Jangan buat kerja-kerja jahat

- Advertisement -

KETUA Penasihat Kumpulan The Star Datuk Wong Chun Wai di penghujung artikel mingguannya dalan akhbar The Sunday Star (‘Best foot forward‘) hari ini menyebut:

- Advertisement -

“Anwar adalah tokoh yang paling layak untuk mengawal versi Islam yang sedang dibawa PAS yang (jika dibenar) akan (will be disastourous for Malaysia) membawa malapetaka pada Malaysia.”

Islam yang PAS perjuangkan bawa ‘malapetaka’ pada Malaysia? Ini satu kenyataan yang jahat dan cukup tidak bertanggungjawab.

Ya! Inilah serangan terancang yang sedang PAS hadapi dari pelbagai pihak sejak Datuk Seri Anwar menjadi Perdana Menteri ke-10. 

Semasa berkempen DAP mengulang-ulang tuduhan kononnya jika PAS menang atas tiket PN, Malaysia akan jadi negara ‘Taliban’.

Fitnah ini tidak menjejaskan para pengundi Melayu yang sedar dan tahu dari hal peranan dan perjuangan PAS, tetapi ia berjaya menghantui pengundi bukan-Melayu. Mereka dihasut untuk menolak PAS.

Dalam akhbar yang sama hari ini penganalisa Joceline Tan memetik seorang sumber yang mengatakan: Masyarakat Cina dari kelas pertengahan melihat Anwar sebagai alternatif pada Muhyiddin semata-mata kerana mereka bimbang pada PAS.

Kerana itu dibuat kesimpulan bahawa masyarakat ini sanggup menerima Umno dalam kerajaan (yang sebelumnya dimaki-hamun DAP dan PH semasa berkempen) dan sanggup memuji Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang dilantik Timbalan Perdana Menteri dengan justifikasi kononnya ‘a devil who turned out to be an angel‘ (syaitan yang bertukar menjadi malaikat).

Walaupun memenangi 43 kerusi Parlimen (parti dengan kerusi terbanyak dalam Parlimen ke-15) usaha terus dilancarkan untuk memburuk dan menghodohkan imej PAS. Ini jelas menghina dan memperlekeh suara dan kepercayaan rakyat (PAS dan PN menerima 56 peratus undi masyarakat Melayu Islam seluruh negara, PH cuma 11 peratus BN 33 peratus).

PAS bukan parti nyamuk atau yang baru ditubuh semalam tetapi ia sudah bertapak dalam pentas politik negara lebih tujuh dekad dan kini menguasai 4 kerajaan negeri, punya 29 Ahli Exco dan 120 orang Ahli Dewan Negeri seluruh negara kecuali Melaka, Sarawak dan Negeri Sembilan.

Banyak sumbangan dan pengorbanan PAS pada negara, agama dan bangsa sepanjang tujuh dekad usianya. Kritik dan tegur ia tetapi janganlah fitnah dan momokkan parti Melayu Islam terbesar dalam negara ini.

Islam yang dibawa PAS adalah Islam yang sama yang termaktub sebagai Agama Persekutuan, jangan buat kerja-kerja jahat dan cetus kemarahan rakyat.

ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR – HARAKAHDAILY 18/12/2022

- Advertisement -