Suspek bunuh empat pelajar Universiti Idaho belum ditemui

Empat pelajar Universiti Idaho yang mati dibunuh di Moscow, Idaho, Amerika Syarikat pada awal pagi 13 Nov 2022. (FOTO: KIVI-TV)
- Advertisement -

MOSCOW, Idaho: Sebulan selepas pembunuhan ngeri empat pelajar Universiti Idaho di dalam sebuah rumah di luar kampus mereka, pihak berkuasa masih belum menamakan suspek atau mengesan senjata kes tersebut kerana ratusan pelajar universiti berkenaan kini sedang mengambil peperiksaan akhir sebelum cuti musim sejuk.

- Advertisement -

Tiga mangsa pembunuhan tersebut – Kaylee Goncalves, 21; Madison Mogen, 21; dan Xana Kernodle, 20, menetap di rumah tiga tingkat berkenaan di King Street, sementara Ethan Chapin, 20, merupakan teman lelaki Kernodle – kesemuanya maut selepas ditikam berkali-kali ketika masing-masing sedang tidur pada awal pagi 13 Nov, lapor CNN.

Polis sebelum ini hanya mendedahkan bahawa dua daripada mangsa ditemui di tingkat dua, dan dua lagi di tingkat tiga, tetapi tidak memberi sebarang butiran yang lebih terperinci.

“Beberapa mangsa mengalami kecederaan akibat mempertahankan diri dan tiada tanda mangsa diperkosa,” ujar koroner, Cathy Mabbutt yang mana menurut polis pula, kes pembunuhan itu masih menimbulkan lebih banyak persoalan daripada jawapan, dan telah menggemparkan bandar kecil Moscow di Idaho, yang tidak mencatat sebarang kejadian bunuh sejak tahun 2015.

Persoalan itu termasuklah mengenai senjata yang digunakan dalam pembunuhan tersebut yang dilabelkan Mabbutt sebagai ‘pisau bersaiz besar’ berdasarkan kesan luka teruk yang pada kesemua mangsa.

“Saya telah menjadi koroner selama 16 tahun… dan melakukan banyak bedah siasat terhadap beberapa (mangsa) pembunuhan pada masa lalu, tetapi belum ada lagi yang seperti ini,” katanya.

Polis kini telah mendedahkan bahawa mereka percaya senjata pembunuhan itu adalah bukan pisau biasa dan mengesahkan bahawa mereka telah melawat kedai-kedai tempatan untuk bertanya tentang sebarang pembelian objek berkenaan baru-baru ini.

Seorang pemilik kedai tempatan sebelum ini berkata bahawa pegawai polis sangat berminat dengan rekod penjualan pisau Ka-Bar atau ‘Rambo’ gaya tentera.

Persoalan juga timbul apabila dua orang lagi pelajar Universiti Idaho yang turut menetap di rumah sewa tersebut dan juga sedang tidur ketika kejadian, didapati tidak mengalami sebarang kecederaan.

Selepas di soal siasat, polis bagaimanapun percaya mereka yang terselamat itu tidak terlibat dalam pembunuhan tersebut.

Sementara lelaki yang muncul dalam video pengawasan sekitar trak makanan yang dikunjungi Goncalves dan Mogen, yang kemudian menghantar kedua-dua gadis itu pulang ke rumah mereka pada jam 1.45 pagi, dan seorang lelaki lain yang berkali-kali dihubungi Goncalves dan Mogen melalui telefon bimbit selepas mereka selamat sampai di rumah, didapati tidak berada di lokasi kejadian ketika pembunuhan itu berlaku, menurut hasil siasatan polis.

Dalam pada itu, kesemua individu yang ada di dalam rumah mangsa-mangsa itu dibunuh ketika pihak 911 dipanggil ke sana pada keesokan harinya (14 Nov) selepas penemuan mayat keempat-empat mangsa, tidak disyaki sebagai suspek selepas pihak polis turut melakukan soal siasat terhadap mereka.

Lokasi kediaman empat mangsa yang dibunuh ketika masing-masing sedang tidur di Moscow, Idaho. (FOTO: People)

Penduduk dan khususnya ahli keluarga mangsa bagaimanapun tidak berpuas hati kerana pihak berkuasa masih merahsiakan banyak butiran siasatan daripada pengetahuan umum, namun polis menegaskan ada sebab kenapa pihaknya mengambil langkah tersebut buat masa ini.

“Kami masih 100 peratus komited untuk menyelesaikan kes jenayah kejam ini,” kata Kapten Jabatan Polis Moscow, Idaho, Roger Lanier pada Selasa (13 Dis) dalam kemas kini video mengenai hasil siasatan kes berkenaan.

