Adam Adli jangan culas, malas dan semberono

- Advertisement -

BILA mana YB Timbalan Menteri Belia dan Sukan baharu dilantik iaitu Saudara Adam Adli memberikan komentar di sidang media pertama sebagai Timbalan Menteri menyebut:

- Advertisement -

“Selalunya akan ada masalah dan bila dilihat lebih mendalam, ia akan pergi semula kepada puncanya. Kadangkala, kebanyakan masanya, maaf cakap… Ia adalah disebabkan rasuah,” ujar YB Adam Adli di Menara KBS semalam.

Kenyataan semberono yang barangkali separuh benar dan berbentuk persepsi liar ini tidak sepatutnya datang dari seorang Timbalan Menteri Belia dan Sukan.

Hari pertama, di mana kamu belum lagi melakukan sebarang sesi libat urus dengan pemegang taruh di bawah seliaan Kementerian Belia dan Sukan terus YB Timbalan Menteri melempar tuduhan persepsi kepada badan-badan sukan berautoriti.

Ia mengundang sikap kurang selesa kepada mereka yang berusaha sehabis daya memartabatkan mutu sukan negara.

Presiden MOM Tan Sri Dr Mohamad Norza Zakaria, Presiden Bola Sepak (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin dan Presiden Persekutuan Wusyu Malaysia (WFM) Datuk Chong Kim Fatt antara yang awal menyatakan kekecewaan kepada kenyataan bersifat populis YB Timbalan Menteri.

Sewajarnya di hari pertama, YB Timbalan Menteri mesti berhati-hati menyatakan pendirian kerana sebarang kesilapan atau  ‘kenyataan malas’ seperti tuduhan semberono ini akan melukakan aktivis dan penggiat sukan tanah air.

Justeru, perkara paling awal yang perlu dilakukan segera ialah menjalinkan hubungan dan sesi libat urus. Bekerjalah dengan adil dan telus YB Timbalan Menteri, bukan bermain-main dan culas menyatakan pendirian yang bagi hemat kami adalah kenyataan yang malas dan tidak adil kepada semua penggiat sukan tanah air.

Sikap mentaliti pembangkang dan menyerang tanpa usul periksa tidak akan sesekali menyelesaikan masalah utama sebagai kerajaan sedia ada.

Ini bukan zaman mahasiswa yang boleh bertindak dan bercakap sewenang-wenangnya. Ya kamu sudah di kerusi empuk Timbalan Menteri Belia dan Sukan maka hargailah setiap saat berada di sebuah kementerian. Carilah kekuatan dan bukan mengheret ke perdebatan yang sia-sia.

Sukan seharusnya menyatukan rakyat Malaysia. Usahlah bersikap culas, malas dan semberono YB Timbalan Menteri Adam Adli merosakkannya!

MOHAMED SUKRI OMAR 
Ketua Pemuda PAS Selangor – HARAKAHDAILY 13/12/2022

- Advertisement -