‘Superman’ ditangkap polis ekoran ucapan perkauman

- Advertisement -

PADA 17 November 2022 yang lalu, pihak Polis Pahang telah menjalankan siasatan ke atas penularan video ceramah parti politik di kawasan Raub Perdana, Raub Pahang di mana salah seorang penceramah yang dikenali sebagai penama Hew Kuan Yaw ataupun yang dikenali sebagai ‘Superman Hew’ telah didapati memberikan ucapan di dalam bahasa Kantonis yang didapati mempunyai unsur-unsur yang boleh menggugat ketenteraman awam.

- Advertisement -

Sebahagian dari rakaman video ceramah berkenaan telah ditularkan di dalam media massa serta media sosial dan mendapat reaksi yang negatif dari masyarakat.

Pada 23 November 2022 pihak JSJ Kontinjen Pahang dengan bantuan dari JSJ Bukit Aman telah melakukan tangkapan terhadap penama Hew Kuan Yaw berumur 52 tahun di kawasan Puchong Jaya, Selangor.

Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 4A Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 iaitu kesalahan mengembangkan perasaan jahat atau permusuhan serta Seksyen 505(B) Kanun Keseksaan iaitu kesalahan mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang mendatangkan khianat awam.

Siasatan juga turut dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998 iaitu kesalahan kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian telekomunikasi.

Selain itu juga, penama turut disiasat di bawah seksyen yang sama bagi ucapannya di dalam satu program ceramah politik di Taman Pandan Mawar, Melaka pada 18/11/2022 yang lalu.

Permohonan Reman Sek. 117 KPJ akan dipohon dan penama akan ditahan di IPD Dang Wangi bagi pihak polis mendapatkan keterangan-keterangan lanjut.

DATO’ SRI RAMLI MOHAMED YOOSUF CP
Ketua Polis Pahang – HARAKAHDAILY 24/11/2022

- Advertisement -