“Kami belum mengeluarkan sebarang butiran khusus kerana kami tidak mahu menjejaskan siasatan ini. Itulah yang mesti kita lakukan. Kami masih ‘berhutang’ dengan kesemua mangsa dan keluarga mereka. Namun, kami mahukan lebih daripada sekadar penahanan suspek, tapi juga mahukan sabitan kes yang kukuh,” tambahnya.

Kenyataan Lanier dibuat ketika ratusan pelajar Universiti Idaho sedang mengambil peperiksaan akhir minggu ini sebelum semester musim gugur berakhir dan penyiasat telah meneliti lebih 6,000 petunjuk yang mereka terima berhubung kes itu.

“Penganalisis kami telah menghabiskan masa berjam-jam untuk menyusun dan cuba menghasilkan petua paling relevan terlebih dahulu untuk penyiasat membuat susulan. Mereka telah menyoal siasat semula beberapa individu yang telah disoal siasat sebelum ini dalam penyiasatan untuk menperjelaskan lagi maklumat yang ada berkenaan kes tersebut,” jelas Lanier.

Rakan-rakan universiti mangsa berkumpul untuk memberikan penghormatan terakhir. (FOTO: New York Times)

Pada minggu lalu, pihak berkuasa mendapatkan maklumat daripada orang ramai mengenai sebuah kereta Hyundai Elantra berwarna putih buatan antara 2011 dan 2013, yang mereka percaya berada ‘di kawasan terdekat’ di lokasi kejadian sekitar masa pembunuhan itu.

Menurut siasatan polis, kereta sedan itu telah dikesan dalam rakaman pengawasan kerana memandu laju melepasi stesen minyak di Moscow sebelum dipandu di sepanjang Lebuhraya 8 pada jam 3.45 pagi pada 13 November.

Penyiasat sebelum ini mendedahkan bahawa keempat-empat Mogen, Goncalves, Chapin dan Kernodle mati ditikam kira-kira jam 3 pagi atau 4 pagi; dan stesen minyak tersebut hanya berjarak empat minit pemanduan dari lokasi pembunuhan berkenaan.

“Kami juga percaya bahawa penghuni yang tinggal berdekatan lokasi kejadian melihat sesuatu yang ada kaitan dengan pembunuhan tersebut. Mereka mungkin tidak tahu mereka telah melihat sesuatu,” ujar Lanier sambil menyatakan penyiasat mahu bercakap dengan sesiapa sahaja yang berada di dalam kereta berkenaan.

Semasa penyiasatan diteruskan, Lanier menegaskan bahawa semua orang di Moscow (Idaho) harus sedar tentang persekitaran mereka, dan mengelakkan diri daripada berjalan berseorangan di tempat gelap, tetapi sebaliknya bergerak dalam kumpulan.

“Ini bukan petunjuk risiko tinggi tertentu, tetapi ia adalah sesuatu yang kita harus sentiasa berwaspada dalam kehidupan seharian,” katanya.

Sementara Mail Online pada 15 Dis melaporkan bahawa seorang pesara polis berpangkat kapten yang menghabiskan 20 tahun menyiasat setiap pembunuhan tempatan di bandar Idaho, Paul Kwaitkowski, 64, berkata bahawa kemungkinan suspek mengenali sekurang-kurangnya seorang daripada keempat-empat mangsa; dan mungkin bermotifkan membalas dendam.

“Apabila anda menggunakan perkataan mangsa yang ‘disasarkan’, ia bermakna di suatu tempat di sepanjang garis persoalan mengenai misteri di sebalik pembunuhan akan membawa kepada suspek,” ujarnya.

Kenyataan Kwaitskowski itu bertepatan dengan pendedahan yang dibuat Steven Goncalves -bapa kepada salah sorang mangsa, Kaylee kepada Fox News bahawa luka yang dialami anaknya ‘agak besar’ berbanding tiga lagi mangsa.

“Luka yang dialami Kaylee adalah dengan bukaan dalam saiz yang amat besar berbanding tiga lagi rakan-rakannya yang turut dibunuh, sehingga ia memotong bahagian hati dan paru-parunya.

“Anak saya bukan sekadar ditikam dengan pisau oleh suspek tetapi dirobek-robek dengan motif yang amat kejam dan penuh geram, dan mungkin berunsur dendam kesumat yang amat sangat,” katanya.– HARAKAHDAILY 14/12/2022

- Advertisement -