DUN Tioman: Kita cuba sehabis baik, insya-Allah

Walaupun NOR IDAYU HASHIM merasa berat untuk menerima amanah sebagai calon PERIKATAN NASIONAL di DUN Tioman pada PRU15, namun optimis untuk melakar kejayaan dengan kekuatan jentera parti yang perlu bekerja dengan lebih gigih lagi. Beliau juga menyeru semua pengundi di DUN Tioman dan pengundi luar agar pulang untuk mengundi pada 7 Disember depan dan mengekalkan kemenangan PERIKATAN NASIONAL sebagaimana dibuktikan semasa pengundian bagi kerusi Parlimen Rompin pada 19 Novermber lalu. Beliau berkongsi pandangan itu semasa ditemu bual ringkas Pengarang Harakahdaily, AZMI YUSOF pada satu program di bandar Rompin, hari ini.

Advertisement

Apa perasaan puan dipilih sebagai calon bagi menggantikan Almarhum Md Yunus Ramli dalam waktu yang agak singkat?

Seperti yang sedia maklum, saya dipilih untuk menjadi calon ini tidak sampai beberapa hari. Jadi, normallah bagi yang pengalaman pertama kali dan tidak ada pengalaman untuk menjadi calon, jadi sesuatu yang agak mengejut pada saya. Tetapi disebabkan kita sudah ditarbiah dengan sami’na waato’na, insya-Allah kita cuba sedaya upaya untuk memenangkan jemaah di bawah kepimpinan ulama ini walaupun berat untuk menerima amanah yang memang kita tahu tanggungjawab yang sangat berat. Insya-Allah kita cuba sehabis baik dengan kekuatan jentera kita, insya-Allah, terima juga dengan tabah.

Harakah: Puan dilihat sebagai tulang belakang dalam meneruskan usaha Almarhum Md Yunus membantu penduduk di DUN Tioman. Pilihan puan sebagai calon dikira tepat.

Insya-Allah, saya yakin dengan pilihan jemaah kerana mereka lebih mengetahui siapa calon yang lebih sesuai. Jadi pada saya, insya-Allah pilihan jemaah itu adalah tepat.

Bagaimana penglibatan puan dengan aktiviti dan gerak kerja Dewan Muslimat PAS Kawasan Rompin?

Saya memang sangat aktif memandangkan saya juga AJK Dewan Muslimat PAS Rompin. Walaupun kita tahu bahawa Rompin ini merupakan kawasan yang sangat besar, tetapi alhamdulillah saya komited dengan program yang dianjurkan PAS dalam pelbagai peringkat, daripada cawangan, Dewan Muslimat PAS kawasan sehinggalah pada PAS kawasan.

Puan menghadapi saingan lima penjuru pada PRU15 DUN Tioman ini, hanya puan calon wanita. Adakah ini satu advantage?

Ya, saya lihat ia merupakan satu advantage kepada saya dengan kita lihat bilangan pengundi wanita dan lelaki ini 50-50. Saya juga sebelum ini, banyak mengikut program kebajikan anjuran PAS kawasan dan NGO Rompin Makmur. Jadi ramai yang telah mengenali saya dan saya sangat yakin pada pencalonan kali ini.

Dalam DUN Pahang, Adun BN dan PH ada wanita, jadi apa yang akan dibawa oleh puan sekiranya diberikan kemenangan di DUN Tioman ini, insya-Allah.

Selari dengan tema Pahang Berkat Mahmur Sejahtera, yang prihatin dan kebajikan, saya mahu lebih kerap turun ke lapangan bertemu dengan rakyat di DUN Tioman ini dan cakna kepada kebajikan masyarakat. Bukan setakat cakna, tetapi salurkan dengan sebaiknya serta menjaga kebajikan masyarakat setempat.

Nor Idayu bersama dengan sekumpulan anak muda yang menyaksikan siaran langsung perlawanan akhir Piala Malaysia, malam tadi.

Pesanan puan kepada pengundi dan jentera PERIKATAN NASIONAL di DUN Tioman ini.

Saya menyeru kepada semua pengundi yang berada dalam DUN Tioman ini dan pengundi luar agar pulang untuk mengundi dan kekalkan kemenangan kita, PERIKATAN NASIONAL di Rompin.

Kepada jentera-jentera, kemenangan kita yang sebelum ini, saya harap dapat bekerja keras lagi dengan cabaran yang mungkin akan kita hadapi pada pilihan raya kali ini. – HARAKAHDAILY 27/11/2022