PERHILITAN digesa tangani ancaman gajah

- Advertisement -

LENGGONG: Bekas calon PERIKATAN NASIONAL (PN) menggesa Jabatan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) menangani masalah ancaman gajah di kampung-kampung seberang Sungai Perak dengan lebih serius.

- Advertisement -

Bekas calon PN P.055, Ustaz Muhammad Rif’aat Razman berkata, ancaman tersebut membabitkan perkampungan di Bukit Sapi, Chepor, Luat dan Beng bukan baru, malah telah berbangkit sejak berbelas tahun. 

Menurutnya, ancaman kumpulan haiwan perosak tanaman itu sangat memberi kesan kepada ribuan penduduk, khususnya pekebun-pekebun kecil getah dan para pengusaha ladang kelapa sawit.

“Ancaman hidupan liar, terutama kumpulan gajah, selain babi hutan monyet dan sebagainya menyebabkan ribuan hektar tanaman kelapa sawit, getah, pisang dan buah-buahan mengalami kerosakan pada setiap tahun. 

“Begitu pun pekebun-pekebun kecil tidak pernah putus asa daripada terus mengusahakan tanaman mereka, tapi itulah, terlalu banyak kerugian yang terpaksa mereka tanggung,” katanya. 

Beliau menyuarakan demikian ketika ditemui selepas melawat ladang kelapa sawit diusahakan oleh Mohd Nor Osman, 59, di Kubang Keli, Kampung Chepor dekat sini yang turut disertai bekas calon PN N.04 Kota Tampan, Jamil Yahya.

Ancaman kumpulan hampir 20 gajah liar sejak dua minggu lalu mengakibatkan hampir 400 pokok kelapa sawit Mohd Nor yang berusia antara empat dan 10 tahun mengalami kerosakan itu turut disaksikan Ketua PAS Cawangan Kampung Chepor, Anuar Burhan.

Ustaz Rifaat berkata, sekiranya isu berkenaan tidak ditangani dengan serius, selama itulah kerugian yang besar terpaksa terus menerus ditanggung oleh pekebun-pekebun kecil. 

Manakala Jamil berharap PERHILITAN sentiasa membuat pemantauan terhadap pihak yang diberikan tanggungjawab menyelenggara pagar elektrik supaya tidak ada berlaku kerosakan yang membolehkan kumpulan gajah masuk ke kawasan ladang.

Gesanya, peruntukan yang disediakan untuk pihak berkenaan pada setiap tahun mesti benar-benar dimanfaatkan bagi menyelenggara pagar itu yang difahamkan dibiayai sebanyak RM13,000 setahun. – HARAKAHDAILY 27/11/2022

- Advertisement -