan di Paris pada 1963 atas sabit kesalahan jenayah pecah rumah tetapi kemudian melakukan kegiatan merompak pelancong asing di pelbagai negara di Eropah dan Timur Tengah, sebelum dituduh melakukan jenayah pembunuhan bersiri di beberapa negara termasuk Perancis, Greece, Turki, Iran, Afghanistan, Pakistan, Nepal, India, Thailand dan Malaysia.

Dia licik melarikan diri dari penjara di beberapa negara, dan kecenderungannya untuk mengelak daripada pihak berkuasa menyebabkan dia mendapat julukan, ‘Ular’.

Foto fail bertarikh 26 Mei 2014 menunjukkan Sobhraj (tengah) dibawa ke mahkamah daerah Bhaktapur, Nepal untuk perbicaraan kes berkaitan pembunuhan wanita Kanada, Laurent Ormond Carriere. (FOTO: AFP)

Sobhraj akhirnya mengaku melakukan sekurang-kurangnya 12 pembunuhan antara 1972 dan 1976, namun menarik balik pengakuan itu sebelum kes mahkamah berkenaan dibicarakan selanjutnya.

Jumlah sebenar mangsanya tidak diketahui, namun dipercayai bahawa Sobhraj telah membunuh sekurang-kurangnya 20 pelancong di Asia Selatan dan Tenggara, termasuk 14 mangsa di Thailand.

Ketika melarikan diri ke Thailand, dia berkenalan dengan seorang lelaki dari India, Ajay Chowdhury yang kemudian menjadi rakan jenayahnya.

Di Thailand juga, Sobhraj berkenalan dengan seorang lagi pengikut setianya, jururawat dari Kanada, Marie-Andrée Leclerc.

Cornelius Hemker (kiri) dan tunangnya, Henrikus Bintanja dibunuh di Thailand pada 1975. (FOTO: CNN)

Mereka kemudian bekerjasama membunuh mangsa pertama, seorang wanita muda dari Seattle Amerika Syarikat, Teresa Knowlton yang ditemui mati lemas di kolam pasang surut di Teluk Thailand, dalam keadaan memakai bikini bercorak floral. 

Mangsa seterusnya ialah seorang lelaki Yahudi, Vitali Hakim, yang mayatnya ditemui terbakar di jalan raya ke pusat peranginan Pattaya, tempat tinggal Sobhraj.

Selanjutnya, pelajar Belanda, Henrikus Bintanja, 29, dan tunangnya Cornelia Hemker, 25, yang telah dijemput ke Thailand selepas bertemu Sobhraj di Hong Kong sebelum dia meracuni mereka, namun dia kemudian merawat Bintaja dan Hemker untuk meraih kepercayaan kedua-dua bakal mangsanya itu.

Ketika Bintanja dan Hamker semakin pulih, Sobhraj telah dikunjungi oleh teman wanita Perancis mangsa sebelumnya (Hakim), Charmayne Carrou, yang datang untuk menyiasat kehilangan teman lelakinya itu. 

Shobhraj dirakam di Paris pada 1997 selepas dibebaskan dari penjara di India. (FOTO: CNN)

Bimbang kegiatan jahatnya terdedah, Sobhraj bertindak ‘menghapuskan’ Bintanja dan Hemker, yang mayat mereka ditemui dalam keadaan dicekik dan dibakar pada 16 Disember 1975. 

Tidak lama kemudian, Carrou ditemui lemas dengan memakai pakaian renang corak serupa dengan mangsa Sobhraj sebelum ini, Teresa Knowlton.

Walaupun pembunuhan dua wanita itu tidak disambung siasatannyaoleh penyiasat Thailand pada masa itu biarpun Shobhraj sudah ditangkap pada Mac, 1976 (susulan dikatakan jika kes itu diteruskan siasatan, ia bakal memberi impak negatif terhadap industri pelancongan di Thailand), namun pihak berkuasa Thailand kemudiannya melabelkan Sobhraj dengan julukan ‘The Bikini Killer’.

Ajay Chowdhury memasuki Malaysia pada 1976 dan sejak itu hilang tanpa dapat dikesan. (FOTO: History vs Hollywood)

Tidak lama kemudian, Shobhraj dan Leclerc memasuki Malaysia, sebelum disertai Chowdhury untuk membantu dalam kegiatan mencuri permata.

Namun sejak tiba di Malaysia, Chowdhury telah dan tidak dapat dikesan (dikatakan Chowdhury mati dibunuh dengan kejam oleh Shobhraj sebelum dia dan Leclerc terbang ke Geneva untuk menjual permata tersebut).

Selepas itu, Shobhraj meneruskan kegiatan merompak dan membunuh di beberapa negara sebelum sebelum ditangkap di New Delhi, India pada Julai, 1976 dan dijatuhi hukuman penjara selama 12 tahun dari 1976 hingga 1997.

Sementara, Leclerc turut disabitkan kesalahan jenayah membunuh, namun membuat rayuan dan dibebaskan dengan syarat dia tidak boleh meninggalkan India selama tiga tahun, sebelum dia disahkan menghidap kanser ovari terminal dan meninggal dunia pada 20 April 1984 di Kanada ketika berusia 38 tahun.

Teresa Knowlton

Shobhraj pula, selepas dibebaskan dari penjara di India, telah menetap di Paris dan meraih pendapatan dengan mengenakan bayaran kepada sebarang pihak yang ingin menghasilkan dokumentari atau menulis buku tentang dirinya.

Dia kemudian kembali ke Nepal pada 2003, yang menyaksikan dia kemudian ditangkap, dibicarakan sebelum dijatuhi hukuman penjara seumur hidup.

Pada 2014, mahkamah Nepal mensabitkan Sobhraj atas pembunuhan pelancong Kanada, Laurent Ormond Carrière, dan menambahkan hukuman penjara sebanyak 20 tahun.

Justeru menerusi pengumuman pembebasannya pada 21 Disember 2022, ini bermakna dia dibebaskan oleh Mahkamah Agung Nepal selepas meringkuk dalam penjara hanya selama 19 tahun. – HARAKAHDAILY 22/12/2022

- Advertisement -