Harakah ungguli Anugerah Liputan Terbanyak UMK

Naib Canselor UMK, Prof Dato’ Dr Razli Che Razak menyampaikan Anugerah Liputan Terbanyak kepada wakil Harakah, Salmah Mat Husain.
- Advertisement -

KOTA BHARU: Akhbar Harakah buat julung kali mengungguli Anugerah Liputan Terbanyak Universiti Malaysia Kelantan (UMK) bagi tahun 2022.

- Advertisement -

Program anjuran UMK yang julung kali diadakan pada Malam Media UMK di sini, malam tadi bertema ‘white dan denim’ berlangsung dengan penuh meriah.

Anugerah disampaikan Naib Canselor UMK, Prof Dato’ Dr Razli Che Razak kepada wakil Harakah Salmah Mat Husain.

Sebanyak enam kategori dipertandingkan pada anugerah itu antaranya, Anugerah Media Elektronik Terbaik dianugerah kepada Radio Malaysia Televisyen (RTM).

Manakala Anugerah Liputan Terbaik (RTM), Anugerah Media Sosial Terbaik (Bernama) dan Anugerah Foto Terbaik (Media Prima). Setiap pemenang membawa pulang sijil dan baucer.

Dr Razli berkata, sumber dan kepakaran bidang-bidang utama di UMK boleh digunakan pihak media bagi menyebarkan maklumat berguna kepada masyarakat.

Naib Canselor UMK, Prof Dato’ Dr Razli Che Razak, beramah mesra dengan warga media Kelantan

Katanya, UMK sentiasa mengiktiraf sumbangan media membuat liputan berkaitan program dan isu-isu pendidikan tinggi termasuk pencapaian UMK.

“Wartawan dan media massa adalah kumpulan yang berperanan besar dalam pembangunan negara dan memacu ke arah dunia lebih moden,” katanya pada majlis tersebut yang dihadiri lebih 30 wartawan dari pelbagai agensi.

Turut hadir Presiden Kelab Media Kelantan Darul Naim (Kemudi), Majidah Ismail yang juga Penyelia Berita Ehwal Semasa RTM Kelantan.

Menurut Dr Razli juga media mampu menggoyahkan pemikiran pembaca dengan kekuatan dan ketajaman penulisan serta idea yang diutarakan.

“Bak kata pepatah, mata pena lebih tajam dari mata pedang,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/12/2022