Projek tebatan elak banjir jejas kehidupan rakyat

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan berharap projek tebatan banjir yang dalam proses pembinaan di negeri itu diteruskan demi kepentingan rakyat khususnya di lokasi yang sering berlaku banjir.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti, Dato’ Sr Azami Mohd Nor berkata, projek berkenaan wajar diteruskan memandangkan penduduk sering terdedah dengan banjir khususnya di Rantau Panjang.

Menurutnya, projek tebatan banjir di Kelantan termasuk Projek Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Kelantan Fasa Dua dan Projek Lembangan Sungai Bersepadu Sungai Golok Fasa Tiga yang telah diluluskan.

“Selain itu projek lencongan banjir Sungai Kelantan melalui Sungai Seribong bagi mengelakkan banjir besar di Kota Bharu.

“PLSB Sungai Golok Fasa Tiga penting bagi mengelak kawasan Bukit Bunga dan Air Lanas di Jeli mengalami banjir akibat limpahan Sungai Golok.

“Bagi Projek PLSB Sungai Golok pula seluruh Rantau Panjang dan Bandar Baru Pasir Mas akan mengalami banjir lebih serius akibat ketiadaan sambungan struktur yang dibina seiring dengan pembinaan struktur lain di PLSB Fasa 1,” katanya ketika ditemui di Kota Darulnaim hari ini.

Baru-baru ini media melaporkan Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim dilapor mengarah beberapa kelulusan projek tebatan banjir bernilai RM7 bilion tidak diteruskan memandangkan ia membabitkan kelulusan secara rundingan terus.

Azami juga berkata, Kerajaan Persekutuan wajar mengkaji semula projek berkenaan untuk diteruskan demi kepentingan rakyat Kelantan.

Menurutnya juga kerajaan negeri akan menghantar pegawai bertemu dengan kementerian berkaitan bagi membincangkan perkara tersebut.

“Pada mesyuarat Exco ada juga disentuh mengenainya yang mana kita bercadang untuk menghantar wakil bagi membincangkan perkara itu (projek tebatan banjir),” ujarnya. – HARAKAHDAILY 7/12/2022

- Advertisement -