Ke mana DAP bersembunyi sepanjang PRU15?

- Advertisement -

ROMPIN: DAP bersembunyi dari menunjukkan wajah dan watak-watak sebenar parti itu sepanjang PRU15 ini kerana tahu rakyat sangat menolak mereka, demikian kata Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man.

- Advertisement -

Kerana itu jugalah menurutnya, DAP meletakkan calon-calon Melayu bertanding di kawasan Melayu di mana penonjolan parti itu sedang lakukan adalah perubahan imej dan pendekatan, namun dengan media yang terbuka, rakyat dapat menilai.

Hinggakan sindirnya, satu bendera DAP pun tidak kelihatan dan beliau mencabar Lim Kit Siang atau Lim Guan Eng mahupun mana-mana pimpinan DAP tampil pada PRK N.42 Tioman dan P.017 Padang Serai, tanpa berselindung di sebalik apapun.

Beliau berkata demikian pada sesi ditemubual dihoskan Ketua Penerangan PAS Negeri Pahang, Ustaz Mohd Tarmizi Yahaya dalam Sembang Santai sempena PRK N.42 Tioman di Bandar Baru Rompin, di sini semalam.

Menjawab mengenai PAS yang dikatakan asyik menyerang DAP, beliau menegaskan tentangan terhadap dasar dan pembawaan cauvinis serta perkauman oleh parti itu di mana hal tersebut sememangnya diketahui ramai.

“Ini bukan perkara baru, 22 bulan cuba tengok balik, buka balik fail lama waktu pemerintahan tersebut.  Ada pihak yang mengatakan bahawa kerajaan hari ini bukan didominasi oleh DAP. Tapi sebenarnya parti yang paling besar di kalangan mereka ialah DAP. 

“Dan ini di antara isu yang jelas. Bagi kita, kita nak penyatuan perpaduan negara dipelihara dan kita tak mahu melihat bahawa ada elemen perpecahan. Islam mengajar perpaduan. Islam menganjur keharmonian, Islam menganjurkan soal perpaduan antara semua bangsa dan kaum.

“Maka kalau kita sebagai parti Islam, dasarnya begitu, arahan Allah begitu, arahan Nabi begitu, maka kita follow. Dan tak timbul kita anti kaum-kaum lain di negara kita,” jelasnya bahawa perseteruan dengan DAP bukanlah bersifat anti kaum.

Sebaliknya PAS akui beliau, melantik kaum bukan-Melayu dan bukan-Islam duduk dalam kerajaan ditadbirnya, serta tidak berlaku isu perkauman di negeri-negeri diperintah PAS di mana kaum-kaum berkenaan hidup tanpa masalah.

Bidas beliau, DAP telah membawa sikap perkauman yang sempit dan nilai-nilai tidak membina seperti ditunjukkan parti itu sewaktu PAS membawa RUU355 berkaitan peruntukan perundangan Mahkamah Syariah di Parlimen.

“Siapa yang bawa fail ke mahkamah dua tiga kali? DAP juga ya. Sama juga bila isu tulisan Jawi, siapa yang timbulkan? DAP juga. Isu institusi Raja-raja, satu masa sampai kritik dengan bendera terbalik. Siapa dia? DAP juga. Jadi itu di antara sebab-sebabnya. 

“Kalau kita lihat semua sekali, kenapa (terjadi sesuatu isu)? Maka kita akui bahawa di sebaliknya ialah (adanya) DAP. Bukan kita anti-Cina, bukan anti-India. Saya hubungan peribadi waktu jadi Menteri, saya berjumpa Ketua Menteri Pulau Pinang, pemimpin DAP saya jumpa.

“Dan mereka pun datang jumpa saya, bincang masalah dalam negara. Saya kata okey, kita cuba bantu. Saya tak pernah kira kawasan itu DAP, negeri DAP. Sebab itu parti yang memerintah. Tapi dari segi rakyat, kita jaga. Contohnya bila berlaku bencana alam, bukan tanya parti mana.

“Jadi kita sebagai Menteri, kita luluskan peruntukan bajet semua kawasan, termasuk kawasan DAP. Sebab itu saya beritahu orang Cina, kami tak pernah benci kaum Cina. Tapi bila kita dalam konteks parti, pertembungan dasar parti tersebut.

“Kita harus menerima hakikat bahawa DAP banyak menimbulkan, mengganggu pelbagai sentimen,” ujar beliau yang kini ADUN Cheka, Pahang dan Ahli Parlimen Kubang Kerian, Kelantan. – HARAKAHDAILY 2/12/2022

- Advertisement -