Kerjasama BN-PH di Perak tidak melalui mesyuarat MKT

- Advertisement -

KOTA BHARU: Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno didesak mengadakan mesyuarat dalam masa segera untuk membolehkan semua ahli mengetahui perkembangan yang berlaku dalam parti itu.

- Advertisement -

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Dato’ Seri Md Alwi Che Ahmad berkata, beliau juga kesal dengan tindakan menangguhkan mesyuarat MKT pada Ahad lalu sehingga sekarang.

Malah katanya, keputusan menjalinkan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) bagi membentuk kerajaan negeri di Perak juga tidak melalui proses mesyuarat MKT.

“Tindakan sebegini tidak mengikut proses yang sepatutnya kerana perlu terlebih dahulu untuk berbincang sebelum sebarang keputusan dibuat. Ia berlaku di luar proses yang sebenar.

“Malah, tindakan memutuskan untuk kerjasama dengan PH juga merupakan tindakan seolah menampakkan BN tidak boleh terima kekalahan sehingga sanggup untuk kerjasama dengan DAP,” katanya pada sidang media di sini, hari ini. (Foto atas)

Md Alwi yang juga Adun Kok Lanas turut meminta Umno agar berlapang dada menerima kekalahan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Justeru, Umno perlu terima kekalahan kerana rakyat tidak mahukan kita saat ini, kita perlu menghormati dan kita (Umno) jangan pula jadi barang dagangan sebaiknya kita perlu membaiki dan membersih apa yang perlu,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/11/2022

- Advertisement -